Jumaat, 20 March 2015 | 12:02am

Kecut perut di Gua Gendang

GUA Gendang (gua utama) dan Gua Itik merupakan gua batu kapur yang agak berbeza dengan gua-gua yang terdapat di sekitar Pengkalan Hulu kerana terdapat aliran sungai menerusi gua ini. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
GUA Gendang (gua utama) dan Gua Itik merupakan gua batu kapur yang agak berbeza dengan gua-gua yang terdapat di sekitar Pengkalan Hulu kerana terdapat aliran sungai menerusi gua ini. - Foto Nashairi Mohd Nawi.

Jangan bawa balik barang dari gua. Itulah pesan jurupandu sebelum membawa masuk untuk menjelajah Gua Gendang di Pengkalan Hulu, Perak.

Dalam sesi taklimat keselamatan, kami diwajibkan memakai topi keselamatan yang dilengkapi lampu suluh, selain mengenakan kasut yang sesuai.

Kami juga dilarang sama sekali mengambil, mengubah atau membawa pulang apa saja yang dijumpai sepanjang pengembaraan termasuk batu.

Difahamkan, di sesetengah kawasan di dalam Gua Gendang itu, ia mengalami kegelapan tujuh kali berbanding kegelapan malam!

Justeru, lampu suluh setiap peserta harus dipastikan berfungsi dengan baik sebelum meneruskan pengembaraan. Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap pergerakan kumpulan akan dipantau oleh seorang anggota bomba.

Kami difahamkan, sebelum sampai ke Gua Gendang, peserta perlu ke Gua Itik terlebih dulu, namun laluannya berbukit, licin dan curam - tidak berpagar atau bertali! Jika tersilap langkah, maut pasti mengundang!

Mendengar saja taklimat sudah membuatkan penulis dan beberapa anggota rombongan kecut perut, saling berpandangan sesama sendiri, masing-masing membayangkan cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang meredah dua gua itu.

AKTIVITI rekreasi dan acara trekking di sekitar kawasan bukit adalah salah satu aktiviti yang menarik yang dapat disediakan bagi para penggemar aktiviti lasak. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
AKTIVITI rekreasi dan acara trekking di sekitar kawasan bukit adalah salah satu aktiviti yang menarik yang dapat disediakan bagi para penggemar aktiviti lasak. - Foto Nashairi Mohd Nawi.

Anggota bomba yang mengiringi ekspedisi mengembara dalam Gua Gendang dan Gua Itik memberi jaminan sekiranya kami tidak mengabaikan langkah keselamatan dan mematuhi setiap arahan, pengembaraan pasti menjadi sebuah pengalaman yang menarik.

Gua Gendang dan Gua Itik terletak kira-kira enam kilometer dari pekan Pengkalan Hulu, Perak.

Pengkalan Hulu adalah sebahagian daerah Hulu Perak. Gua Gendang dan Gua Itik adalah gua batu kapur yang giat dipromosikan untuk menggamit kehadiran pelancong terutama bagi mereka yang suka aktiviti mencabar, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan khususnya di Pengkalan Hulu.

Hari ini, Gua Gendang juga di kenali sebagai Kompleks Pelancongan Gua Gendang yang dibangunkan pada tahun 1994 dan kerap menjadi pilihan peserta dari pelbagai bidang untuk menjalankan kursus motivasi dan rekreasi.

Menariknya, Gua Gendang yang dipanggil juga gua utama adalah satu penemuan yang unik kerana ia belum 'terusik'. Tiada sebarang pembangunan dilakukan dan tiada laluan khas dibina untuk kemudahan pengunjung, seperti lampu yang dipasang di dinding gua.

Ia dikelilingi keaslian hutan hujan tropika. Gua Gendang adalah sebuah gua yang bersejarah kerana pernah digunakan sebagai lokasi persembunyian pengganas komunis ketika pada zaman darurat kira-kira 50 tahun lalu.

Kem Rekreasi Gua Gendang pula dibangunkan oleh Majlis Daerah Pengkalan Hulu sebagai tempat penginapan dalam usaha mewujudkan suasana seolah-olah sebuah perkampungan penuh kedamaian.

ANTARA aktiviti yang dijalankan di Gua Gendang (gua utama) dan Gua Itik. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
ANTARA aktiviti yang dijalankan di Gua Gendang (gua utama) dan Gua Itik. - Foto Nashairi Mohd Nawi.

Apa yang lebih mengagumkan adalah kewujudan sebatang sungai yang mengalir di bawah gua, kira-kira 100 meter dari Kem Rekreasi Gua Gendang, menampilkan keajaiban ciptaan Tuhan. Deruan air yang mengalir jauh di bawah gua menambahkan lagi suasana damai, paling sesuai untuk menenangkan perasaan dan merehatkan fikiran jika anda ingin menyendiri tanpa diganggu oleh sesiapa.

Bagi penulis, pengembaraan ke Gua Itik dan Gua Gendang adalah cabaran yang dinantikan. Peluang menyertai Program Lawatan Media ke Pengkalan Hulu 2014 The Undiscovered Trail anjuran Pelancongan Malaysia Perak memberi satu cabaran yang bukan sedikit, malah menguji ketahanan fizikal dan mental.

Perak mempunyai banyak lokasi menarik yang perlu dikunjungi dan lebih penting, kedua-dua gua ini adalah destinasi pelancongan belum tercemar, masih kaya dengan keindahan serta keaslian alam semula jadi.

Dari pekan Pengkalan Hulu, kami melalui Kampung Tasek, kira-kira satu kilometer untuk sampai di simpang Kem Rekreasi Gua Gendang, namun bas yang membawa kami tidak boleh meneruskan perjalanan hingga ke Gua Gendang Resort kerana terdapat pokok besar tumbang menghalang laluan.

Penulis dan anggota rombongan terpaksa berjalan kaki hampir dua kilometer untuk sampai ke resort berkenaan.

KEADAAN di dalam Gua Gendang. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
KEADAAN di dalam Gua Gendang. - Foto Nashairi Mohd Nawi.

Sekali lagi meredah hutan dan menyusuri cerun curam, kami perlu turun tangga bertali untuk ke Gua Gendang, namun lubang untuk turun sangat sempit. Ada lapan anak tangga dan kami melangkah penuh berhati-hati, mengikut setiap arahan anggota bomba.

Kami dilarang membuat bising dan berjalan berkumpulan menyusuri anak sungai yang berada di bawah gua. Pemandangan sangat menakjubkan dengan stalaktit dan stalagmit yang tidak terusik!

Keadaan sekeliling sangat sunyi dan ada ketikanya menggerunkan kerana kegelapan yang melampau! Jika tidak menyalakan lampu suluh, rakan berjalan di sebelah, langsung tak nampak.

Ia dinamakan Gua Gendang kerana air yang menghentam dinding gua menghasilkan bunyi seperti gendang, untuk mendengar bunyi itu, peserta dilarang bercakap.

Jangan terkejut kalau lampu suluh dihalakan ke dinding gua berhampiran, anda boleh melihat ribuan kelawar sedang tidur. Hampir satu jam merentas kegelapan gua, akhirnya kami sampai di penghujung. Untuk kembali ke Gua Gendang Resort, kami perlu mendaki tebing curam setinggi kira-kira 100 meter, sebelum merentas kebun getah.

Selepas hampir sejam berjalan, barulah tiba di resort, namun, apa yang boleh penulis simpulkan, pengembaraan ke Gua Itik dan Gua Gendang sangat mengujakan.

Hampir empat jam perjalanan pergi dan balik penuh pengalaman pahit dan manis.

Untuk tempahan dan ekspedisi ke Gua Gendang, hubungi Hisyam di talian 019-413 9216.

ANTARA peserta yang mengikuti aktiviti lasak di Gua Gendang. - Foto Nashairi Mohd Nawi.
ANTARA peserta yang mengikuti aktiviti lasak di Gua Gendang. - Foto Nashairi Mohd Nawi.

Kedalaman paras dada

Selepas meredah hutan hampir dua kilometer, akhirnya sampai di pintu Gua Itik. Gua itu dipenuhi air yang keruh kerana baru lepas hujan. Sekalipun airnya nampak tenang, namun kedalaman berbeza pada sesetengah tempat. Kami meredah air tanpa memikirkan apa yang ada di dalamnya. Ia dinamakan Gua Itik kerana air boleh mencapai kedalaman hingga ke paras dada jika hujan terlalu lebat dan peserta meredah air seperti seekor itik berenang.

Kami menikmati pemandangan yang cantik di dalam gua itu dengan hakisan air pada dinding gua membentuk batuan seperti lukisan, namun melangkah penuh berhati-hati. Kira-kira 30 minit akhirnya kami sampai di penghujung.

Perjalanan kami sekali lagi diduga apabila perlu mendaki tebing yang tinggi dan curam. Sebaik sampai di jalan kampung, kami berehat seketika melepaskan lelah. Anggota bomba memaklumkan, perjalanan ke Gua Gendang, hanya tiga kilometer lagi. Parah!

Perjalanan dengan melalui kebun getah yang berbukit, penulis berasakan ada sesuatu di betis kiri, rupa-rupanya seekor pacat yang mengekori dari Gua Itik tadi, sudah 'gemuk' menghisap darah! Bukan seekor, tetapi dua!

Apabila semua peserta berjaya menamatkan ekspedisi di kedua-dua gua berkenaan dan selamat sampai ke resort, sebaik selesai menikmati makan tengah hari, seorang anggota bomba akhirnya membuka satu rahsia yang membuatkan kami tergamam dan berfikir banyak kali sebelum melakukan ekspedisi ke gua yang sama pada masa akan datang.

Konon ceritanya, ketika kami menuruni cerun curam untuk masuk ke Gua Gendang menggunakan tangga bertali, rupa-rupanya ada seorang nenek tua, berambut panjang warna putih, duduk bertapa di batu berhampiran dan sentiasa memerhatikan gerak-geri kami. Patutlah kami perhatikan ada seorang anggota bomba berdiri di sisi batu yang dimaksudkan itu untuk memastikan tidak ada peserta yang memijak atau duduk di atas batu berkenaan.

Peserta dinasihatkan untuk terus terjun ke dalam air sebaik saja memijak anak tangga yang terakhir dan jangan sekali-kali, berdiri atau memijak batu yang dimaksudkan itu.

Kami juga dilarang bercakap-cakap atau membuat bising ketika berada di dalam Gua Gendang. Selain mendengar air menghentam dinding gua yang menghasilkan bunyi seperti gendang dalam suasana sunyi itu, peserta juga dilarang untuk berhenti berehat lama-lama di kawasan beting pasir dalam gua berkenaan.

Menurut cerita anggota bomba itu lagi, difahamkan ketika kami melewati di setiap beting pasir dalam Gua Gendang, rupa-rupanya di kawasan itu terdapat perkampungan orang bunyian! Patutlah kami dilarang membawa pulang apa saja benda yang kami jumpa di dalam gua, rupa-rupanya ada sebab. Kononnya ceritanya, orang bunyian itu tidak akan mengganggu peserta sekiranya barangan milik mereka tidak diusik atau diambil.

Berita Harian X