Khamis, 28 Mei 2015 | 12:28am
SEORANG anak gelandangan membetulkan seliparnya yang putus di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
SEORANG anak gelandangan membetulkan seliparnya yang putus di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
ZAINON bersama tiga anaknya menunggu giliran untuk mendapatkan makanan. - Foto Aizuddin Saad
ZAINON bersama tiga anaknya menunggu giliran untuk mendapatkan makanan. - Foto Aizuddin Saad
IBU tunggal, Nor Zaiton Sudin memasak sambal nasi lemak untuk dijual di sekitar rumahnya di Flet Seri Sabah, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
IBU tunggal, Nor Zaiton Sudin memasak sambal nasi lemak untuk dijual di sekitar rumahnya di Flet Seri Sabah, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
IBU tunggal, Nor Zaiton Sudin bersama anaknya membawa nasi lemak untuk dijual di sekitar rumahnya di Flet Seri Sabah, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
IBU tunggal, Nor Zaiton Sudin bersama anaknya membawa nasi lemak untuk dijual di sekitar rumahnya di Flet Seri Sabah, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Terpedaya janji manis kota


TERTARIK dengan gambaran kemewahan dan keseronokan di ibu kota membuatkan ramai berhijrah ke ibu kota. Kononnya untuk mengubah kehidupan, tetapi akhirnya terperangkap dalam kancah kemiskinan atau miskin bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar, sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak dua juta atau 28.7 peratus daripada tujuh juta isi rumah di negara ini masih dikategorikan sebagai miskin bandar dengan pendapatan di bawah paras RM3,000 sebulan.

Pakar Pembangunan Keluarga dan Kanak-kanak, Profesor Dr Saedah Siraj, menyatakan semua pihak perlu faham apakah sebab yang menyebabkan mereka menjadi miskin bandar.

Katanya, kebanyakan berpunca daripada penghijrahan dari luar bandar ke bandar untuk mencari rezeki serta mengubah kehidupan.

ANTARA golongan miskin bandar, Zainon bersama tiga anaknya selepas mendapatkan bantuan makanan, yang diedarkan untuk gelandangan. - Foto Aizuddin Saad
ANTARA golongan miskin bandar, Zainon bersama tiga anaknya selepas mendapatkan bantuan makanan, yang diedarkan untuk gelandangan. - Foto Aizuddin Saad

"Mereka datang ke bandar pada usia yang muda. Ketika itu tidak kisah pendapatan sedikit hanya cukup makan kerana duduk berkongsi bilik dengan rakan. Keseronokan itu wujud dan mereka berasakan bandar menjanjikan kemewahan.

"Tapi, masalah mula timbul apabila sudah berumah tangga, selepas itu mempunyai anak. Keluarga semakin berkembang tapi pendapatan tetap sama, kalau ada kenaikan pun tidak banyak.

"Ekonomi ataupun pendapatan isi rumah sama, tidak meningkat banyak hanya sekitar 10 peratus. Tapi kos sara hidup dan barangan keperluan semakin meningkat sehingga lebih 50 peratus. Di sinilah wujudnya ruang antara pendapatan isi rumah dengan kos sara hidup, maka berlakulah kemiskinan," katanya.

PROF Dr Saedah Siraj.
PROF Dr Saedah Siraj.

Dr Saedah menyatakan, jika mereka ingin berpatah balik dan pulang ke kampung halaman, tidak ada kerja yang sesuai menyebabkan mereka tetap tinggal di bandar dengan pendapatan yang sedikit untuk menampung kehidupan. Mereka sudah tidak boleh keluar daripada kepompong kehidupan yang dicipta, ini kerana mereka memikirkan adakah pulang ke kampung itu pilihan yang bijak dan betul.

"Orang yang melihat memang akan cakap kenapa tak balik kampung saja tapi bagi mereka yang menanggung, semuanya sudah gelap. Macam mana mereka nak tinggal di kampung, mana nak tinggal, simpanan tidak banyak macam mana nak teruskan kehidupan dan ada kerja ke di kampung nanti? Kos pindah pun perlu diambil kira.

"Ada banyak halangan yang menyebabkan mereka tidak berpindah ke kampung halaman. Bagi mereka kalau di bandar boleh cari pelbagai kerja tapi di kampung pekerjaan itu terhad. Banyak sebenarnya perkara yang perlu difikirkan, mereka tetap mampu bertahan walaupun anak hanya ada sehelai baju sekolah, kotor busuk macam mana pun kena pakai juga selama lima hari." katanya.

Dr Saedah menjelaskan definisi miskin bandar, pelbagai. Ia boleh membabitkan masalah sosial dan juga disebabkan berlakunya tragedi, seperti dibuang kerja, kematian suami atau isteri atau lari dari kampung disebabkan beberapa masalah.

Katanya, walaupun kategori miskin bandar adalah pendapatan di bawah paras RM3,000 sebulan, kebanyakan mereka yang tergolong dalam kategori ini mempunyai pendapatan hanya sekitar RM1,000 sebulan.

IBU tunggal, Nor Zaiton Sudin bersama anaknya bersyukur permohonan untuk menyewa di Flet Seri Sabah, Kuala Lumpur, diluluskan. - Foto Zulfadhli Zulkifli
IBU tunggal, Nor Zaiton Sudin bersama anaknya bersyukur permohonan untuk menyewa di Flet Seri Sabah, Kuala Lumpur, diluluskan. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Tinggal di bandar tapi gaji tidak sampai RM2,000 sebulan, apa yang boleh mereka lakukan? Sebab itu, ada yang sanggup digelar gelandangan kerana ingin mendapatkan ihsan dan bantuan, bagi menjimatkan perbelanjaan.

"Paling merisaukan adalah impak kehidupan mereka ini kepada kanak-kanak. Ini adalah isu utama apabila memperkatakan mengenai kemiskinan bandar. Perkara ini mungkin tidak nampak sekarang, tapi apabila kanak-kanak ini meningkat remaja, baru kita akan dapat lihat masalah yang timbul disebabkan kemiskinan bandar ini.

"Tekanan hidup akibat kemiskinan akan membuatkan keluarga berantakan, kerap berlaku pergaduhan dalam keluarga dan keganasan rumah tangga. Kanak-kanak ini merekodkan semuanya dalam pemikiran, bila meningkat remaja mereka akan lahirkan kembali perasaan atau perkara ini. Akhirnya, lahirlah generasi muda yang bermasalah. Mereka akan jadi nakal, malas belajar, melepak di jalanan dan melakukan jenayah

"Bila berlaku perkara ini, putaran kehidupan itu tidak boleh berubah, akan kekal sama," katanya sambil menjelaskan impak kemiskinan bandar kepada kanak-kanak lebih menakutkan berbanding miskin kampung.

PROF Dr Ramli Musa.
PROF Dr Ramli Musa.

Sementara itu, Pakar Psikiatri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pahang, Prof Dr Ramli Musa, mereka yang terbabit dalam kancah kemiskinan bandar akan mengalami gangguan psikologi, yang seterusnya membawa kepada masalah psikiatri, seperti kemurungan dan tekanan perasaan.

"Ini disebabkan faktor persekitaran kerana niat asal hijrah ke bandar untuk ubah kehidupan tapi bila sampai, tidak dapat apa yang mereka inginkan. Ini berlaku kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai tahap pelajaran yang tinggi selain tidak mempunyai kemahiran pekerjaan. Secara umumnya, keputusan mereka berhijrah ke bandar untuk kehidupan yang lebih baik bukanlah penyelesaian terbaik," katanya.

Prof Ramli berkata, jika sudah mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan, mereka tidak lagi mampu bekerja, apatah lagi untuk menambah pendapatan keluarga.

"Niat berkerja itu ada, tapi tak mampu untuk melaksanakan tugas kerana fikiran tidak tertumpu pada pekerjaan. Akhirnya kena buang kerja, tiada gaji dan akan menambahkan lagi tekanan.

"Mereka perlu dibantu sebenarnya dari sudut kewangan dan psikologi. Jika kewangan, cari penyelesaian yang boleh membuatkan mereka mendapat pekerjaan dan menambah pendapatan, manakala dari sudut psikologi, bantu pemikiran dan hala tuju mereka supaya tidak tersasar sekali gus mengelakkan masalah psikiatri," katanya.

INFO

Bantuan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan

  • Baucer Kerja yang memperuntukkan RM35 setiap hari, yang diselia oleh Kementerian Sumber Manusia untuk individu berpendapatan bawah RM3,000 dan menetap di kawasan bandar.
  • Skim bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui beberapa jenis bantuan:
  • 1. Bantuan Kanak-Kanak: RM100 sebulan seorang dan maksimum RM450 sebulan sekeluarga melebihi empat orang kanak-kanak.

    2. Bantuan Anak Pelihara: RM250 sebulan seorang, maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara lebih dua orang kanak-kanak.

    3. Bantuan Am Persekutuan untuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur: RM80 sebulan seorang, maksimum RM350 sebulan sekeluarga.

    4. Bantuan Am Negeri: Kadar bantuan bulanan adalah berbeza mengikut negeri.

    5. Bantuan Latihan Aperantis: RM200 sebulan seorang.

    6. Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar: RM300 sebulan seorang.

    7. Geran Pelancaran: Maksimum RM2,700 (bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang mempunyai minat dan potensi menceburi bidang perusahaan atau perniagaan kecil)

  • Skim bantuan Baitulmal dan zakat diberikan kepada golongan fakir, miskin, amil, muallaf dan asnaf. Pemberian bantuan bergantung kepada keperluan dan situasi keluarga pemohon.
  • Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 untuk keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.
Berita Harian X