Sabtu, 1 Ogos 2020 | 12:07pm
ANTARA individu melepak tanpa memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dikompaun di R&R LLB. - Foto/PDRM
ANTARA individu melepak tanpa memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dikompaun di R&R LLB. - Foto/PDRM

20 individu melepak tak pakai pelitup muka dikompaun

BUTTERWORTH: Melepak tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak mengenakan pelitup muka membawa padah kepada 20 individu apabila masing-masing dikompaun RM1,000 dalam operasi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 1.50 pagi, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20-an itu dikenakan kompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata operasi tepat jam 12 tengah malam tadi selaras dengan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat sesak bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19.

"Di R&R itu ada sekumpulan individu melepak dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.

"Kompaun dikeluarkan kerana gagal patuh SOP mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Noorzainy berkata, polis daerah itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas kegagalan mematuhi SOP dan akan memantau mulai hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X