Ahad, 19 April 2015 | 12:03am
 SEMUA kayu balak haram yang dirampas akan dilelong dan hasilnya disalurkan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan pengurusan hutan secara mapan. - Foto Nadim Bokhari
SEMUA kayu balak haram yang dirampas akan dilelong dan hasilnya disalurkan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan pengurusan hutan secara mapan. - Foto Nadim Bokhari

Operasi darat, udara buru lanun rimba Sarawak


SIBU: Seperti dijanjikan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk membanteras pembalakan haram, pihak berkuasa Sarawak menggempur 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan membabitkan kawasan seluas 52,000 hektar di wilayah tengah negeri itu.

Menerusi operasi khas, Ops Pangkas selama enam hari bermula 6 April lalu itu, lebih 12,000 kayu balak haram bernilai kira-kira RM6 juta dan pelbagai mesin dirampas dan disita.

Semua 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan yang disyaki terbabit dalam kegiatan haram itu turut diarah menghentikan operasi mereka berkuat kuasa serta-merta.

Ops Pangkas turut 'menyelamatkan' royalti balak berjumlah RM1.2 juta, sekali gus mengurangkan ketirisan hasil royalti balak negeri.

OPS Pangkas bermula 6 April lalu membabitkan pemeriksaan terhadap 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan, merangkumi kawasan seluas 52,000 hektar di wilayah tengah Sarawak. - Foto Nadim Bokhari
OPS Pangkas bermula 6 April lalu membabitkan pemeriksaan terhadap 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan, merangkumi kawasan seluas 52,000 hektar di wilayah tengah Sarawak. - Foto Nadim Bokhari

Operasi menerusi darat dan udara itu, termasuk menggunakan tiga helikopter, adalah sebahagian inisiatif Adenan dalam kempen besar-besaran untuk memerangi kegiatan pembalakan haram di negeri itu.

Ops Pangkas diketuai bersama Ketua Unit Pembangunan Aplikasi Sistem (SADU) Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Dr Affendi Suhaili dan Pemangku Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sibu, Badlishah Shamin.

Dalam operasi itu pelbagai aplikasi canggih turut digunakan, termasuk teknologi remote sensing bagi tujuan pengimbasan dan pengimejan kayu balak yang disembunyikan di kilang atau kem pembalakan, selain pangkalan data menggunakan teknologi satelit dalam mengenal pasti zon pembalakan berlesen atau sebaliknya.

LEBIH 12,000 kayu balak haram bernilai kira-kira RM6 juta dan pelbagai mesin dirampas dan disita dalam Ops Pangkas . - Foto Nadim Bokhari
LEBIH 12,000 kayu balak haram bernilai kira-kira RM6 juta dan pelbagai mesin dirampas dan disita dalam Ops Pangkas . - Foto Nadim Bokhari

Jurucakap JHS berkata, operasi itu dilancarkan selepas maklumat risikan mendapati ada pengusaha kilang papan dan kontraktor pembalakan, terutama di wilayah tengah negeri itu menyalahi syarat dan peraturan lesen yang dikeluarkan kepada mereka.

Antara kesalahan dikesan, termasuk perolehan kayu balak disyaki dari sumber haram, penyalahgunaan tag penanda Indeks Pengeluaran Balak (LPI) dan nombor siri yang diragui, selain menjalankan aktiviti pembalakan di luar kawasan dilesenkan.

  "Hasil pemeriksaan mendapati ada segelintir pengusaha kilang papan yang memproses kayu hanyut (di sungai), termasuk yang dihantar penduduk kampung tanpa kebenaran. Memproses kayu hanyut juga memerlukan permit kerana cukai perlu dibayar sebelum ia diproses menjadi papan.

 OPS Pangkas turut 'menyelamatkan' royalti balak berjumlah RM1.2 juta, sekali gus mengurangkan ketirisan hasil royalti balak negeri. - Foto Nadim Bokhari
OPS Pangkas turut 'menyelamatkan' royalti balak berjumlah RM1.2 juta, sekali gus mengurangkan ketirisan hasil royalti balak negeri. - Foto Nadim Bokhari

  "Siasatan dibuat mengikut Fasal 126 Ordinan Hutan Sarawak," katanya kepada wartawan BH yang turut serta dalam operasi khas itu.

Hasil pemeriksaan mengejut di beberapa kilang papan dan kem juga mendapati pelbagai helah digunakan bagi mengaburi kegiatan itu, termasuk melonggok kayu balak haram dengan balak yang sah.

Malah, siasatan juga mendapati ada dokumentasi seperti LPI, nombor siri dan cop royalti balak yang meragukan, termasuk dipalsukan, katanya.

  Difahamkan, semua kayu balak haram yang dirampas diserahkan kepada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Hardwood Timber Sdn Bhd, untuk proses lelongan dengan hasilnya disalurkan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan pengurusan hutan secara mapan.

OPERASI menerusi darat dan udara, termasuk menggunakan tiga helikopter, adalah sebahagian kempen besar-besaran untuk memerangi kegiatan pembalakan haram di Sarawak. - Foto Nadim Bokhari
OPERASI menerusi darat dan udara, termasuk menggunakan tiga helikopter, adalah sebahagian kempen besar-besaran untuk memerangi kegiatan pembalakan haram di Sarawak. - Foto Nadim Bokhari

Jangan main-main dengan saya!

Sementara itu, Adenan memberi amaran kepada pembalak haram di negeri itu supaya jangan main-main dengannya.

"Mereka (pembalak haram) sudah lama bermaharajalela dan tidak boleh dibiarkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.

Adenan berikrar untuk membersihkan Sarawak daripada aktiviti pembalakan haram, selain memastikan setiap pemegang konsesi dan lesen pembalakan beroperasi mengikut prosedur ditetapkan.

Dengan nada tegas, beliau berkata, segala tindakan dilaksanakannya adalah bukti keseriusan kerajaan negeri dalam memerangi pembalakan haram dan bukannya drama politik seperti didakwa pembangkang.

SEMUA 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan yang disyaki terbabit dalam kegiatan haram diarah menghentikan operasi mereka serta-merta. - Foto Nadim Bokhari
SEMUA 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan yang disyaki terbabit dalam kegiatan haram diarah menghentikan operasi mereka serta-merta. - Foto Nadim Bokhari

"Malah, enam syarikat konsesi pembalakan terbesar di Sarawak turut kita panggil untuk duduk sama dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri dalam usaha memerangi kegiatan haram itu.

"Ini membolehkan mereka memantau sama segala pergerakan dan operasi kontraktor pembalakan mereka agar sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan," katanya.

  Adenan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, berkata usaha itu juga untuk menjaga reputasi Sarawak sebagai antara pengeksport utama kayu balak dan produk perkayuan dunia.

  "Walaupun banyak serbuan dan operasi dijalankan sejak setahun lalu, saya masih belum berpuas hati sehinggalah Sarawak benar-benar bebas daripada pembalak haram.

"Matlamat kita mahu mencetuskan rasa gerun dan takut kepada pembalak haram ini," katanya.

  Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini sahaja, 55 individu ditahan dalam 94 serbuan dan operasi membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan di bawah penyelarasan JHS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wilayah tengah Sarawak, kawasan yang digempur dalam Ops Pangkas.
Wilayah tengah Sarawak, kawasan yang digempur dalam Ops Pangkas.

INFO:

Lokasi Tumpuan Ops Pangkas (Wilayah Tengah Sarawak)

- Sibu
- Mukah
- Balingian
- Selangau

Fakta Nombor

* 12,075 kayu balak haram dirampas (dalam tempoh enam hari)
* RM6 juta nilai kayu balak dirampas (pasaran semasa)
* RM1.2 juta nilai royalti balak berjaya diselamatkan
* 52,000 hektar keluasan kawasan operasi
* 10 kilang papan diperiksa
* 12 kem pembalakan diserbu

IKUTI SIRI KEDUA OPS PANGKAS, MENGENAI TAKTIK DAN MODUS OPERANDI YANG DIGUNAKAN DALAM KEGIATAN PEMBALAKAN HARAM DI SARAWAK, ESOK

Berita Harian X