Ahad, 12 Julai 2020 | 12:07am
(Gambar fail) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON
(Gambar fail) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

Ampang disasarkan jadi bandar raya jelang 2021

KUALA LUMPUR: Ampang disasarkan menjadi sebuah bandar raya menjelang tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, banyak projek pembangunan sedang dijalankan bagi merealisasikan misi itu.

"Antara projek yang kita sedang laksanakan ialah membina sebuah kolam renang, pusat kawalan dan mengalihkan beberapa tempat medan selera, diperkemas serta dibersihkan.

"Ini antara usaha yang kita jalankan untuk mengangkatnya sebagai majlis bandar raya. Kita sasarkan pada 2021," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembangunan di Dataran Belia Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang, di sini.

Terdahulu, Zuraida berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah memenuhi syarat seperti mempunyai jumlah penduduk melebihi 500,000 orang dan mencatatkan hasil sebanyak RM100 juta.

Ketika ini, ada 16 bandar raya di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Georgetown, Seberang Perai, Ipoh, Petaling Jaya, Shah Alam, Alor Setar, Johor Bahru, Melaka, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Miri, Kuching, Iskandar Puteri, Seremban dan Subang Jaya. – BERNAMA

Berita Harian X