Khamis, 14 Mei 2015 | 12:05am
ANTARA PATI yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung, Langkawi.- Foto Amran Hamid
ANTARA PATI yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung, Langkawi.- Foto Amran Hamid
PATI warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan.- Foto Amran Hamid
PATI warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan.- Foto Amran Hamid
PROSES mudah mendapatkan kad UNHCR dorong kemasukan pendatang tanpa izin. - Foto Hamzah Osman
PROSES mudah mendapatkan kad UNHCR dorong kemasukan pendatang tanpa izin. - Foto Hamzah Osman
TONGKANG kayu yang membawa 452 PATI dari Myanmar yang ditahan di Teluk Burau, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
TONGKANG kayu yang membawa 452 PATI dari Myanmar yang ditahan di Teluk Burau, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
ANGGOTA polis memberi roti kepada PATI warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung.- Foto Amran Hamid
ANGGOTA polis memberi roti kepada PATI warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung.- Foto Amran Hamid

Mudah dapat kad UNHCR faktor Malaysia pilihan pelarian

 


PROSES mudah bagi mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) menjadi punca dan pendorong kepada kemasukan begitu ramai rakyat tanpa negara ke Malaysia.

Itu antara dapatan hasil tinjauan BH selama dua hari bagi menyelami kehidupan golongan ini di sekitar ibu negara. Malaysia juga dianggap 'destinasi' pilihan berikutan 'keterbukaan' rakyat negara ini menerima kehadiran mereka.

Semakan BH di laman sesawang rasmi UNHCR, rekod terkini pemegang kad berkenaan di Malaysia setakat akhir Februari lalu adalah seramai 152,570 orang.

SEBAHAGIAN 452 PATI dari Myanmar yang ditahan polis di Teluk Burau, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
SEBAHAGIAN 452 PATI dari Myanmar yang ditahan polis di Teluk Burau, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Ini bermakna hanya dalam tempoh sebulan, telah berlaku peningkatan pendaftar baharu seramai 732 orang berbanding 151,838 orang dicatatkan setakat 31 Januari lalu.

Mengikut prosedur pendaftaran UNHCR Malaysia, proses bagi mendapatkan kad itu hanya memerlukan seseorang individu membawa pasport, dokumen perjalanan, sijil perkahwinan, sijil lahir, banci keluarga dan kad pengenalan negara asal.

Pemegang kad berkenaan juga tidak tertakluk kepada sebarang bentuk perlindungan oleh undang-undang negara ini biarpun mereka diberi kelonggaran menyara kehidupan dan bekerja.

Jurucakap UNHCR yang dihubungi memberitahu, tempoh sebulan hingga enam bulan diberikan kepada pegawai badan dunia itu meneliti setiap fakta dan dokumen sebelum menentukan status pemohon layak atau tidak.

Sekiranya gagal, katanya, pemohon berhak membuat rayuan dalam tempoh 30 hari. Fail rayuan berkenaan akan dikaji oleh pegawai berbeza daripada pegawai yang membuat keputusan buat kali pertama.

"Pegawai berkenaan boleh menukarkan keputusan kali pertama dan memberikan status pelarian. Tempoh menunggu keputusan rayuan mungkin mengambil masa sehingga setahun. Jika keputusan kali pertama adalah muktamad, fail akan ditutup," katanya.

Ini bermakna, beliau berkata, sekiranya pemohon gagal selepas pertimbangan rayuan dan tidak memiliki kebenaran sebagai pekerja asing sah, maka individu itu dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) berdasarkan undang-undang Malaysia.

SEBAHAGIAN PATI warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung, Langkawi tiba di Jeti Kuala Kedah untuk dihantar ke depot tahanan Jabatan Imigresen. - Foto Amran Hamid
SEBAHAGIAN PATI warga Bangladesh dan Myanmar yang ditahan selepas mendarat di Pantai Pasir Berdengung, Langkawi tiba di Jeti Kuala Kedah untuk dihantar ke depot tahanan Jabatan Imigresen. - Foto Amran Hamid

Ketika proses temu duga, beliau menjelaskan, pemohon juga perlu mengemukakan dokumen khas yang dikeluarkan UNHCR seperti kad temu janji dan surat rujukan pada tarikh dijanjikan.

   Pemohon kad sama ada suaka atau pelarian, katanya, perlu menyediakan satu kenyataan bertulis secara terperinci sebab bagaimana dan mengapa mereka meninggalkan negara asal.

"Kenyataan bertulis itu juga dibenarkan ditulis dalam apa juga bahasa pilihan mereka, termasuk bahasa ibundanya," katanya.

    Dalam pada itu, bagi pemohon suaka yang ingin membawa ahli keluarga sebagai pendaftar baharu, mereka perlu membawa bersama tanggungan ketika proses pendaftaran. 

Beliau berkata, seseorang yang berdaftar akan memperoleh nombor fail dan segala komunikasi selanjutnya dengan pejabat perlu merujuk kepada nombor fail itu.

"Setelah berdaftar dengan UNHCR pemohon akan dikemukakan dengan sijil pemohon suaka yang tempohnya akan tamat pada hari temu duga seterusnya. Bagi yang membawa keluarga dan sudah pun berdaftar dengan pejabat dan sedang menunggu untuk temu janji Penentuan Status Pelarian (RSD), mereka boleh membawa ahli keluarga yang belum berdaftar ketika temu duga RSD," katanya.

  Menerusi laman sesawang UNHCR juga, dinyatakan pemohon berhak ditemuduga menggunakan bahasa yang ditutur mereka.

BH sejak kelmarin mendedahkan kebanjiran rakyat tanpa negara atau pemegang kad UNHCR di Malaysia yang kebanyakannya adalah mangsa sindiket pemerdagangan manusia kini mencetuskan kebimbangan baharu apabila kehadiran mereka dikaitkan dengan ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan.

Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini turut melaporkan, kos bagi menyediakan perlindungan kepada mangsa pemerdagangan manusia, termasuk pelarian ini dianggarkan antara RM30 hingga RM50 sehari.

Malaysia mengambil prinsip membenarkan pemegang kad UNHCR terutama warga Myanmar untuk tinggal sementara di negara ini atas ihsan, namun kerajaan Malaysia sebelum ini berulang kali menggesa supaya badan berkenaan mempercepatkan proses penempatan baharu di negara ketiga.

*Ikuti siri seterusnya esok mengenai langkah baharu yang akan dilaksana kerajaan dalam mengawal penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pemegang kad UNHCR di negara ini.

Berita Harian X