Rabu, 16 September 2020 | 2:49pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

COVID-19: Tidak tak perlu risau bercuti di Langkawi - LADA

LANGKAWI: Pelancong tidak perlu risau untuk ke pulau peranginan ini yang kekal sebagai zon hijau COVID-19, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar bermula 11 September lalu tiada kaitan dengan Langkawi yang turut mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tinggi.

Beliau berkata, usaha LADA dan penggiat industri untuk menarik pelawat ke pulau peranginan ini selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri, mula menunjukkan hasil dengan kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi pada Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan

"Pada Julai, jumlah meningkat kepada 189,000 dan kita lihat trend yang sama pada Ogos, namun pelaksanaan PKPD sedikit sebanyak menjejaskan usaha yang dilakukan mungkin kerana ada kekhuatiran dalam kalangan pelancong.

"Ini tidak benar, aktiviti pelancongan di Langkawi masih berjalan seperti biasa. Kita berada dalam Zon Hijau, tidak harus ada kegusaran atau risau dalam kalangan pengunjung untuk datang ke Langkawi," katanya.

"Oleh itu, saya nak mengajak pengunjung yang bercadang untuk melancong ke Langkawi terus datang ke sini, kita selamat dan 'it's fun to be here'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran 'Selfie Ria:Selfie Museum The Dessert Series' di Oriental Village di sini, hari ini. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X