Ahad, 26 Julai 2020 | 8:50pm
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan (kiri sekali) bersama sebahagian pegawai dan anggota yang menerima sijil penghargaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.- Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan (kiri sekali) bersama sebahagian pegawai dan anggota yang menerima sijil penghargaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.- Foto NSTP/Nor Amalina Alias

Polis Kelantan sedia jika PKP dilaksana semula

PASIR PUTEH: Polis Kelantan bersiap sedia sekiranya kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika wabak COVID-19 terus meningkat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata pihaknya sudah memperketatkan kawalan terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand sejak PKP Mac lalu.

Katanya, ketika ini juga, polis sedang mengawal kawasan pintu masuk sempadan melalui op benteng dan sekatan jalanraya.

"Memang kita sudah buat sekatan di setiap kawasan sempadan, siapa yang ceroboh masuk, lagipun sekarang ini kita belum buka sempadan (rentas luar negeri).

"Kawalan dah ada, jadi kita cuma perketatkan lagi, apapun kita tunggu arahan dan keputusan daripada kerajaan," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Hasanuddin berkata, pihaknya juga memberi tumpuan kes penyeludupan lembu untuk dijadikan korban Aidiladha selain kes penyeludupan dan pergerakan rentas negeri di kawasan sempadan itu.

Katanya, bagaimanapun, setakat ini tiada kes penyeludupan haiwan ternakan itu dicatatkan selain juga tiada kes kecurian membabitkan lembu tempatan.

"Sejak tertangkapnya kumpulan curi lembu yang diketuai seorang wanita tempoh hari oleh IPD Pasir Puteh, polis tidak menerima sebarang laporan kehilangan lembu, dan ini menunjukkan tangkapan dibuat tepat kepada kumpulan yang terbabit dalam jenayah itu," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mungkin akan kembali melaksanakan PKP jika kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.

Ini berikutan, negara mencatat kenaikan kes positif pandemik itu empat hari berturut-turut akibat kealpaan rakyat dalam mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis (CP) akan mula melapor diri sebagai Ketua Polis Kedah, 5 Ogos ini.

Beliau berkata, sepanjang bertugas di Kelantan bermula pada Jun 2017 hingga kini, paling beliau banggakan adalah komitmen pegawai dan anggota yang memberi komitmen terbaik dan berusaha menangani pelbagai kes jenayah di negeri ini.

Berita Harian X