Isnin, 13 Julai 2020 | 4:05pm
AMIRUDIN Shari.- Foto/NSTP
AMIRUDIN Shari.- Foto/NSTP

Selangor peruntukkan RM413 juta tangani kesan COVID-19

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM413.9 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bagi menangani impak penularan jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pakej yang merangkumi dua fasa rangsangan, iaitu menawarkan 42 inisiatif untuk memberi manfaat kepada 54 peratus rakyat di negeri itu bagi mengurangkan beban ekonomi mereka akibat pandemik COVID-19.

"Antara bantuan disalurkan adalah insentif dan bantuan makanan kepada petugas kesihatan di hospital seluruh Selangor, anak Selangor yang menuntut di sekitar Lembah Klang, Sabah dan Sarawak, termasuk pelajar kita yang terkandas di Mesir.

"Kita turut memberi pengecualian sewa kepada penjaja dan peniaga kecil, penangguhan pembayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan bagi peminjam Hijrah (Skim Pinjaman Mikro Kredit Hijrah Selangor) serta penyewa Skim Smart Sewa, selain pelbagai bantuan lagi," katanya, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Saari Sungib (Amanah-Hulu Klang) berhubung bantuan disalurkan kerajaan negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 1 April lalu, kerajaan negeri mengumumkan pakej rangsangan ekonomi fasa kedua berjumlah RM272. 5 juta bagi menangani impak COVID-19.

Pengumuman itu susulan pakej fasa pertama pada 20 Mac lalu berjumlah RM127.8 juta.

Selain itu kerajaan negeri juga mengumumkan pelan pemulihan ekonominya dengan menumpukan tiga aspek utama bagi menangani impak penularan wabak COVID-19 di negeri ini

Selain itu, kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa Ketiga sebagai satu daya tahan bagi membangunkan semula ekonomi negeri ini yang mengalami kejutan susulan penularan wabak COVID-19.

"Tiga tonggak itu membabitkan aspek jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

"Jumlah keseluruhan nilai bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini adalah berjumlah RM55.85 bilion," katanya.

Beliau berkata, struktur ekonomi Selangor pasca COVID-19 akan mengadaptasikan perubahan dan pendekatan baru dari segi sistem dan pelaksanaannya.

"Kita juga akan melaksanakan inisiatif Selangor Kerjaya, inisiatif Rakan Digital Selangor, Data Internet Selangor serta penambahan peruntukan bagi program Roda Darul Ehsan (RIDE)," katanya.

Amirudin berkata, menerusi pengumuman pelan pemulihan berkenaan, Selangor akan menjadi magnet bagi pekerjaan baharu, meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan ketahanan ekonomi supaya dapat menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Berita Harian X