Sabtu, 1 Ogos 2020 | 12:05pm

Warga Petaling Jaya patuh pemakaian pelitup muka

PETALING JAYA: Kesedaran yang tinggi kewajiban pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi menyekat penularan COVID-19 dapat dilihat, pada hari pertama di beberapa kawasan di sekitar daerah Petaling Jaya, hari ini.

Tinjauan di kawasan kedai dan pasar Jalan Othman, di sini, bersama sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendapati hampir keseluruhan masyarakat di kawasan ini memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata untuk hari pertama pihaknya mengambil pendekatan menasihatkan dan menegur orang ramai yang tidak memakai pelitup muka.

"Untuk hari pertama ini, kami (Polis Daerah Petaling Jaya) tidak merancang untuk mengeluarkan kompaun terhadap masyarakat khususnya di sekitar daerah ini disebabkan kesusahan semasa pandemik COVID-19 ini.

"Dalam keadaan ekonomi yang sukar sekarang serta memberi kesan kepada sebahagian besar masyarakat, saya mengambil pendekatan menasihatkan dan mengingatkan masyarakat untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam," katanya selepas meninjau penguatkuasaan Ops Pematuhan Pemakaian Pelitup Muka di sini, pagi tadi.

Orang ramai dilihat memakai pelitup muka dalam tinjauan di sekitar Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. - NSTP/FATHIL ASRI
Orang ramai dilihat memakai pelitup muka dalam tinjauan di sekitar Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. - NSTP/FATHIL ASRI

Pihak polis mengambil pendekatan menasihatkan dan menegur orang ramai yang tidak memakai pelitup muka. - Foto NSTP/Fathil Asri
Pihak polis mengambil pendekatan menasihatkan dan menegur orang ramai yang tidak memakai pelitup muka. - Foto NSTP/Fathil Asri

Beliau bagaimanapun, berkata langkah memberi nasihat ini bukan bermakna pihaknya tidak akan melaksanakan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka.

"Kami akan mengambil tindakan dan mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang gagal mengikuti arahan pemakaian pelitup muka dalam masa terdekat namun untuk hari ini kita akan memberi nasihat dan teguran," katanya.

Nik Ezanee berkata Polis Daerah Petaling Jaya menubuhkan 13 pasukan pemantau khas untuk melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan kekuatan lima anggota setiap pasukan.

Pasukan sama turut memantau pemakaian wajib pelitup muka di lokasi awam bermula hari ini.

Pihak polis tidak merancang untuk mengeluarkan kompaun terhadap masyarakat khususnya di sekitar daerah ini disebabkan kesusahan semasa pandemik COVID-19 ini. - Foto NSTP/Fathil Asri
Pihak polis tidak merancang untuk mengeluarkan kompaun terhadap masyarakat khususnya di sekitar daerah ini disebabkan kesusahan semasa pandemik COVID-19 ini. - Foto NSTP/Fathil Asri

Mulai 1 Ogos ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu diambil berikutan penambahan kluster angkitan COVID-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, memberi teguran dan pemantauan supaya orang ramai mematuhi SOP pemakaian pelitup muka di sekitar Pasar Besar Othman Petaling Jaya. - Foto NSTP/Fathil Asri
    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, memberi teguran dan pemantauan supaya orang ramai mematuhi SOP pemakaian pelitup muka di sekitar Pasar Besar Othman Petaling Jaya. - Foto NSTP/Fathil Asri
    Berita Harian X