Selasa, 7 April 2015 | 12:01am

BERSIRI: British sekat idea cendekiawan Melayu

KUALA LUMPUR: Penindasan berterusan pemerintahan British terhadap kebangkitan cendekiawan Melayu pada era 1940 hingga 1950-an adalah punca banyak idea dicadangkan untuk memajukan ekonomi dan pendidikan Melayu ketika itu terbantut dan berkubur.

Penganalisis sejarah, Prof Datuk Dr Zainal Kling percaya Allahyarham Maarof Zakaria dan Tan Sri Dr Zainal Abidin Ahmad atau Za'aba, antara tokoh yang menerima kesan itu apabila semua usahanya disekat oleh British yang mengamalkan dasar pilih kasih dan tidak mahu anak Melayu berjaya.

Katanya, apabila memasuki era kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein, revolusi terhadap ekonomi dan pendidikan Melayu mula dibuat secara agresif dan tersusun menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), selain kajian semula sistem pendidikan di bawah Penyata Razak, ketika beliau menjawat Menteri Pelajaran.

"Sebab itu, jika disoroti sejarah perjalanan anak Melayu era sebelum merdeka, ramai yang berjaya, tapi ditindas. Ada yang mahu buka bank dan universiti, tapi disekat oleh British yang mengamalkan corak pemerintahan tidak adil kepada Melayu.

Hanya bersekolah rendah

"Anak Melayu ketika itu hanya dibenarkan bersekolah rendah hingga Tahun Tiga, cukup untuk mengenal huruf A..B..C. Kolej MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) yang dibuka pun terhad dan hanya dikhaskan kepada golongan bangsawan," katanya.

Beliau percaya, Maarof adalah sebahagian cendekiawan yang muncul pada era itu, namun menerima tentangan kuat British sehingga memaksa impiannya membangunkan perbankan Melayu gagal.

"Orang Melayu hanya dibenarkan meminjam daripada ceti, paling tinggi pun menjadi ahli koperasi," katanya sambil memaklumkan kekangan Melayu untuk maju dalam ekonomi sebenarnya bukan berlaku pada masa kini saja, bahkan sejak penjajahan British.

Selain Maarof, bekas Menteri Besar Pahang, Allahyarham Tan Sri Yahya Mohd Seth antara individu terbabit dalam membangunkan bank berkenaan. Yahya ketika itu adalah Pengurus Bank Kebangsaan Melayu di Temerloh.

Sementara itu, dalam buku berjudul Tun Abdul Razak: Potret Dalam Kenangan diterbitkan Yayasan Tun Abdul Razak, turut dikongsi coretan mengenai sumbangan Maarof yang berjaya membuka bank Melayu pertama ketika era penjajahan British.

Buku itu antara lain menyebut bahawa kematian tokoh perbankan kira-kira 64 tahun lalu itu adalah kerana khianat dan bukan disebabkan masalah kewangan atau penyelewengan seperti didakwa dalam laporan penjajah British.

Kenang misteri kematian

Kisah pembunuhan tragik Maarof itu turut dikongsi pembaca BH. Di laman Facebook BH Online, kebanyakan pembaca mahu misteri kematian tokoh itu dikenang, malah ada yang menggesa supaya pihak polis membuka semula siasatan bagi mencari siapa sebenar pembunuhnya.

Pengguna Facebook yang menggunakan nama Razanet Rashida berkata `Semoga kita dapat mengetahui cerita sebenar, ..hebatnya orang Melayu!'

Md Noor Jan Mohd dalam komennya pula menyebut : `Mustafa (anak Maarof) minta polis buka balik fail (siasatan) pembunuhan ayahanda Maarof," katanya.

"Kes ini sudah lebih 60 tahun. Kita akan meneliti dan semak kes ini," Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
"Kes ini sudah lebih 60 tahun. Kita akan meneliti dan semak kes ini," Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar

Polis sedia teliti semula fail siasatan

Polis sedia menyemak semula fail siasatan berhubung kes pengasas Bank Kebangsaan Melayu, Maarof Zakaria yang diculik dan dibunuh pada Disember 1947.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata beliau akan menyemak semula fail siasatan untuk mengetahui sama ada ia boleh dibuka semula atau sebaliknya.

"Kes ini sudah lebih 60 tahun. Kita akan meneliti dan semak kes ini," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, polis menghadapi sedikit kesukaran untuk menyemak kes itu memandangkan ia sudah terlalu lama dan berlaku ketika zaman sebelum merdeka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, berkata kes seperti ini boleh dibuka semula jika ada keterangan baharu dan bukti kukuh.

Budi bicara Peguam Negara

Bagaimanapun, keputusan membuka semula siasatan bergantung kepada kebenaran dan budi bicara Peguam Negara.

"Kebiasaannya, jika ada bukti baharu yang kukuh atau penemuan baharu, ia boleh dibuka semula," katanya.

BH Ahad melaporkan, Maarof yang ketika itu berusia 43 tahun, diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru di sini, menuju ke rumah ibunya di Seremban.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui di Jalan Kuala Lumpur-Bentong dalam keadaan digantung pada sebatang pokok di dalam hutan.

Kes penculikan dan pembunuhan itu sehingga kini menjadi misteri dan dipercayai ada kaitan dengan komplot menggagalkan bank Melayu pertama yang diusahakannya.

Berita Harian X