Rabu, 16 September 2020 | 7:41am

COVID-19: Tiada kes di Selangor sejak 41 hari lalu

SHAH ALAM: Buat pertama kali Selangor menjadi Negeri Zon Hijau sejak COVID-19 bermula awal tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Facebook rasminya malam tadi melahirkan kesyukuran dengan perkembangan itu serta penghargaan kepada semua pihak.

"Sejak Selangor diserang COVID-19 dari awal tahun, inilah kali pertama kita menjadi Negeri Zon Hijau. Ini bermakna Selangor tiada kes dengan kebolehjangkitan yang wujud di Selangor.

"Terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang bertungkus lumus 'merawat' Selangor. Daripada negeri yang paling terkesan dengan COVID-19, kini kita boleh menarik sedikit nafas lega. Jasa serta pengorbanan mereka amat saya hargai dan kagumi," katanya.

Bagaimanapun dalam kenyataan sama, Amirudin meminta supaya rakyat di negeri ini supaya terus berwaspada dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau turut berkongsi hantaran terkini facebook Selangor Task Force COVID-19 berhubung perkara itu serta taburan kes COVID-19.

Menurut Selangor Task Force COVID-19, selepas 41 hari berturut-turut kes aktif di bawah angka lima, kini buat pertama kalinya Selangor direkodkan sebagai Negeri Zon Hijau apabila semua daerah serta mukim berstatus Zon Hijau.

"Syabas buat seluruh warga Selangor atas pencapaian ini, tidak lupa petugas kesihatan yang bertungkus lumus 'menyembuhkan' Selangor.

"Khidmat dan pengorbanan anda akan sentiasa dihargai serta dikenang," katanya.

Taburan kes COVID-19 terkini menunjukkan Selangor sudah menjadi Negeri Zon Hijau apabila semua daerah serta mukim berstatus Zon Hijau. - Foto ihsan Facebook Selangor Task Force COVID-19
Taburan kes COVID-19 terkini menunjukkan Selangor sudah menjadi Negeri Zon Hijau apabila semua daerah serta mukim berstatus Zon Hijau. - Foto ihsan Facebook Selangor Task Force COVID-19

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X