Ahad, 2 Ogos 2020 | 1:38pm
Jambatan sementara sepanjang 30 meter menggunakan enam batang balak untuk menyeberangi Sungai Sir di Pos Lenjang dibina selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur. - Foto ihsan TDM
Jambatan sementara sepanjang 30 meter menggunakan enam batang balak untuk menyeberangi Sungai Sir di Pos Lenjang dibina selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur. - Foto ihsan TDM

Guna balak ganti jambatan lama

LIPIS: Enam batang balak digunakan untuk membina jambatan sementara 30 meter merentasi Sungai Sir di Pos Lenjang, di sini bagi menggantikan jambatan lama yang musnah selepas dilanda kepala air, Sabtu lalu.

Projek pembinaan dilakukan anggota Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja Mekanize (11 RAJD Mek) dibantu Seksyen Rinser Batalion Ke Lapan Rejimen Askar Melayu Diraja (Lapan RAMD) Kem Batu 10, Kuantan bermula kelmarin.

Komander Rejimen Jutra (KRJ) Tiga Divisyen, Kolonel Mohd Afendi Abu Bakar, berkata seorang pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat terbabit menjayakan Program Jiwa Murni berkenaan untuk kemudahan masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom yang sebelum ini terputus hubungan.

Beliau berkata, projek terbabit yang dijangka siap sepenuhnya esok, turut mendapat kerjasama Kerajaan Pahang Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang yang menyediakan kemudahan jentera berat seperti jenkaut.

"Program Jiwa Murni yang diusahakan ini antara aktiviti dilakukan dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

"Jambatan sementara yang dibina dapat memberi kemudahan kepada lebih 1,500 penduduk Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom keluar bekerja selain mendapatkan keperluan makanan," katanya selepas melakukan lawatan kerja di lokasi bantuan bencana di Pos Lenjang dan Pos Titom serta meninjau kerja pembinaan jambatan sementara.

Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah 11 Skn RAJD (Mek), Mejar Ahmad Nizam Adnan dan Pegawai Operasi Lapan RAMD, Mejar Asnul Arsham Shawal.

Beliau berkata, untuk jangka masa panjang pihaknya bekerjasama JKR akan membina jambatan 'bailey' bagi memberi lebih keselesaan kepada penduduk setempat menyeberangi Sungai Sir yang kini terdapat banyak batu besar selepas kejadian kepala air.

Mohd Afendi berkata, untuk sementara penduduk Pos Lenjang dan Pos Titom perlu menggunakan jambatan kayu yang disediakan.

Dalam kejadian kepala air yang berlaku Sabtu lalu, ia turut menyebabkan banjir lumpur selain tanah runtuh dan tiga rumah musnah.

Berita Harian X