Isnin, 26 November 2018 | 11:03am
PENGAMAL perubatan pergigian, Dr Nur Sakinah Amran. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Eksklusif: Serbuk arang tak putihkan gigi - Pakar

KUALA LUMPUR: Khasiat serbuk arang sebagai agen pemutihan gigi tidak pernah disahkan melalui mana-mana kajian saintifik, sebaliknya penggunaan berpanjangan bahan itu mengundang risiko kerosakan gigi khususnya penipisan lapisan enamel.

Walaupun banyak maklumat mendedahkan khasiat serbuk arang termasuk digunakan sebagai agen pemutih dalam pelbagai produk berasaskan kesihatan gigi, pengamal perubatan pergigian percaya penggunaan bahan itu sebenarnya lebih banyak mengundang kesan buruk.

Pengamal perubatan pergigian, Dr Nur Sakinah Amran, berkata serbuk arang sebenarnya tidak bertindak untuk memutihkan gigi, sebaliknya sekadar ‘trend’ yang ditular peniaga dalam talian bertujuan melariskan produk berasaskan bahan terbabit kononnya sebagai ejen pemutih.

Bagaimanapun, secara teori beliau tidak menafikan arang boleh digunakan untuk menghilangkan kekotoran pada gigi yang disebabkan oleh tabiat minum kopi atau merokok.

“Arang dipercayai mempunyai mekanisme seperti magnet untuk menarik serta memerangkap kotoran pada gigi. Apabila seseorang itu berkumur, secara teorinya kotoran terbabit akan keluar bersama.

Tiada bahan aktif putihkan gigi

“Gigi hanya boleh nampak lebih bersih, tetapi tidak boleh putih seperti didakwa kerana serbuk arang tidak mempunyai apa-apa bahan aktif yang boleh membantu memutihkan gigi,” katanya.

Sebelum ini pakar pelatih surgikal di The Royal College of Surgeons di England, Dr Nur Amalina Che Bakri, melalui akaun Twitter miliknya mencetus polemik apabila menyatakan arang hanya bertindak membersihkan gigi, bukan memutihkan dan ia memberi kesan buruk jika digunakan dalam jangka masa panjang.

Mengulas kesan penggunaan serbuk arang, Dr Nur Sakinah berkata kajian dijalankan sekumpulan pelajar pergigian di University Creighton di Amerika Syarikat, membuktikan penggunaan bahan itu dalam jangka masa panjang menyebabkan lapisan enamel pada gigi menipis, sehingga mendedahkan lapisan kedua gigi iaitu dentin.

“Molekul serbuk arang sangat kasar dan bersifat menghakis. Kajian menunjukkan, penggunaan seawal empat kali sudah boleh menipiskan enamel gigi, sedangkan lapisan itu penting untuk melindungi dentin, selain lapisan ketiga iaitu pulpa selaku pusat saraf gigi.

“Lapisan dentin secara asalnya lebih kuning berbanding enamel. Apabila enamel menipis ia tidak akan terbentuk semula dan dentin yang kuning akan berterusan terdedah. Ia menyebabkan dentin mula menyerap warna kelabu dari serbuk arang menyebabkan gigi bukan saja tidak putih, malah menjadi kelabu kekuningan,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman mengendalikan kes berkaitan penggunaan serbuk arang, beliau berkata ada pesakit yang datang ke klinik dengan keseluruhan gigi sudah haus akibat enamel terhakis sepenuhnya.

“Keadaan ini menyebabkan pesakit itu diganggu rasa ngilu secara keseluruhan dan ia perasaan itu mengganggu rutin hariannya.

“Fungsi arang sebenarnya sama seperti kayu sugi iaitu untuk membersihkan gigi, bukannya memutihkan. Penggunaannya juga tidak boleh berlebihan kerana ia turut berisiko menipiskan lapisan enamel,” katanya.

Berita Harian X