Khamis, 26 March 2015 | 12:02am

Sepang, F1 bagai irama dan lagu - Hamilton

KUALA LUMPUR: Sukar dibayangkan kalendar perlumbaan Formula Satu (F1) tanpa Grand Prix Malaysia di Sepang, setiap tahun.

Itulah firasat ikhlas diluahkan oleh kedua-dua pemandu Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg yang menganggap ia 'perlumbaan di laman sendiri'.

Nico Rosberg dan Lewis Hamilton ketika sesi bertermu peminat di ruang legar KLCC menjelang perlumbaan Grand Prix F1 Sepang hujung minggu ini. - Foto Osman Adnan
Nico Rosberg dan Lewis Hamilton ketika sesi bertermu peminat di ruang legar KLCC menjelang perlumbaan Grand Prix F1 Sepang hujung minggu ini. - Foto Osman Adnan

Ketika ditemui pada sesi teknikal bersama PETRONAS dan media, Rabu, kedua-duanya senada betapa GP Malaysia memiliki tempat yang istimewa di hati mereka dan ketiadaannya selepas 17 tahun penganjuran sesuatu yang mengecewakan.

"Sejak saya berlumba di F1, saya tidak pernah terlepas perlumbaan di Sepang. Saya menikmati perlumbaan di sini sejak 2007 jadi jika ia tiada lagi selepas ini pasti sesuatu perkara yang menyedihkan.

"Saya tidak boleh bayangkan perlumbaan tanpa Grand Prix Malaysia. Ia juga mempunyai litar (Litar Antarabangsa Sepang) yang menakjubkan. Jadi saya tidak boleh membayangkan tiada lagi kemeriahan itu di sini," kata Hamilton yang memenangi GP Malaysia buat pertama kali, tahun lalu.

JUARA dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton memohon maaf atas keterlanjuran memarahi anak saudara lelakinya kerana memakai pakaian wanita.
JUARA dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton memohon maaf atas keterlanjuran memarahi anak saudara lelakinya kerana memakai pakaian wanita.

Ketika ini, SIC masih berteka-teki dengan promoter perlumbaan F1 iaitu Formula One Management (FIM) bagi lanjutan kontrak F1 di Malaysia.

Sama ada kontrak itu disambung atau tidak, keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya 29 Mac ini iaitu hari perlumbaan.

Mengulas mengenai tekanan untuk memenangi GP Malaysia, Hamilton menyifatkan ia adalah lumrah selaku pasukan terbaik dunia dan cabaran seperti itu yang amat dinantikan.

Sementara itu, Rosberg turut menyuarakan pandangan sama betapa Malaysia tidak boleh terlepas menganjurkan F1 terutama dengan kerjasama strategik membabitkan syarikat petroleum gergasi negara, PETRONAS dengan pasukan juara dunia itu.

"GP Malaysia ialah tempat yang cukup istimewa bagi saya dan juga PETRONAS jadi sudah tentu ia penting untuk perlumbaan terus diadakan di sini," kata pelumba kelahiran Jerman itu.

Nico Rosberg dan Lewis Hamilton melayan peminat. - Foto Osman Adnan
Nico Rosberg dan Lewis Hamilton melayan peminat. - Foto Osman Adnan

"Sentiasa menarik untuk kembali ke Malaysia. Jadi saya juga amat berharap kita dapat kembali untuk beraksi selama beberapa tahun lagi di sini," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penganjur perlumbaan elit ini sudah kehilangan penganjuran di beberapa negara termasuk Korea Selatan dan India.

Namun, kejutan terbesar hadir tahun ini apabila badan induk sukan permotoran dunia, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan tiada perlumbaan di Jerman.

Ini kali pertama kali sejak 1960 negara automotif terbesar Eropah itu gagal menganjurkan F1 sekalipun beberapa pelumba kelahiran negara itu serta gergasi pengeluar kereta iaitu Mercedes masih berlumba.

Tindakan itu terpaksa diambil selepas kedua-dua litar utama di negara itu, Hockenheim dan Nuerburgring tidak berhasrat menganjurkan perlumbaan terbabit.

Keputusan itu menyaksikan hanya 19 pusingan perlumbaan akan dijalankan tahun ini meninggalkan jarak selama tiga minggu pada Julai.

KUALA LUMPUR 25 MARCH 2015. Pelumba F1 Mercedes Petronas , Lewis Hamilton (kanan) menurunkan autograf pada seorang peminat kecil Mao berusia 13 bulan yangdidukung ibunya Anri Satoh ketika sesi bertermu peminat di ruang legar KLCC. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR 25 MARCH 2015. Pelumba F1 Mercedes Petronas , Lewis Hamilton (kanan) menurunkan autograf pada seorang peminat kecil Mao berusia 13 bulan yangdidukung ibunya Anri Satoh ketika sesi bertermu peminat di ruang legar KLCC. - Foto Osman Adnan

Hamilton, Rosberg sudah bersedia

Menyifatkan GP Malaysia sebagai amat mencabar terutama dari sudut cuaca yang panas dan lembap, Hamilton dan Rosberg mengakui mereka sudah bersedia menghadapi segala cabaran itu.

Menguasai perlumbaan di Sepang tahun lalu dengan kemenangan dominasi podium satu dan dua, Hamilton yang memenangi perlumbaan itu mengakui sudah menjalani beberapa latihan istimewa bagi menyesuaikan diri.

"Di sini kelembapan dan kepanasan boleh membunuh," kata pelumba kelahiran Britain itu.

"Tetapi, saya sudah melakukan persiapan yang rapi untuk menghadapinya jadi saya berharap dapat mengulangi kejayaan yang sama tahun ini." katanya yang turut berseloroh berharap keadaan perutnya yang sedikit memulas kerana makan roti canai tidak mengganggu aksi di Sepang nanti.

Dari kiri, Toto Wolff, Nico Rosberg, Lewis Hamilton, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas Liz Kamaruddin, Eric Holthusen (kanan) ketika sidang forum media teknikal pasukan menjelang perlumbaan Grand Prix F1 Sepang hujung minggu ini. - Foto Osman Adnan
Dari kiri, Toto Wolff, Nico Rosberg, Lewis Hamilton, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas Liz Kamaruddin, Eric Holthusen (kanan) ketika sidang forum media teknikal pasukan menjelang perlumbaan Grand Prix F1 Sepang hujung minggu ini. - Foto Osman Adnan

Rosberg dalam pada itu mengakui perseteruannya dengan Hamilton baik untuk pasukan namun berharap dirinya mampu mencipta kemenangan di Sepang nanti.

"Kami adalah pasukan terbaik di dunia ketika ini jadi sudah pasti kami mahukan kemenangan di sini. Kami mendapat permulaan yang baik di Melbourne (Australia).

"Kami mempunyai jentera terbaik, pasukan terbaik dan saya yakin kami sekali lagi akan menguasai perlumbaan dan berharap saya mampu di depan," Kata pelumba kelahiran Jerman itu menyifatkan Sepang sebagai 'menakjubkan' dengan dibanjiri banyak penonton setiap kali F1 berlangsung.

Ferrari pencabar utama

Menguasai perlumbaan pembuka musim F1 di Australia, 15 Mac lalu dengan kemenangan satu dan dua, Mercedes AMG PETRONAS melihat Ferrari mampu menjadi pencabar utama kepada musim ini.

"Ferrari membuat peningkatan yang besar tahun ini dari sudut jentera dan enjin mereka. Saya tidak tahu mengapa jurang tahun lalu terlalu jauh dan bagaimana mereka boleh kembali mendekatkan jurang itu dengan pantas tahun ini," kata Hamilton.

Lewis Hamilton ber"selfie" bersama peminat yang menanti di ruang legar Suria KLCC, semalam. - Foto Osman Adnan
Lewis Hamilton ber"selfie" bersama peminat yang menanti di ruang legar Suria KLCC, semalam. - Foto Osman Adnan

"Apa pun, kami sudah bersedia untuk menghadapi mereka," katanya.

Hamilton memenangi perlumbaan GP Australia dengan Rosberg menduduki tangga kedua.

Sekalipun tidak meletakkan sasaran menggunung selepas berakhir sesi ujian pra-musim, Ferrari menerusi pelumbanya yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Berita Harian X