Isnin, 13 Julai 2020 | 10:09pm
Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Muar dan diarahkan bersiap-siaga sepanjang masa berikutan keadaan cuaca yang mendung di samping keadaan air laut pasang dijangka akan memburukkan keadaan banjir di beberapa daerah. - Foto APM
Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Muar dan diarahkan bersiap-siaga sepanjang masa berikutan keadaan cuaca yang mendung di samping keadaan air laut pasang dijangka akan memburukkan keadaan banjir di beberapa daerah. - Foto APM

Mangsa banjir melonjak 707 orang, 10 PPS dibuka

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini melonjak 707 orang sehingga jam 9 malam tadi, berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Ia berbanding seramai 227 mangsa di Muar dan Tangkak yang terpaksa dipindahkan pada jam 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Pontian adalah daerah terbaharu terjejas banjir berikutan hujan lebat sejak awal pagi hingga petang tadi.

Katanya, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka malam ini berbanding hanya tiga, petang tadi.

"Muar adalah daerah paling terjejas apabila enam PPS kini dibuka berbanding jam 2 petang tadi, dengan mangsa banjir melonjak kepada 440 orang daripada 102 keluarga.

"PPS di Tangkak pula bertambah kepada tiga lokasi yang menempatkan seramai 224 mangsa daripada 50 keluarga.

"Pontian pula membuka sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok dengan 43 mangsa daripada 12 keluarga, " katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) diarah bersiap-siaga sepanjang masa berikutan keadaan cuaca yang mendung di samping keadaan air laut pasang.

"Jika hujan lebat bertembung dengan air laut pasang dibimbangi kawasan rendah dinaiki air.

"Bagaimanapun, APM sudah diarah sentiasa berjaga-jaga memindahkan penduduk terjejas segera sekiranya banjir malah difahamkan beberapa PPS lagi akan dibuka di Muar dan Pontian," katanya.

Berita Harian X