X
Jumaat, 17 April 2015 | 12:03am
ANIZA dan anaknya, Mustafa Kamal pada majlis doa selamat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Titiwangsa Jalan Pertiwi Taman Maluri, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
ANIZA dan anaknya, Mustafa Kamal pada majlis doa selamat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Titiwangsa Jalan Pertiwi Taman Maluri, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
PESERTA bergambar kenangan di Makkah. - Foto FB
PESERTA bergambar kenangan di Makkah. - Foto FB
ANTARA jemaah OKU bersama penjaga ketika di Tanah Suci Makkah. - Foto FB
ANTARA jemaah OKU bersama penjaga ketika di Tanah Suci Makkah. - Foto FB
PESERTA bergambar kenangan di Makkah. - Foto FB
PESERTA bergambar kenangan di Makkah. - Foto FB
MAJLIS doa selamat untuk orang kurangupaya yang akan pergi umrah di Pusat Pemulihan dalam Komuniti Titiwangsa Jalan Pertiwi Taman Maluri, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
MAJLIS doa selamat untuk orang kurangupaya yang akan pergi umrah di Pusat Pemulihan dalam Komuniti Titiwangsa Jalan Pertiwi Taman Maluri, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
HAJAH Raihana (kiri) dan anaknya, Alif Azim Abdul Rahman semasa majlis doa selamat di Pusat Pemulihan dalam Komuniti Titiwangsa. - Foto Shiraz Ali
HAJAH Raihana (kiri) dan anaknya, Alif Azim Abdul Rahman semasa majlis doa selamat di Pusat Pemulihan dalam Komuniti Titiwangsa. - Foto Shiraz Ali

Insan istimewa jadi tetamu Allah


MENGERJAKAN umrah menuntut kekuatan fizikal, kesabaran dan kesihatan yang baik kerana Makkah dan Madinah sentiasa menjadi tumpuan jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia bagi melaksanakan ibadat berkenaan.

Pelbagai cabaran seperti bersesak-sesak mendapatkan tempat solat di masjid dan berjalan kaki dalam jarak yang jauh, perlu ditempuhi dalam menyempurnakan ibadat umrah.

Jika jemaah yang sihat pun terasa lelahnya, bagaimana pula golongan orang kelainan upaya (OKU) atau individu uzur? Pasti golongan itu merasai kepenatan berlipat kali ganda dan memerlukan bantuan orang lain.

Bagi mereka yang berpeluang menjadi tetamu istimewa itu, mereka sewajarnya memanfaatkan sebaik-baiknya peluang berada di Tanah Suci.

NORLIYAH (kiri) dan anaknya, Ezza Syahirah. - Foto Shiraz Ali
NORLIYAH (kiri) dan anaknya, Ezza Syahirah. - Foto Shiraz Ali

Ditaja menunaikan umrah

Bagi tiga insan OKU dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa, jemputan untuk menunaikan umrah umpama bulan jatuh ke riba apabila pemergian mereka ke Tanah Suci itu adalah ditaja.

Lebih menggembirakan, pemergian mereka masing-masing diiringi seorang waris bagi memastikan ziarah dan umrah yang bermula pada 5 April lalu lancar.

Mereka ialah Mustafa Kamal Mohd Tahir, 22, Fikri Fauzi, 26, yang masing-masing mempunyai masalah pembelajaran, manakala Ezza Syahirah Zaini, 19, pula mengalami cerebral palsi (CP), ditaja oleh agensi pelancongan, Nat Tour Sdn Bhd (Nat Tour).

Realitinya, status OKU bukan penghalang besar untuk mereka menjalani ibadat umrah selama 12 hari dengan disertai saudara-mara lain.

Tidak sabar ke Tanah Suci

Ibu Mustafa Kamal, Aniza Salleh, 44, berkata beliau terharu dengan kesudian Nat Tour yang bermurah hati menawarkan pakej umrah percuma untuk beliau dan anak sulungnya itu.

"Sebagai ibu, saya menyiapkan diri dengan membawa kelengkapan tambahan seperti pakaian dan tuala kepada anak kerana dia boleh diserang sawan pada bila-bila masa.

"Dari segi persediaan, Mustafa Kamal sangat teruja dan sudah mempersiapkan kelengkapannya sendiri, termasuk belajar memakai pakaian ihram daripada bapa yang juga turut menyertai umrah ini," katanya suri rumah dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata beliau berhajat melihat Kaabah dari dekat dan merasai suasana di Makkah seperti yang selalu ditonton dalam kaca televisyen.

"Saya nak lihat Kaabah. Saya mengikuti latihan persediaan bersama ibu bapa. Saya nak berdoa supaya tidak pengsan dan tidak sakit macam yang selalu dihadapi saya sekarang ini," katanya yang juga turut belajar kemahiran memasak, menjahit dan kraf tangan di PDK Titiwangsa 2.

Bersedia mental dan fizikal

Bagi Petugas PDK Petaling, Norliyah Ismail, 50, membawa Ezza Syahirah memerlukan beliau dan suaminya bersedia dengan apa saja kemungkinan, berikutan puterinya mudah bosan.

"Dalam penerbangan ke sana, saya akan membawa kad imbas supaya dia tidak bosan menempuh perjalanan jauh, sekali gus mengelaknya daripada meragam.

"Dari segi persediaan lain dan berdepan dengan suasana jemaah yang ramai, suami akan menggunakan kerusi roda kerana anak kami perlu dipimpin sepanjang masa," katanya.

Mengenai kemurahan hati Nat Tour, Norliyah berkata beliau bersyukur kerana dipilih menjadi tetamu dan berharap perjalanan dipermudahkan.

"Dugaannya pasti ada kerana saya membawa anak istimewa dan tentu saya mengharapkan ziarah umrah kami tiga sekeluarga ini dipermudahkan," katanya.

Kemas sendiri pakaian

Remaja OKU, Fikri dari Cheras yang turut menyertai rombongan umrah itu akan dibantu ibunya, Aishah Che Adnan, 52, bapanya dan saudara-mara yang lain.

Aishah yang juga suri rumah berkata, pengalaman mengerjakan umrah sebelum ini sedikit sebanyak dapat membantunya mengendalikan Fikri dengan baik sepanjang berada di sana,

"Saya akan memberi keutamaan memantau dan mengawasinya. Fikri sendiri mengemaskan pakaian kerana dia begitu teruja untuk ke Makkah dan dia sering menyebut Kaabah, kurma dan jubah serta membayangkan keindahan ibadat umrah.

"Sebagai ibu, saya sangat terharu dengan peluang ini kerana agak sukar bagi kami anak-beranak pergi kerana kosnya menelan ribuan ringgit," katanya.

Biayai sendiri

Sementara itu, kakitangan sebuah restoran makanan segera, Alif Azam Abdul Rahman, 22, yang juga OKU menyertai umrah bersama keluarga.

"Saya, adik, ibu dan ayah akan menyempurnakan umrah bersama-sama. Dalam keadaan diri yang serba kekurangan, dapat peluang pergi bersama sangat dihargai.

"Pelepasan cuti daripada majikan sudah diperoleh, saya melaksanakan umrah selama 12 hari," katanya yang ditemani ibunya, Raihana Abdullah, 50.

Sementara itu, Raihana berkata anaknya itu tidak sabar mahu mengerjakan umrah dan teruja untuk menaiki kapal terbang ke Tanah Suci.

Julung kali bawa OKU

Bagi Nat Tour, ini adalah kali pertama ia menaja insan istimewa untuk merasai pengalaman menunaikan umrah meskipun perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang 12 hari di Tanah Suci.

Pengarah Urusannya, Ramlah Ismail, berkata setiap kali membawa jemaah menunaikan umrah, beliau berdebar-debar dan kali ini debaran itu lebih kencang kerana syarikat itu membawa anak istimewa.

"Saya hanya mampu berdoa supaya urusan kami dipermudahkan dan berharap inisiatif ini dapat memberikan semangat kepada ibu bapa untuk membawa anak OKU mengerjakan umrah pada masa akan datang," katanya.

PENGARAH Urusan Nat Tour, Ramlah Ismail. - Foto Shiraz Ali
PENGARAH Urusan Nat Tour, Ramlah Ismail. - Foto Shiraz Ali

Pengalaman berharga

Ramlah berkata, sebenarnya sudah lama beliau menyimpan hasrat membawa anak istimewa dan impian dapat direalisasikan pada tahun ini.

Ada kenalan mengusulkan PDK Titiwangsa, Jalan Pertiwi, Taman Maluri ini berikutan ia bakal memberikan pengalaman berharga untuk semua pihak.

"Alhamdulillah rombongan keseluruhan adalah 57 jemaah dengan 22 daripadanya adalah daripada kalangan keluarga tiga insan OKU ini. Tentu suasananya lain, doa saya supaya segala-galanya dipermudahkan," katanya.

Berita Harian X