Khamis, 2 April 2015 | 12:00am

Dendam sejarah, cetus luka berpanjangan

BERDENDAM dengan sejarah selalunya menerbitkan luka berpanjangan. Apatah lagi, ia tidak dapat diubah, sebaliknya tinggal sebagai keinginan yang tidak terjelma. Demikian, gelodak emosi watak utama dalam novel Luka Nering karya Malim Ghozali Pk dihidupkan.

TC atau Raja Chik ialah anak raja daripada Kerabat Diraja Perak yang berjiwa nasionalis. Peluang belajar di luar negara sepatutnya menjauhkannya daripada peradaban dan sejarah bangsa sendiri, sebaliknya mendekatkan beliau dengan sejarah tanah air.

BUKU Luka Nering hasil Malim Ghozali PK di program Kata Pengarang Kata Pembaca di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib.
BUKU Luka Nering hasil Malim Ghozali PK di program Kata Pengarang Kata Pembaca di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib.

Sepanjang pengajian, TC menyelongkar sejarah negara sendiri, mula mengetahui bagaimana penjajah memanipulasi bangsanya sehingga dia berdendam dengan Perjanjian Pangkor dan penulisan sejarah bangsanya yang diputarbelitkan.

TC mempertikaikan mengapa sejarah negaranya mesti ditulis oleh orientalis yang meletakkan pejuang bangsa sebagai pemberontak, sementara penjajah Inggeris kononnya menjadi ejen perubahan dan pembangunan.

Apabila pulang dan berkhidmat sebagai penjawat awam, TC kerap bertelagah pendapat dengan pegawai daerah berbangsa Inggeris, Osborne, tetapi terpaksa menahan sabar dengan kerenah pegawai itu kerana perselisihan pendapat dengannya sehingga menyukarkan TC yang ketika itu berada dalam giliran menaiki takhta.

Bagaimanapun, TC kemudiannya terbabit dengan isu yang lebih besar apabila dituduh membunuh Osborne dan dimasukkan ke hospital jiwa sehingga dikhianati, lalu tersingkir daripada sistem penggiliran takhta.

Sekali lalu, Luka Nering hanyalah sebuah novel sejarah yang merakamkan suka duka TC sebagai anak raja yang tersingkir tetapi membaca naskhah ini memerlukan penelitian kerana kisahnya berlapis-lapis.

BUKU Luka Nering. -Foto Amirudin Sahib.
BUKU Luka Nering. -Foto Amirudin Sahib.

Ia bukan hanya merakamkan kehidupan TC, sebaliknya keluhan mengenai sejarah yang diajarkan kepada anak Malaysia yang lebih memihak kepada penjajah.

Misalnya Pulau Pinang yang sebenarnya sudah dibuka oleh Haji Mohamad Salleh selama 70 tahun sebelum ketibaan Francis Light, manakala perjanjian perlindungan Kedah daripada serangan Siam akhirnya menggadaikan Pulau Pinang kepada British.

Malim Pk dalam Luka Nering juga secara terbuka menyebut, Melayu akan terus jatuh jika anak bangsa tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah. Ini jelas apabila watak TC terkenang kepada sejarah Naning yang dipimpin oleh Dol Said akhirnya jatuh di tangan Inggeris kerana belotnya Sayed Syaaban.

Sayed Syaaban ialah menantu Dol Said yang dijanjikan pangkat dan tanah oleh Inggeris, sekali gus mengingatkannya pula kepada Datuk Maharaja Lela yang dikhianati oleh bangsa sendiri dalam kes pembunuhan Residen Inggeris, JWW Birch.

Luka Nering ialah cubaan berani daripada Malim Pk untuk mencabar minda sedar orang Melayu. Karya ini disampaikan dengan bahasa mudah, santai yang sangat menarik untuk dibaca apatah lagi dengan tema dan semangat nasionalisnya yang tebal.

Menerusi Luka Nering, Malim Pk berjaya memikat pembaca dengan cara tersendiri menyerlahkan kemahiran berceritanya.

INFO BUKU

Luka Nering

- Penulis: Malim Ghozali Pk

- Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

- Halaman: 383

PROFIL

Malim Ghozali Pk

* Nama pena Mohamed Ghozali Abdul Rashid, yang berasal dari Malim Nawar, Perak.

* Menulis dalam semua genre sastera, tetapi kekuatan terserlah dalam genre novel dan cerpen, manakala karyanya banyak memenangi hadiah sayembara pada peringkat kebangsaan.

* Luka Nering ialah novel keempatnya selepas Redang, Janji Paramaribo dan Daun

Berita Harian X