Sabtu, 4 April 2015 | 12:16am

Fantasi atau realiti?

Alice, The National Ballet of Canada
Alice, The National Ballet of Canada

MEREKA adalah manusia normal, namun apa yang membezakan mereka dengan manusia normal lain adalah dari segi mentafsir apa yang dilihatnya kepada imej yang nyata.

Seolah-olah berada di alam fantasi, penglihatan mereka akan dimanipulasikan sehingga apa yang dilihat boleh berubah seperti besar menjadi kecil dan yang jauh, kelihatan dekat.

Seperti menonton filem fantasi popular, Alice in Wonderland apabila manusia dilihat berupa pelik dan binatang yang besar kelihatan kecil, inilah yang dihadapi oleh penghidap Sindrom Alice in Wonderland (SAIW).

SAIW juga dikenali sebagai sindrom Todd's atau halusinasi lilliputian, yang dikatakan berkait rapat dengan gejala lain seperti sakit kepala.

Ia sebenarnya adalah satu situasi, yang mana otak sukar mentafsir apa yang dilihat oleh mata sehingga memberikan satu isyarat yang kompleks.

Jika sebelum ini ramai yang menyangka filem Alice In Wonderland hanyalah sebuah karya fantasi atau dongeng semata-mata, hakikatnya ia sebenarnya bertitik-tolak daripada pengalaman sebenar penulis cerita Alice In Wonderland.

Jadi keliru

Penulis Alice In Wonderland, Lewis Carroll adalah seorang penghidap SAIW. Beliau sukar mentafsir apa yang dilihatnya sehinggakan kadang kala menyebabkannya menjadi keliru.

Mungkin nampak seperti satu jenaka, namun tanpa kawalan dan perubatan yang betul ia boleh membawa kepada bahaya. Bayangkan jika anjing atau binatang buas dilihat kecil bak kucing atau tikus peliharaan.

Secara fizikalnya, pesakit SAIW mempunyai sistem optik yang normal, namun masalah ini memberi kesan pada penglihatan, deria rasa dan sentuhan selain pendengaran.

Satu gejala yang terkenal dan sering mengganggu penghidap SAIW ialah mereka keliru dengan saiz dan bentuk bahagian badan atau keseluruhan badan sendiri. Tubuh badan yang besar dilihat kecil atau sebaliknya.

Penghidap penyakit ini kadangkala berasakan dirinya sendiri menjadi semakin pendek dan mengecil, selain melihat siaran televisyen menjadi terbalik serta berasakan keadaan sekeliling sedang berputar.

OTAK penghidap SAIW sukar mentafsir apa yang dilihat oleh mata sehingga memberikan satu isyarat yang kompleks.
OTAK penghidap SAIW sukar mentafsir apa yang dilihat oleh mata sehingga memberikan satu isyarat yang kompleks.

Suara jadi kuat

Ada juga keadaan pesakit yang mendengar suara orang menjadi agak kuat dan rapat atau perlahan dan jauh seakan-akan berbisik. Sering kali pesakit SAIW mengalami serangan migrain selain mengalami kemerahan pada mata.

Pengalaman seorang pesakit SAIW yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Asyikin, 20-an, berkata hampir setahun dia mengalami sindrom ini yang menyukarkannya membezakan jarak dan saiz.

Menceritakan semula sindrom SAIW yang berlaku ketika berusia sembilan tahun, Nur Asyikin menyatakan ketika itu beliau demam panas dan mula menghadapi kesukaran membezakan jarak.

"Ketika itu saya demam dan hanya berbaring sambil melihat ke luar bilik. Saya nampak keadaan bilik saya menjadi luas dan jarak antara pintu dengan dinding luar kelihatan sangat jauh.

"Bila mendongak pula saya jadi takut sebab melihatkan saiz kipas yang menjadi sangat besar. Saya juga selalu beranggapan kucing peliharaan saya semuanya kecil seperti anak kucing walaupun hakikat adalah sebaliknya," katanya.

Hampir setahun Nur Asyikin mengalami situasi begitu, namun seiring dengan usianya ketika itu, Nur Asyikin menganggap gejala pelik yang dihadapinya ini sebagai bukan satu perkara buruk.

Sindrom itu, katanya, tidak berterusan, ia hanya muncul sekali-sekala dan apabila berlaku, ia selalunya akan berakhir dengan mengalami sakit kepala atau terasa persekitaran sedang berputar.

Nur Asyikin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan keadaan yang berlaku ketika itu disebabkan berada di bawah pengaruh ubat berikutan kerap sakit seperti deman dan selesema.

Dr Hazli Zakaria
Dr Hazli Zakaria

Dianggap tidak siuman

Pakar Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Hazli Zakaria, berkata SAIW dikategorikan sebagai keadaan neurologi yang amat jarang berlaku.

Katanya, seseorang itu akan diberikan diagnosis SAIW setelah diperiksa dengan teliti oleh pakar neurologi dan psikiatri untuk memastikan tidak ada sebab perubatan atau pembedahan lain yang menyebabkan mereka mengalami pengalaman sedemikian.

Belum dikesan puncanya

Beliau berkata, kebanyakan kes SAIW tidak dapat dikesan puncanya dan selalunya ada kaitan dengan migrain, jangkitan virus tertentu, pengambilan dadah psikotropik, dadah terlarang dan ketumbuhan dalam badan.

"Pada masa ini, tidak ada kajian yang tepat untuk mengetahui sebab sebenar sindrom ini. Daripada apa yang kita tahu sekarang, tidak ada lokasi spesifik atau perubahan yang ketara pada otak yang menyebabkan SAIW," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, rawatan bagi SAIW lebih bersifat sokongan, tidak ada rawatan spesifik, sebaliknya pesakit akan minta untuk berehat sepenuhnya.

"Rawatan yang diberikan akan bersifat sokongan dan bergantung kepada keperluan pesakit. Jika halusinasi yang dialami mereka itu keterlaluan, ubat antipsikotik boleh diberi dan mereka juga akan diberi rawatan susulan jika mengalami kemurungan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof Madya Dr Rozmi Ismail, berkata gejala yang dihadapi penghidap SAIW mempunyai kaitan dengan psikologi abnormal.

Katanya, secara umum, sindrom itu menyebabkan gangguan persepsi akibat wujudnya gangguan di dalam otak. Pesakit selalunya mengalami pengalaman pelik dan berhalusinasi atau melihat sesuatu yang lain berbanding orang normal.

Lihat benda pelik

"Mereka seperti berada di dunia yang asing dan apa yang dilihat mereka akan kelihatan pelik, malah pesakit SAIW turut mengalami perubahan deria seperti mendengar dan merasai sesuatu yang luar biasa.

"Jika pesakit itu bercerita mengenai persepsi penderiaan yang tidak betul ini kepada orang lain, dikhuatiri pesakit akan dianggap sebagai kurang siuman sekali gus membawa kepada emosi dan tekanan.

"Jika tidak diubati pula, mungkin membawa bahaya kerana seseorang itu akan berada dalam dunia yang asing dan akan bercakap mengenai perkara pelik, yang tidak dapat difahami atau dilihat oleh orang normal.

"Ini boleh menjejaskan hubungan sosial dan kesihatan mentalnya seperti mengalami tekanan dan kemurungan," katanya.

Dr Rozmi berkata, kebanyakan masalah itu dialami kanak-kanak tetapi ada juga kes ia membabitkan golongan dewasa, terutama yang mempunyai sejarah penyakit migrain atau berada di bawah pengaruh dadah.

Berjumpa psikiatri adalah antara rawatan yang dapat membantu penghidap SAIW. Pesakit akan menjalani terapi supaya berada dalam situasi yang sebenar, selain diberi ubat-ubatan tertentu untuk mengurangkan halusinasi serta tekanan.

PENGHIDAP SAIW keliru dengan saiz dan bentuk bahagian badan.
PENGHIDAP SAIW keliru dengan saiz dan bentuk bahagian badan.

INFO

Micropsia: objek dilihat lebih kecil

Macropsia: objek lebih besar daripada saiz sepatutnya

Teleopsia: objek kelihatan jauh

Peleopsia: objek kelihatan berhampiran dan besar

Berita Harian X