Khamis, 26 March 2015 | 12:03am

Wanita boleh ziarah kubur selagi jaga adab, aurat

Soalan:
Bolehkah seorang wanita menziarahi pusara keluarga terdekat atau sahabatnya ketika berada dalam haid?

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Jawapan:
Secara umumnya, wanita dibenarkan menziarahi perkuburan ahli keluarga, sahabat dan sebagainya selagi mereka memelihara syariat serta adab ketika menziarahi tanah perkuburan.

Ini berdasarkan riwayat yang disampaikan oleh Anas Malik, "Suatu ketika, Nabi SAW terserempak dengan seorang wanita yang sedang menangis dan meraung di atas pusara anaknya. Lantas Nabi SAW bersabda: Wahai perempuan, takutlah kamu kepada Allah SWT dan bersabarlah. Wanita itu pun berkata: Apakah yang kamu tahu mengenai masalah yang menimpa diriku ini?

Nabi SAW tidak berkata apa-apa dan hanya terus berlalu pergi. Lantas wanita itu diberi maklum bahawa lelaki yang menegurnya itu adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu dan dia terus mendapatkan Rasulullah SAW di rumahnya. Setibanya di depan pintu rumah Rasulullah SAW, dia berkata: "Sesungguhnya aku tidak mengenalimu". Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kesabaran itu sangat tinggi martabatnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu jelas menunjukkan larangan bukan terhadap kehadiran wanita di tanah perkuburan tetapi larangan kerana jeritan dan tangisan wanita itu di tanah perkuburan.

Sehubungan itu, wanita dibenarkan untuk hadir ke tanah perkuburan dengan beberapa syarat.

Sempurna tutup aurat

Antaranya, menutupi aurat dengan sempurna, menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, tidak membuat bising dengan jeritan atau tangisan yang melampau, jadikan kehadirannya itu sebagai peringatan kepada saat kematian dan akhirat.

Menjaga adab dan adat setempat dalam menziarahi tanah perkuburan yang tidak bercanggah dengan Islam, tidak melakukan perkara khurafat, tidak menjadi penyebab kepada fitnah, bukan berada dalam edah kerana wanita edah diharamkan keluar rumah kecuali untuk menunaikan keperluan harian seperti membeli barangan, bekerja menampung nafkah diri dan anak.

Tiada dalil

Adapun wanita haid, tidak terdapat sebarang dalil sama ada daripada al-Quran atau al-Sunah yang melarang mereka pergi ke tanah perkuburan. Wanita yang haid dibenarkan hadir ke rumah si mati atau menghadiri tanah perkuburan jika menepati semua syarat yang telah dijelaskan.

Ada sahabat saya selalu melakukan lawatan ke kubur orang alim untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup. Antara perbuatan yang dilakukannya ialah tawaf sebanyak tujuh kali mengelilingi kubur itu. Apakah ini dibenarkan oleh Islam?

Perlu ditegaskan, tawaf hanya disyariatkan kepada umat Islam ketika mereka di Baitullah al-Haram. Selain Kaabah, perbuatan tawaf untuk tujuan ibadat khusus adalah haram dan boleh membawa kepada syirik kerana perbuatan itu tidak pernah disyariatkan oleh Islam.

Bahkan tiada sebarang dalil yang menunjukkan Nabi SAW pernah tawaf selain daripada Kaabah. Oleh itu, dinasihatkan kepada umat Islam supaya lebih peka terhadap isu berkaitan hukum dan akidah.

Jangan terlalu mudah terikut-ikut dengan budaya atau adat yang tidak berasaskan al-Quran dan al-Sunah.

​Mengharap keberkatan hidup tidak akan tercapai dengan melakukan perkara khurafat seperti menziarahi dan tawaf kubur wali atau ulama. Islam dari awal lagi mengajar kita supaya mengejar keberkatan menerusi dua kaedah.

Pertama, memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Keberkatan hidup adalah satu nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya. Maka permohonan hanya dibenarkan melalui doa secara terus kepada Ilahi tanpa perlu kepada perantaraan kubur wali tertentu.

Ia akan lebih berkesan apabila dilakukan secara berterusan pada setiap masa dan ketika.

Doa amalan sunah Nabi SAW

Jika dikaji secara terperinci, amalan berdoa adalah sunah Nabi SAW yang tidak pernah ditinggalkan hingga ke penghujung hayat Baginda SAW.

Pernah suatu ketika, Nabi SAW menasihati Abdullah ibn Abbas dengan bersabda: "Jika kamu ingin meminta sesuatu nikmat, maka pohonlah daripada Allah SWT. Ingatlah bahawa sekumpulan manusia sekiranya mereka bersatu sekalipun untuk memberi manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian kecuali ia sudah tertulis untuk kamu oleh Allah SWT. Begitu juga sekiranya mereka bersatu untuk memudaratkan kamu dalam sesuatu urusan, percayalah mereka tidak akan mampu berbuat demikian kecuali ia benar-benar telah tertulis untuk kamu di sisi Allah SWT."

Kedua, ketakwaan dalam melakukan urusan keduniaan. Pastikan hidup ini selamat daripada kemaksiatan yang terlarang kerana ia punca terhalang rezeki dan keberkatan hidup. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Jika sesebuah kampung itu (penduduknya) beriman dan takut kepada Allah (dalam urusan hidup mereka) nescaya akan dibuka kepada mereka keberkatan (daripada Allah) sama ada dari langit mahupun bumi." (Surah al-A'raf, ayat 96)

​Sehubungan itu, umat Islam wajib memastikan segala tugasan dan usaha mereka mengejar dunia bertepatan dengan kehendak akidah dan syariat. Jika ia dapat dilakukan dengan baik seperti disuruh Allah SWT dan Rasul-Nya, nescaya hidup seseorang itu akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT tanpa perlu menziarahi kubur golongan tertentu.

Berita Harian X