Rabu, 12 Disember 2018 | 11:37am

6,214 kenderaan tersadai dikenakan tindakan DBKL

KUALA LUMPUR: Sejumlah 6,214 kenderaan yang ditinggalkan pemilik untuk tempoh lama di tempat awam, dikenakan tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2016, dengan 1,915 daripadanya dilupuskan tahun lalu.

Pegawai Tadbir Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Asyraf A Rahaman, berkata tindakan pelupusan diambil atas kelulusan Jawatankuasa Pemeriksaan dan Pelupusan, selepas melepasi prosedur semakan serta penghantaran notis yang disyaratkan.

Mengulas prosedur terbabit, beliau berkata sejurus siasatan ke atas kenderaan yang ditinggalkan untuk tempoh lama di satu-satu lokasi mengesahkan ia sebagai kenderaan buruk atau tersadai, notis penguatkuasaan atau pengalihan dikeluarkan.

“Tempoh diberikan selama tiga hari atau lebih, bergantung keadaan serta lokasi kenderaan bertujuan memberi masa kepada pemilik untuk mengalihkan kenderaan terbabit.

“Sekiranya gagal berbuat demikian selepas tempoh notis berakhir, DBKL berhak mengambil tindakan menunda atau mengangkut kenderaan berkenaan,” katanya kepada BH.

Berdasarkan rekod DBKL, 2018 mencatat jumlah tertinggi apabila 2,703 kenderaan tersadai dikenakan tindakan, berbanding 1,989 kenderaan tahun lalu dan 1,517 pada 2016.

DBKL turut merekod hasil kutipan kompaun, tunda dan upah simpan terhadap kenderaan tersadai berjumlah RM89,540 pada 2016 dan 2017, selain hasil lelongan awam 3,240 kenderaan tidak dituntut berjumlah RM924,000.


NASIB kereta tersadai yang mulanya elok, tetapi bertukar buruk apabila komponen hilang dipercayai dicuri. - NSTP/ Saddam Yusoff


SELAIN kereta, motosikal yang rosak juga turut menyumbang bilangan kenderaan tersadai di kawasan parkir. - NSTP/ Saddam Yusoff

Semakan rekod kenderaan

Mengulas lanjut prosedur, Mohd Asyraf berkata, setiap kenderaan ditunda akan disemak rekod dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bank serta insurans, selain sistem mySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti pemiliknya bagi tujuan penyerahan surat makluman, supaya pemilik berpeluang membuat tuntutan.

“Tempoh masa tertentu diberikan kepada pemilik untuk menuntut kenderaan iaitu selama sebulan dan jika gagal, syor kemudian dibuat kepada Jawatankuasa Pemeriksaan dan Pelupusan untuk mendapatkan kelulusan sama ada kenderaan terbabit boleh dilupuskan atau tidak,” katanya.

Dewan Rakyat semalam meluluskan sebulat suara Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018, yang mana Pindaan Seksyen 66 Akta Pengangkutan Jalan 1987 memberi kuasa kepada menteri untuk membangunkan satu kaedah khusus mengenai tatacara pembatalan pendaftaran kenderaan motor atas sebab munasabah.

RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

DBKL tertakluk kepada undang-undang di bawah Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, merujuk kepada kesalahan meletakkan kayu, besi sekerap, kereta buruk, bahan buangan dan lain-lain di tempat awam.

gn4id:11653747


KERETA ditinggalkan tersadai untuk tempoh lama sehingga dipenuhi habuk, memburukkan lagi masalah parkir di kawasan perumahan. - NSTP/ Saddam Yusoff

Segera beri kuasa lupus kepada PBT

Sementara itu orang ramai menggesa pemberian kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melupuskan kenderaan terbiar perlu disegerakan, supaya masalah puluhan ribu kereta yang sekian lama tersadai di lot parkir seluruh negara ketika ini dapat diselesaikan.

Ini kerana isu kereta tersadai memenuhi petak parkir sama ada di tepi jalan, taman perumahan atau kawasan kejiranan, ibarat tiada penghujungnya sehingga menimbulkan kemarahan dan kesusahan penduduk akibat kekurangan tempat meletak kenderaan.

Tinjauan BH mendapati masalah kereta tersadai membelenggu hampir semua kejiranan khususnya penempatan yang padat dengan penduduk di sekitar Lembah Klang termasuk Sentul, Gombak dan Petaling Jaya.

Di sekitar Desa Petaling, di sini, contohnya tinjauan BH mendapati tidak kurang 20 kenderaan buruk dan rosak tersadai di sepanjang laluan utama dan ruang letak kenderaan di kawasan perumahan sekitarnya, malah ada yang sengaja ditinggalkan di lot parkir tertentu sebagai stor oleh peniaga untuk menyimpan barangan.


KEADAAN menyedihkan kereta yang kehilangan empat tayar selepas ditinggalkan untuk tempoh lama di kawasan perumahan sekitar Desa Petaling. - NSTP/ Saddam Yusoff

Bertahun ditinggalkan

Berdasarkan maklumat, ada yang sudah berbulan ditinggalkan, malah ada yang dikatakan sudah bertahun dibiarkan tersadai sehingga mengalami kerosakan, dipenuhi habuk atau menjadi mangsa perbuatan khianat seperti diconteng, dicuri komponen dan sebagainya.

Ada juga meletakkan notis ‘untuk dijual' pada kereta yang ditinggalkan, sedangkan menurut penduduk memaklumkan kenderaan terbabit sudah lama terbiar di situ.

Seorang penduduk, Hairul Heary Md Salleh, 36, berkata penyelesaian terbaik adalah dengan melupuskan kenderaan terbengkalai ini, namun pada masa sama tiada jaminan keadaan ini tidak akan berterusan sekiranya mentaliti masyarakat tidak mahu berubah.

“PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memainkan peranan dan berpendapat saya ‘tarik’ saja kereta terbengkalai ini dan lupuskan,” katanya.

Berdasarkan maklumat, lebih 60,000 kenderaan terbiar masih berdaftar di seluruh negara dan Menteri pengangkutan, Anthony Loke, berkata pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 di Dewan Rakyat akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melupuskan kenderaan terbiar.

KERETA ditinggalkan tersadai untuk tempoh lama sehingga dipenuhi habuk, memburukkan lagi masalah parkir di kawasan perumahan. - NSTP/ Saddam Yusoff
Berita Harian X