Sabtu, 2 Mei 2015 | 12:21am
HEFNY Sahad ketika menghadiri promosi filem cinta bertajuk Suamiku, Encik Perfect 10! di KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan
HEFNY Sahad ketika menghadiri promosi filem cinta bertajuk Suamiku, Encik Perfect 10! di KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Kontroversi kisah cinta gugat populariti Hefny


KUALA LUMPUR: Kisah cinta Hefny Sahad dan Nad Zainal yang pernah mencipta kontroversi tahun lalu seakan menjerat diri lelaki yang dicungkil bakatnya menerusi program pengacaraan On Air di Astro ini.

Popularitinya dilihat hampir jatuh merudum di saat nama kian mekar dalam dunia seni. Hefny seakan terkapar-kapar dalam kontroversi yang tak pernah diduga memalit kesan buruk buat kerjayanya.

Tidak menafikan kontroversi berkenaan memberi impak negatif terhadap kehidupan peribadi dan kerjaya seninya, Hefny seboleh-bolehnya enggan mengenang memori hitam yang lalu. Di saat Nad sedang meningkat kerjaya seninya saat ini apatah lagi baharu memenangi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, Hefny pula seakan bermula dari bawah seperti bertatih.

FARAH Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal pernah menjalin hubungan dengan Hefny Sahad. - Foto Zunnur Al Shafiq
FARAH Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal pernah menjalin hubungan dengan Hefny Sahad. - Foto Zunnur Al Shafiq

Apakah memilih untuk menjalinkan hubungan dengan Nad umpama satu penyesalan terbesar buat dirinya, Hefny meluahkan pandangan peribadinya saat bertemu dengan BH Plus baru baru ini.

"Saya tak tahu nak komen apa fasal itu. Mungkin rezeki masing-masing. Saya akur dengan apa yang sudah tertulis. Mungkin saya ada buat kesilapan dan tak tahulah bagaimana orang menilai saya gara-gara kontroversi itu. Tapi saya sendiri yang berdepan dan rasa pengalaman itu, saya akui amat bergelut. Sangat susah melaluinya.

"Sekarang saya umpama baharu nak menapak dan memulakan kerjaya serta langkah dari bawah. Insya-Allah, saya tak mahu lagi ulangi kesilapan yang pernah saya buat. Apa terjadi asam garam dunia hiburan. Saya masih mentah. Masa itu baharu masuk tahun ketiga dan sebelum itu saya tak pernah mengharungi gosip dan kontroversi sedemikian rupa.

HEFNY Sahad akur dengan apa yang sudah tertulis. - Foto Nik Hariff Hassan
HEFNY Sahad akur dengan apa yang sudah tertulis. - Foto Nik Hariff Hassan

"Benar ia sangat berbekas dalam hidup saya. Nak kata menyesal, benda sudah jadi. Nak buat macam mana. Saya kena belajar dari kesilapan. Saya kena buat balik apa yang saya mulakan dahulu. Mungkin kesilapan yang saya lakukan itu terlalu buruk di mata orang yang memandang hingga dibenci dan diketepikan. Tapi yang tahu dan faham saya yang sebenar, itu sudah cukup," kata Hefny yang ketika ini sedang melunaskan baki penggambaran drama Maid arahan Michael Ang bagi siaran Ramadan ini di samping pelakon Zul Ariffin dan Ayda Jebat untuk Astro Ria.

Dek kontroversi itu juga, Hefny menyepikan diri selama tiga bulan. Ruang itu dijadikannya untuk memotivasikan diri sekali gus menyedari setiap dugaan akan mendewasakan pemikirannya dan mematangkan diri.

"Kontroversi itu membuka mata saya untuk melihat kehidupan ini dengan lebih luas. Tidak dinafikan, apa yang berlaku sedikit sebanyak menjatuhkan reputasi dan nama baik saya. Saya dilabel sebagai perampas, malah dianggap jahat," katanya.

HEFNY Sahad enggan kenang memori hitam. - Foto Nik Hariff Hassan
HEFNY Sahad enggan kenang memori hitam. - Foto Nik Hariff Hassan

Dalam perkembangan lain, Mei ini, Hefny mengesahkan persoalan yang dia bakal menyertai kembali dunia pengacaraan untuk sebuah stesen TV swasta popular. Bagaimanapun saat ini, stesen TV manakah yang akan disertai Hefny masih kekal menjadi rahsia terbesar yang terkunci erat dalam mulutnya.

"Jadi saya akan melunaskan baki penggambaran drama Maid sebelum mengacara program itu. Drama Maid boleh saya katakan drama terakhir sebelum saya kembali fokus mengacara. Program yang bakal saya hoskan itu berpaksikan infotainment dan bersiaran setiap Isnin hingga Sabtu. Selebihnya tunggu sahajalah ye," kata jejaka berasal dari Johor Bahru itu yang turut menjadi peserta program masakan Aku Yang Masak Kau Yang Panas terbitan Padusi Pictures.

Info Hefny Sahad

* Hefny boleh dihubungi di laman sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook dengan nama Hefnysahad.

* Hefny juga pernah muncul dalam klip video Salahkah Aku dendangan Dafi dan terbaru berlakon iklan MarryBrown juga bersama Dafi.

* Pernah mengacarakan acara permaidani merah Festival Filem Malaysia ke- 25 di samping Elfira Loy dan acara permaidani merah untuk Anugerah Blokbuster kali kedua di Johor Bahru di samping Tasha Shilla

* Antara drama lakonannya seperti Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Jodoh, Benci vs Cinta, Beranak Dalam Kubur, Patung dan Mengintai Syurga Mama.

Berita Harian X