Selasa, 3 March 2015 | 12:03am

Saya mahu lahir `Mike Tyson' - Zulkifli

DETIK kemegahan Zulkifli apabila diisytihar pemenang pingat emas kategori middleweight Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
DETIK kemegahan Zulkifli apabila diisytihar pemenang pingat emas kategori middleweight Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

PADA ketika majoriti bekas atlet negara memilih kerjaya baharu selepas berundur dari dunia sukan, lain pula visi Zulkifli Yaacob.

Bekas peninju kebangsaan itu tetap mahu terus menabur bakti kepada sukan kegemarannya demi meningkatkan martabat negara di persada dunia.

Tidak dinafikan dia menyimpan hajat besar mahu melahirkan lebih ramai 'Mike Tyson' versi Malaysia.

Misi itu mendorong Zulkifli bertekad meneruskan bakti dalam bidang kejurulatihan selepas bersara pada 1992.

Hingga kini sudah hampir 22 tahun bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 itu aktif dalam bidang kejurulatihan dengan terkini dia bertindak sebagai jurulatih skuad tinju pelapis kebangsaan yang dibentuk bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Namun, bagi pemilik diri yang sudah pun menjangkau usia 53 tahun itu, jika tidak kerana minat yang mendalam bersama pengalaman mewakili negara sebelum ini bukan mudah baginya untuk terus bertahan dengan pelbagai suka duka terpaksa ditempuhinya dalam melahirkan peninju berwibawa.

"Semua ini berlaku dengan secara kebetulan, saya pun tak seberapa pasti bagaimana saya boleh bergiat dalam bidang kejurulatihan.

"Tetapi seingat saya apabila saya bersara daripada mewakili negara pada 1992, saya bermula dengan suka-suka mengendalikan latihan skuad tinju Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Dan sejak itu, saya ditugaskan secara tetap ke jawatan berkenaan sebelum meneruskannya bersama pasukan tinju Johor selepas bersara awal dari tentera. Walaupun tugas jurulatih nampak mudah, tapi sebenarnya tidak.

"Jadi jurulatih bukan semata-mata melatih atlet, kami juga perlu mengendalikan kerenah serta masalah mereka dan tugasan membentuk seorang peninju ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan tinggi," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

KENANGAN bersama penyanyi rock, Amy Search. - Foto fail NSTP
KENANGAN bersama penyanyi rock, Amy Search. - Foto fail NSTP

Bekas peninju tersohor itu, mengharumkan nama negara pada Sukan SEA 1989 di laman sendiri - Kuala Lumpur - apabila menamatkan kemarau pingat emas 22 tahun dalam sukan tinju menerusi kategori middleweight dan selepas itu kemarau Malaysia sekali lagi berterusan dalam acara berkenaan.

Namun, mungkin secara kebetulan anak didiknya, Mohd Farkhan Haron berjaya mengulangi kejayaannya sekali gus menamatkan kemarau 20 tahun apabila merangkul pingat emas pada Sukan SEA Palembang 2009.

Walaupun ada kalanya `hilang semangat', namun Zulkifli mengakui dirinya sentiasa berpegang kepada janji yang dilafazkan pada 1992 betapa setiap pengalaman yang ada akan diperturunkan semuanya kepada peninju yang diasuh untuk meneruskan cabaran negara dalam sukan berkenaan.

"Saya sejak bercadang menjadi jurulatih, memang ada berbisik kepada diri sendiri untuk berkongsi sebaik mungkin pengalaman yang ada dan bila ingat janji itu menyebabkan saya terus kuat dan kembali bersemangat untuk memberi sumbangan kepada sukan tinju," katanya yang dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan Rosmina Abd Aziz.

Mengulas mengenai lapan anak buahnya di Kompleks Majlis Sukan Negara Keramat, Zulkifli berkata, setakat ini mereka menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dengan masih memerlukan sedikit pendedahan di peringkat antarabangsa sebelum mampu mengambil alih tempat peninju senior negara.

"Peninju senior ada sesetengah yang berusia dan ada prestasi yang kurang memuaskan, jadi saya lihat pada bila-bila masa sahaja barisan pelapis ini boleh diserap ke skuad utama, tetapi mereka ini perlu didedahkan dengan lebih banyak pertarungan peringkat tertinggi," tuturnya menutup bicara.

INFO

Zulkifli Yaacob

Umur: 54 tahun

Asal: Alor Gajah, Melaka

Sukan: Tinju

Kategori: Middleweight

Wakil Malaysia: 1985-1992

PENCAPAIAN

Pingat perak di Kejohanan Medan Area 1;

Pingat gangsa di Terbuka Singapura 1986;

Pingat perak di Kejohanan Medan Area 1 1988;

Pingat gangsa di Kejohanan Ulang Tahun Jakarta 1989;

Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989;

Juara Kejohanan Tinju Terbuka Tentera;

Suku Akhir Sukan SEA Manila 1991

KERJAYA

Berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (1979-1999);

Jurulatih tinju pasukan Johor (2000-2006);

Jurulatih tinju skuad pelapis kebangsaan (2007- sekarang)

Berita Harian X