Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:18am
Polis Diraja Malaysia menjalankan Operasi Pematuhan SOP di sekitar Port Dickson.-Foto NSTP/ Ihsan PDRM
Polis Diraja Malaysia menjalankan Operasi Pematuhan SOP di sekitar Port Dickson.-Foto NSTP/ Ihsan PDRM

31 kompaun langgar SOP dikeluarkan di Port Dickson

PORT DICKSON: Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh seminggu, di kawasan peranginan, Port Dickson (PD).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata operasi dijalankan di kawasan menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.

Beliau berkata, bermula 23 Julai lalu, pasukan petugas pematuhan SOP PKPP telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis sekitar bandar Port Dickson, Lukut dan Teluk Kemang.

"Ada beberapa kelemahan dalam pematuhan SOP, terutama kawalan penjarakan fizikal di kawasan dihadiri orang ramai pada satu-satu masa. Kompoun dikenakan serta-merta bagi yang melanggar arahan.

"Bagaimanapun, kami bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain berkaitan masih meneruskan program mendidik masyarakat supaya patuh kepada SOP bagi mencegah COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, pasukan petugas juga mengeluarkan dua kompaun terhadap dua lelaki yang minum minuman keras sehingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay, Jalan Pantai Port Dickson, Sabtu lepas.

Katanya, ketika ini notis dikeluarkan bagi aktiviti dibenarkan dan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPP bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam, antaranya aktiviti perkelahan yang tidak boleh melebihi 10 orang dalam satu kumpulan.

"Orang ramai juga diingatkan bahawa sebarang aktiviti selepas pukul 12 malam, adalah dilarang," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X