Jumaat, 31 Julai 2020 | 1:33pm
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar. - Foto NSTP
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar. - Foto NSTP

COVID-19: Larangan pergerakan antara zon di Sarawak bermula tengah malam ini

KUCHING: Polis mengadakan sekatan jalan raya di sempadan memasuki daerah Simunjan dan Sri Aman mulai tengah malam ini, bagi mengehadkan pergerakan orang ramai untuk menghalang penularan COVID-19 dari kawasan terjejas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengehadkan pergerakan orang ramai antara Zon 1 dan Zon 2 mulai esok sehingga 14 Ogos ini.

Beliau berkata, berikutan arahan itu, polis menguatkuasakan larangan pergerakan dari Zon 1 iaitu Kuching (Zon Merah) dan Samarahan serta Serian (Zon Kuning) ke Zon Hijau yang meliputi, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

"Berdasarkan keputusan yang dibuat JPBN, pergerakan antara daerah Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Simunjan, Serian, Bau dan Lundu yang berada dalam zon merah dan kuning dibenarkan tanpa memerlukan surat kebenaran polis.

"Tetapi pergerakan dari Simunjan ( sempadan Zon Kuning) ke Sri Aman (kawasan permulaan Zon Hijau) melalui feri Triso tidak dibenarkan, begitu juga pergerakan dari Simunjan ke Sri Aman melalui Jalan Serian-Sri Aman juga adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, pengecualian diberikan bagi individu yang menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, menziarahi kematian ahli keluarga terdekat, melawat atau membawa hli keluarga sakit tenat serta keperluan pemeriksaan kesihatan.

"Kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas rasmi perlu menunjukkan surat pengesahan daripada ketua jabatan mereka, manakala bagi pekerja perkhidmatan pula dikehendaki menunjukkan surat pengesahan daripada syarikat atau majikan.

"Pergerakan atas tujuan menziarahi kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat atau menghadiri pemeriksaan perubatan pula surat kebenaran polis perlu ditunjukkan kepada petugas di sekatan jalan raya dan surat kebenaran itu boleh dipohon dari mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Bagi penumpang penerbangan domestik dari dan ke Kuching pula dinasihat supaya memohon surat kebenaran polis sebelum menempah tiket penerbangan.

"Apabila tiket sudah dibeli, bolehlah pergi ke mana-mana balai polis terdekat untuk mendapatkan surat kebenaran.

"Penumpang tidak akan dibenarkan menaiki pesawat jika tidak mempunyai surat kebenaran polis, begitu juga dengan penumpang bot ekspres dan bas ekspres atau bas wilayah, mereka juga perlu mempunyai surat kebenaran polis," katanya.

Katanya lagi, polis akan menguatkuasakan larangan pergerakan itu dengan ketat dan menasihati orang ramai supaya menangguh sebarang pergerakan antara Zon 1 dan Zon 2 selepas 14 Ogos.

"Jika keperluan untuk bergerak adalah terlalu mendesak, pergilah ke balai polis terdekat untuk memohon kebenaran," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X