Isnin, 20 April 2015 | 12:03am
BALAK diangkut sindiket menggunakan sistem rel dari kawasan berpaya. - Foto Nadim Bokhari
BALAK diangkut sindiket menggunakan sistem rel dari kawasan berpaya. - Foto Nadim Bokhari
OPS Pangkas menemui landasan kereta api sepanjang 15 kilometer untuk menggangkut balak dari kawasan yang tidak dapat dilalui jentera berat. - Foto Nadim Bokhari
OPS Pangkas menemui landasan kereta api sepanjang 15 kilometer untuk menggangkut balak dari kawasan yang tidak dapat dilalui jentera berat. - Foto Nadim Bokhari
KHEMAH di kem pembalakan haram Sungai Tada yang baharu ditinggalkan oleh pekerja. - Foto Foto Nadim Bokhari
KHEMAH di kem pembalakan haram Sungai Tada yang baharu ditinggalkan oleh pekerja. - Foto Foto Nadim Bokhari

Pembalak haram guna tonto hutan

MUKAH: Pelbagai taktik licik digunakan sindiket pembalakan haram di negeri ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, terutama selepas Jabatan Hutan Sarawak (JHS) melancarkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu, termasuk dari udara.

Dalam Ops Pangkas yang turut disertai wakil BH PLUS di kawasan hutan di Sungai Tada berhampiran sempadan Balingian-Selangau, di sini, anggota sindiket didapati menggunakan sistem penandaan palsu seakan-akan sama dengan sistem penandaan agensi terbabit pada setiap longgokan kayu balak haram di lokasi kejadian.

OPS Pangkas yang dilaksanakan JHS bermula 6 April lalu membabitkan pemeriksaan terhadap 10 kilang papan, 12 kem dan merangkumi kawasan seluas 52,000 hektar di wilayah tengah Sarawak. - Foto Nadim Bokhari

Pada setiap kayu balak itu juga tertera perkataan 'FD' atau 'Forestry Department' serta tarikh pemeriksaan menggunakan cat merah, menggambarkan seolah-olah ia sudah diperiksa Unit Penguatkuasaan JHS dan dibenarkan dibawa keluar dari kawasan pembalakan terbabit.

Jika dilihat sekali imbas dari udara, kem pembalakan itu dan longgokan balak berkenaan sudah menjalani prosedur pemeriksaan rapi, namun helah berkenaan ternyata gagal memperdayakan penguat kuasa, termasuk daripada Unit Pembangunan Aplikasi Sistem (SADU) JHS yang turut membantu operasi terbabit.

BALAK disita kakitangan JHS dalam operasi Ops Pangkas baru-baru ini. - Foto Nadim Bokhari
BALAK disita kakitangan JHS dalam operasi Ops Pangkas baru-baru ini. - Foto Nadim Bokhari

Penggunaan teknologi canggih 'hyperspectral' yang dibangunkan Ketua SADU JHS, Dr Affendi Suhaili, turut meningkatkan keberkesanan operasi, terutama dalam mengenal pasti sama ada balak ditebang dan dibawa keluar dari zon pembalakan dibenar atau sebaliknya.

Malah, sistem berkenaan yang dihubungkan ke pangkalan data jabatan itu menerusi teknologi satelit turut mengesahkan kawasan terbabit tidak dilesenkan untuk aktiviti pembalakan atau pembukaan hutan, sekali gus menyaksikan sejumlah 300 kayu balak haram dirampas di lokasi terbabit.

TEKNOLOGI 'hyperspectral' membantu pihak berkuasa mengenal pasti sama ada balak ditebang dan dibawa keluar dari zon pembalakan adalah sah atau sebaliknya. - Foto Nadim Bokhari
TEKNOLOGI 'hyperspectral' membantu pihak berkuasa mengenal pasti sama ada balak ditebang dan dibawa keluar dari zon pembalakan adalah sah atau sebaliknya. - Foto Nadim Bokhari

Jurucakap JHS menjelaskan modus operandi digunakan itu memperlihatkan sindiket pembalakan haram di negeri ini merancang rapi pergerakan mereka, termasuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme (pemeriksaan) digunakan agensi berkaitan dalam menangani kegiatan berkenaan.

"Dari helikopter, memang kita melihat seolah-olah kem pembalakan dan longgokan balak haram itu sudah diperiksa. Sedangkan, tiada rekod menunjukkan kita (JHS) melakukan pemeriksaan atau operasi pada tarikh yang ditulis pada setiap kayu balak berkenaan," katanya.

Pada masa sama, katanya, wujud kegiatan tonto yang menyalurkan maklumat kepada sindiket pembalakan haram di kawasan tertentu mengenai operasi dan serbuan pihak berkuasa.

SEKALI imbas dari udara, kem pembalakan dan longgokan balak tertentu seperti sudah menjalani prosedur pemeriksaan pihak berkuasa. - Foto Nadim Bokhari
SEKALI imbas dari udara, kem pembalakan dan longgokan balak tertentu seperti sudah menjalani prosedur pemeriksaan pihak berkuasa. - Foto Nadim Bokhari

"Mereka (tonto) cukup cekap `menghidu' kehadiran pihak berkuasa. Di kawasan pembalakan ini (Sungai Tada) contohnya, ada kemungkinan pekerja pembalakan melarikan diri dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam selepas tonto berjaya mengesan rancangan agensi penguat kuasa.

"Ini berdasarkan keadaan kem pembalakan yang ditinggalkan, apabila bekalan makanan ditemui berselerakan, selain kesan beberapa pokok balak yang baru ditebang. Malah, daripada tiga longgokan balak yang ditemui, dua longgokan adalah balak baharu yang masih `segar' berdasarkan kesan getah pokok dan kayu," katanya.

Dalam tempoh enam hari Ops Pangkas dilaksanakan bermula 6 April lalu, JHS merampas lebih 12,000 kayu balak bernilai kira-kira RM6 juta, tidak termasuk nilai royalti balak bernilai RM1.2 juta, selain pelbagai mesin dan jentera digunakan, membabitkan keseluruhannya 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan diperiksa di kawasan seluas 52,000 hektar di wilayah tengah Sarawak.

PETA kawasan Ops Pangkas yang dilaksanakan JHS bermula 6 April lalu. - Foto Nadim Bokhari
PETA kawasan Ops Pangkas yang dilaksanakan JHS bermula 6 April lalu. - Foto Nadim Bokhari

Ia adalah susulan kejayaan Ops Kolam yang dilaksanakan awal tahun ini membabitkan keseluruhannya 28,154 kayu balak haram bernilai kira-kira RM10 juta (tidak termasuk nilai royalti) dirampas, selain pelbagai peralatan digunakan oleh anggota sindiket, termasuk lori pengangkut, tongkang, kapal dan jentera berat.

Ops Pangkas turut dipantau sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sibu bagi memastikan operasi berkenaan dilaksanakan secara telus, sekali gus membantu menjayakan usaha kerajaan negeri memerangi pembalakan haram.

Bagaimanapun, taktik digunakan agak sedikit berbeza di kilang papan yang diperiksa apabila bekalan kayu balak yang diperoleh dari sumber diragui dikumpulkan bersama timbunan kayu balak sah lengkap dengan dokumentasi, termasuk nombor siri, selain cop bayaran cukai dan tag Indeks Pengeluaran Balak (LPI).

Pemeriksaan terhadap sebuah kilang memproses kayu ketika operasi Ops Pangkas JHS. - Foto Nadim Bokhari
Pemeriksaan terhadap sebuah kilang memproses kayu ketika operasi Ops Pangkas JHS. - Foto Nadim Bokhari

"Ini dipercayai sebahagian daripada cara mereka untuk menyukarkan tugas anggota penguat kuasa ketika pemeriksaan mengejut dilakukan. Bagaimanapun, kita mempunyai kaedah tersendiri dalam mengenal pasti sumber balak yang diragui berdasarkan kemahiran dan pengalaman," katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan pembalakan di Sungai Sikat, di sini mendapati wujud laluan lokomotif dengan jaraknya dikatakan mencecah 15 kilometer yang digunakan bagi mengangkut kayu balak ke pusat pengumpulan sebelum dipindahkan ke lori pengangkut dan dihantar ke kilang papan untuk diproses.

Seorang pekerja kem pembalakan yang enggan namanya disiarkan, berkata ia satu-satunya cara membawa keluar kayu balak yang ditebang, terutama di hutan paya ke pusat pengumpulan kerana kawasan terbabit tidak boleh dilalui kenderaan berat.

PEMANDANGAN dari udara kawasan pembalakan haram dan khemah yang baharu ditinggalkan pekerja di kem pembalakan haram Sungai Tada, Mukah. - Foto Nadim Bokhari
PEMANDANGAN dari udara kawasan pembalakan haram dan khemah yang baharu ditinggalkan pekerja di kem pembalakan haram Sungai Tada, Mukah. - Foto Nadim Bokhari

"Mungkin tiada siapa sangka di kawasan belantara ini, menjalar laluan rel lokomotif yang dibina secara manual oleh pekerja pembalakan menggunakan segala kudrat yang ada. Biasanya, laluan rel lokomotif ini hanya digunakan di hutan berpaya kerana lori tidak boleh masuk ke kawasan ini.

"Dalam kalangan pekerja pembalakan, ia dipanggil `loko', manakala saiz yang lebih dipanggil `Apollo'. Ia lebih laju dan kebiasaannya digunakan untuk menghantar pekerja ke lokasi pembalakan, selain untuk keperluan kecemasan," katanya.

Ikuti temubual bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengenai Ops Pangkas, menerusi siri ketiga dalam BH Plus esok.

Berita Harian X