X
Jumaat, 10 April 2015 | 12:06am
LITAR Sepang yang menganjurkan perlumbaan MotoGP setiap tahun menjadi lambang kebanggaan negara.
LITAR Sepang yang menganjurkan perlumbaan MotoGP setiap tahun menjadi lambang kebanggaan negara.
ZAQHWAN Zaidi antara harapan negara dalam perlumbaan MotoGP kelas Moto2. - Foto Goh Thean Howe
ZAQHWAN Zaidi antara harapan negara dalam perlumbaan MotoGP kelas Moto2. - Foto Goh Thean Howe
LITAR Sepang tidak dinafikan menjadi punca perkembangan sukan permotoran negara sejak dibuka pada 1999. - Foto Osman Adnan
LITAR Sepang tidak dinafikan menjadi punca perkembangan sukan permotoran negara sejak dibuka pada 1999. - Foto Osman Adnan

Cukupkah setakat litar Sepang?


BAYANGKAN betapa indah senario sukan permotoran di negara ini andai kita berjaya memiliki seorang Valentino Rossi, Jorge Lorenzo atau pun Marc Marquez versi Malaysia.

Hakikatnya, ketika ini kita belum ada seorang pun anak watan yang boleh dipertaruhkan di trek perlumbaan untuk berdiri sama tinggi dengan idola dan jagoan dunia seperti ini.

Kejayaan Rossi dan Lorenzo, umpamanya melonjakkan nama negara mereka - Itali dan Sepanyol selaku antara kuasa sukan permotoran dua roda secara global.

RON Hogg percaya pembinaan beberapa lagi litar seperti ini boleh membantu melahirkan lebih ramai jagoan negara.
RON Hogg percaya pembinaan beberapa lagi litar seperti ini boleh membantu melahirkan lebih ramai jagoan negara.

Jadi, apakah kekurangan kita di Malaysia yang lebih gah menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia termasuk MotoGP atau Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) setiap tahun.

Ketika ini di pentas dunia, kita memiliki Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Zaqhwan Zaidi yang beraksi di kelas kedua MotoGP iaitu Moto2 dan seorang pelumba di Moto3, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

Sebelum mereka, muncul Shahrol Yuzy Ahmad Zaini - namun kejayaan dilakar belum cukup membanggakan negara yang membuat pelaburan besar selama ini.

Apakah formula yang diterapkan Sepanyol, Itali mahu pun negara barat lain yang berjaya menguasai pentas perlumbaan dunia.

Ikuti temubual wartawan BHOnline Sukan, KHAIRIL S ISWAN bersama Ron Hogg - ketua promoter Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dan juga promoter Kejuaraan Perlumbaan Cub Prix Malaysia PETRONAS mengenai usaha selain sekatan kita untuk menghasilkan juara dunia.

JAGUH dunia (dari kiri) Marc Marquez, Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo adalah produk pembangunan sukan permotoran dari Sepanyol yang memiliki antara infrastruktur terbaik di dunia. - Foto Goh Thean Howe
JAGUH dunia (dari kiri) Marc Marquez, Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo adalah produk pembangunan sukan permotoran dari Sepanyol yang memiliki antara infrastruktur terbaik di dunia. - Foto Goh Thean Howe

BHPlus: Selaku promoter perlumbaan di peringkat tempatan dan Asia di manakah kedudukan kita dari sudut kualiti pelumba selain penganjur dan berapa jauh jurang kita ketika ini?

Ron Hogg: Selaku penganjur, kita memang boleh dianggap cemerlang tidak kira di peringkat domestik, Asia atau pun dunia.

Daripada sudut pelumba pula, saya percaya kita memang memiliki kelompok berkualiti dan berbakat yang mampu menguasai pentas Asia. Namun, jurang itu di peringkat dunia masih jauh. Malah sehingga kini, kita hanya mempunyai pelumba yang beraksi di kelas kedua di MotoGP iaitu Moto2 dan ia sudah cukup menunjukkan betapa besar jurang itu.

HAFIZH Syahrin juga makin menonjol dalam kelas Moto2 dan boleh digilap lagi ke tahap tertinggi. - Foto Goh Thean Howe
HAFIZH Syahrin juga makin menonjol dalam kelas Moto2 dan boleh digilap lagi ke tahap tertinggi. - Foto Goh Thean Howe

BHPlus: Kita sudah membuktikan mampu melahirkan juara Asia. Adakah pelumba di Malaysia memiliki ramuan untuk bergelar juara dunia pula?

RH: Juara dunia bukan boleh dicipta dalam sekelip mata. Bagi saya, ia bukan saja berkisar pelumba itu sendiri namun semua pihak yang terbabit.

Sebagai pelumba, mereka memerlukan beberapa tahun untuk matang. Sebagai contoh, Zaqhwan memerlukan tempoh tiga tahun sebelum menjadi juara dan dia kini di peringkat dunia menerusi usahanya.

Kerana itu, pasukan-pasukan di Malaysia perlu memberikan fokus yang penuh kepada pelumba-pelumba ini untuk beraksi di pentas tempatan dan Asia terlebih dulu sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

VALENTINO Rossi dilahirkan di negara yang memiliki banyak litar dan kemudahan perlumbaan terbaik. - Foto Goh Thean Howe
VALENTINO Rossi dilahirkan di negara yang memiliki banyak litar dan kemudahan perlumbaan terbaik. - Foto Goh Thean Howe

BHPlus: Seperti kita tahu, Sepanyol adalah negara yang dilihat sebagai 'pengeluar' jaguh-jaguh sukan permotoran terutama MotoGP termasuk perlumbaan Formula Satu (F1). Apakah kelebihan mereka dan kekurangan kita?

RH: Untuk menjawab soalan itu, kita perlu melihat kembali di mana asas kita atau peringkat akar umbi. Ketika ini, di Malaysia, kita ada perlumbaan Cub Prix di mana kita cungkil bakat pelumba itu bermula pada usia 13 tahun. Di Sepanyol, Marquez sebagai contoh sudah bermula secara kompetitif pada usia 8 tahun di perlumbaan di bawah kelas Moto3.

Selain itu, kita perlu melihat berapa banyak sumber yang kita miliki berbanding mereka. Kita mempunyai bakat namun adakah kita mempunyai sumber yang cukup untuk mengetengahkan bakat-bakat itu.

Seperti bola sepak, kita memerlukan lebih banyak padang bola atau stadium untuk mencari bakat. Ia sama seperti sukan permotoran. Di Sepanyol, mereka memiliki tujuh litar bertaraf antarabangsa dan bayangkan pula Jepun sudah memiliki 14.

Namun, kita hanya memiliki Litar Antarabangsa Sepang. Faktor-faktor seperti ini boleh menghindarkan peluang kita menggilap bakat di tanah air.

ZULFAHMI menjadi pelumba pertama negara naik ke podium dalam kejuaraan dunia.
ZULFAHMI menjadi pelumba pertama negara naik ke podium dalam kejuaraan dunia.

BHPlus: Adakah bermula pada usia 13 tahun dianggap sudah terlewat dan apakah kekurangan lain selain daripada itu?

RH: Di Malaysia, had umur pelumba yang dibenarkan berlumba oleh AAM dalam Cub Prix adalah 13 tahun. Bagi saya, pada masa ini had umur 13 tahun untuk berlumba pada tahap Cub Prix sudah memadai.

Kita perlu mengira bentuk badan orang di Malaysia pada usia 13 tahun tidaklah besar. Kebanyakan mereka memiliki berat 32 ke 32 kilogram dan belum matang untuk berlumba.

Bagi seseorang pelumba, mereka memerlukan proses tiga sehingga empat tahun untuk matang kerana sumber yang kita miliki di sini tidak mencukupi. Jika kita memiliki lebih kemudahan berlumba, jangka masa itu boleh dipendekkan.

Ia bukan saja masalah di Malaysia, malah seluruh Asia. Kita memiliki ramai pelumba berbakat namun peluang untuk naik ke peringkat dunia itu kurang.

BHPlus: Sukan permotoran adalah sukan yang mahal. Adakah ia satu kekurangan buat kita terutama dari sudut penajaan?

RH: Sebenarnya dari sudut penajaan, kita memiliki 'money power' atau kuasa wang. Namun penajaan ini lebih tertumpu kepada 'buy to succes' kerana mereka hadir ketika segala-galanya sedang hangat dan keluar selepas merudum.

Bagi saya, ia kadang kala perkara seperti ini boleh merosakkan industri. Penajaan di Malaysia selalunya dalam tempoh jangka pendek. Lihat saja F1, pada satu ketika banyak pasukan yang didukung syarikat gergasi tempatan dengan pelbagai janji. Mengejutkan, setahun dua selepas itu, mereka hilang.

Jika mereka memberi tumpuan kepada akar umbi untuk pembangunan jangka panjang, ia lebih baik kerana permulaan atas asas itulah yang utama.

BHPlus: Berbalik kepada ARRC, sejauh mana tahap kemampuan pelumba graduan perlumbaan ini untuk beraksi di pentas dunia?

RH: Mudah untuk saya katakan lima atau tujuh pelumba yang sedang beraksi di ARRC ketika ini berkemampuan untuk berlumba dan bersaing di pentas dunia.

Di Malaysia saja kita memiliki empat pelumba yang beraksi di Kejuaraan Dunia kelas Moto2 tahun ini dan kesemua mereka lahir daripada sama ada Cub Prix mahu pun ARRC.

Bagi saya, tahap di peringkat Asia ketika ini boleh dianggap sangat tinggi. Begitupun, semua itu terpulang kepada pasukan mereka sendiri dan pada masa ini juga, jenama motosikal terutama dari Jepun lebih kepada pasukan dan aksi di Asia.

Kerana itu kita dapat lihat empat pengeluar motosikal dari Jepun iaitu Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki bersaing sengit di ARRC.

BHPlus: Selepas Zaqhwan, Malaysia dilihat tidak memiliki pelumba muda yang hampir ke tahap itu. Malah taruhan terbaik kita ketika ini, Zamri Baba juga sudah berusia dan mengakui sudah tidak berminat beraksi di pentas dunia. Adakah situasi ini membimbangkan?

RH: Kerana itulah pada ARRC musim ini, kami lebih fokus kepada pelumba muda yang boleh menggantikan tempat mereka yang sedang beraksi di Kejuaraan Dunia ketika ini. Selain Zamri, hampir semua pelumba terbaik kita sudah berada di peringkat dunia seperti Hafizh, Azlan dan Zaqhwan.

Ketika ini, apa yang saya dapat lihat pelumba muda kita, Afif Amran memiliki potensi yang tinggi. Berbanding musim lalu, dia memperbaiki catatannya kepada satu saat. Ia boleh dianggap masa yang amat baik namun dia masih berada pada kedudukan belasan.

Bagi saya, sudah tiba masanya pasukan dari Malaysia berikhtiar mencari pelumba-pelumba muda berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Apa pun, mereka perlu meningkat tahap demi tahap. Jika kita terlalu mendesak pelumba itu, mereka mungkin akan berdepan kecederaan dan berisiko untuk hilang keyakinan. Dalam perlumbaan keyakinan itu penting.

BHPlus: Boleh anda ulas mengenai prestasi dan cabaran yang ditampilkan pelumba negara di Kejuaraan Dunia ketika ini?

RH: Jika pelumba Malaysia di peringkat dunia diberi sokongan baik, mereka juga mampu memberi cabaran.

Lihat kepada Hafizh di GP Qatar. Menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 kira-kira kurang 23 saat di belakang pemenang bukanlah sesuatu yang buruk. Jika diberi lebih peluang, dia boleh mencabar. Sasaran kami di ARRC adalah untuk hasilkan 30 lagi pelumba seperti Hafizh, Azlan mahu pun Zaqhwan dan selepas itu, terpulang kepada kesungguhan pelumba itu sendiri.

BHPlus: Ada suara-suara sumbang yang mengkritik penganjuran ARRC sebagai penyumbang produk pelumba Asia ke peringkat dunia. Apa komen anda?

RH: Saya rasa, tanpa ARRC, tidak ada pelumba Asia yang beraksi di peringkat dunia. Kita dapat lihat situasi ketika ini, hampir kesemua atau banyak graduan ARRC beraksi di Kejuaraan Dunia.

INFO

KEJUARAAN MOTOSIKAL ASIA FIM (ARRC)

*Tahun penubuhan: 1996

*Promoter: Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd

*Kelas perlumbaan:

SuperSport: 600cc

Open Make Class: 250cc

Underbone: 130cc

*Projek Istimewa: Honda Asia Dream Cup, Suzuki Asia Challenge

*Matlamat: Membawa juara-juara dari serata

negara Asia berlumba memburu kejuaraan Asia.

INFO

RON HOGG

Jawatan: Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd dan Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

Berita Harian X