Rabu, 3 Jun 2015 | 12:04am
SHEIKH Mohamed Abdel Aziz Ghonim mengimamkan solat tarawih di beberapa masjid di kawasan Parlimen Jeli. - Foto Mohamed Sahidi Yusof
SHEIKH Mohamed Abdel Aziz Ghonim mengimamkan solat tarawih di beberapa masjid di kawasan Parlimen Jeli. - Foto Mohamed Sahidi Yusof

Ahli Majlis Fatwa Mesir bertutur loghat Kelantan

Jika tidak melihat wajahnya, pasti kita menyangka beliau adalah anak jati Kelantan kerana pertuturannya, pekat loghat negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Berasal dari Mesir dan berkunjung ke negara ini hampir setiap tahun, Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim, 32, fasih berbahasa Melayu dan Perancis.

Ahli Majlis Fatwa Mesir ini berulang-alik ke Malaysia sejak 10 tahun lalu atas jemputan mengadakan ceramah dan mengimamkan solat tarawih.

Beliau mula belajar bahasa Melayu sekitar tahun 1993 tetapi mula mendalami bahasa itu pada tahun 2000 dengan menggunakan kaedah yang dicipta sendiri iaitu tiga bulan menghafal perkataan, tiga bulan menyusun ayat dan tiga bulan mempelajari tatabahasa.

"Saya sudah mula bergaul dengan pelajar Malaysia di Mesir yang tinggal di kawasan Tanta sejak 20 tahun lalu, sama ada di kelas atau pergaulan harian. Saya bertemu mereka setiap hari. Jika mereka mahu mencari rumah sewa, kereta sewa atau kenduri-kendara, mereka akan menghubungi saya," katanya.

Pembabitan dakwahnya di Malaysia bermula apabila beliau dijemput Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed (Tok Pa) ke Jeli untuk mengimamkan solat tarawih pada tahun 2003.

"Saya bertemu Tok Pa secara kebetulan. Saya berselisih dengannya selepas selesai mengajar pelajar Melayu di Mesir. Ketika itu, Tok Pa dalam lawatan melawat pelajar di sana. Dalam perbualan singkat dengannya beliau mengajak saya menjadi imam solat tarawih di Jeli. Dari saat itulah, hampir setiap tahun saya ke Malaysia untuk memenuhi jemputan pelbagai pihak untuk berceramah dan mengajar agama," katanya.

Berpendidikan awal di sekolah rendah al-Akbat yang bukan aliran agama sepenuhnya, Sheikh Mohamed terpaksa berdepan dengan proses yang ketat untuk melayakkannya memasuki Maahad Iddadi al-Azhar ketika berusia 12 tahun, termasuk temu duga dan peperiksaan al-Quran, sebelum meneruskan pengajian ke Maahad Thanawi al-Azhar selama empat tahun.

SHEIKH Mohamed Abdel Aziz Ghonim. - Foto Mohamed Sahidi Yusof
SHEIKH Mohamed Abdel Aziz Ghonim. - Foto Mohamed Sahidi Yusof

"Sistem pendidikan al-Azhar bukan hanya terhad di universiti seperti yang diketahui dunia luar, tetapi ia bermula sejak usia tujuh tahun. Disebabkan saya tidak memasuki sekolah rendah al-Azhar (sepenuhnya aliran agama) saya terpaksa ditemuduga dan menjalani peperiksaan al-Quran," katanya.

Sebaik menamatkan pengajian di peringkat thanawi (menengah tinggi), beliau ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar dalam jurusan syariah pada tahun 1995.

Selepas menamatkan pengajian, beliau menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Usul Fiqh dan Fiqh Perbandingan Mazhab selama tiga tahun, malangnya tidak dapat menamatkan pengajian kerana tidak lulus. Umum memang mengetahui kesukaran untuk mendapatkan kelulusan dari universiti terkemuka dunia itu.

Pada pada masa yang sama, beliau ditawarkan khidmat sebagai Pendakwah Am di al-Azhar dan Imam di Kementerian Wakaf.

"Tawaran bekerja dengan al-Azhar memang dinantikan kerana jawatan Pendakwah Am itu ditutup sejak tahun 1989 dan ia dibuka semula pada tahun 2001. Selepas menjalani temu duga dan ujian, saya antara 360 calon yang lulus daripada ribuan calon yang memohon. Nama kami turut disiarkan dalam akhbar pada tahun 2002," katanya yang mula berkhidmat pada tahun 2003 di al-Azhar cawangan Tanta. Keputusan jawatan itu diumumkan setahun selepas proses temu duga dan tugas rasmi dimulakan setahun selepas itu.

Pada tahun 2006, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Usul Fiqh pengkhususan Fatwa secara jarak jauh di Universiti Malaya selama dua tahun. Beliau mengambil cuti tanpa gaji untuk berulang-alik ke negara ini dan berjaya menggenggam ijazah pada tahun 2008.

Sebaik menamatkan pengajian di UM, beliau mengambil dua sijil latihan Penyelidikan Dakwah dan Fatwa, kursus yang sering disertai pegawai agama dari Malaysia, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Universiti al-Azhar.

Sebagai pendakwah, katanya, perlu menggunakan pendekatan secara hikmah. Pernah beliau berdepan dengan persoalan hukum yang diajukan kepadanya ketika mula berkhidmat di Majlis Fatwa Kaherah. Tanpa mengkaji situasi secara hikmah menyebabkan beliau hampir membuat perhitungan silap dalam menjatuhkan hukum terhadap persoalan pembahagian harta pusaka.

"Ketika itu saya masih muda dan darah muda, baru saja berkhidmat dengan Majlis Fatwa Kaherah dan terbabit dalam penyelesaian isu pembahagian harta pusaka satu keluarga. Ketua keluarganya memeluk Islam tetapi anak serta isterinya bukan Islam.

"Suaminya yang sudah memeluk Islam meninggal dunia dan meninggalkan tiga anak berusia 18 tahun, 14 tahun dan setahun. Harta yang ditinggalkan wang, rumah dan kenderaan. Ketika dikemukakan persoalan itu, saya terus menjatuhkan hukuman keluarga bukan Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka kerana Islam jelas menegah pusaka diberikan kepada berlainan agama.

"Tindakan saya ditegur ketua saya yang juga ulama besar Mesir. Beliau menyuruh saya menggunakan pendekatan secara berhikmah dan berfikir bukan terus menjawab persoalan tanpa melihat situasi. Katanya, bagaimana kita menjatuhkan hukuman kepada kanak-kanak berusia setahun, sedangkan dia belum baligh dan masa depannya kita tidak tahu mungkin beliau akan memeluk Islam. Apabila diberi pusaka pada kanak-kanak itu, keluarganya akan melihat keindahan Islam dan tidak mustahil tertarik.

"Saya menangis apabila Sheikh besar itu memberikan pendapat. Saya sedar jika saya teruskan juga dengan jawapan saya, ada kemungkinan hak kanak-kanak itu tidak diberikan," katanya yang pernah menjadi pengiring ulama terkemuka dunia yang juga Imam Besar al-Azhar, Allahyarham Dr Muhammad Sayyed Tantawi menerima ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bukan hanya Malaysia dianggapnya sebagai rumah kedua, beliau turut berulang-alik ke Perancis setiap tiga bulan berikutan jawatannya sebagai Mufti Pusat Islam di Paris. Sebagai mufti, beliau bertanggungjawab membantu masyarakat Islam dalam isu hukum-hakam dan dakwah.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sesetengah pihak yang tidak menghormati kepakaran ahli agama dan bertindak sesuka hati sehingga menyebabkan orang bukan Islam memandang serong terhadap Islam.

"Pernah terjadi di satu kawasan di Paris, seorang warga Perancis memeluk Islam tetapi dilarang memasuki masjid oleh jemaah warga Arab kerana beliau belum berkhatan. Maka, terjadi pertengkaran. Saya terpaksa menasihatkan jemaah itu, untuk berdakwah perlu ada ilmu dan hikmah.

"Jika kita tiada ilmu dan melantik diri sendiri tanpa tauliah, maka banyak masalah akan timbul. Nama Islam tercemar dan orang merajuk tidak mahu dengan Islam," katanya yang gemar bermain ping pong, berenang dan membaca.

Mendirikan rumah tangga dengan pilihan ibunya, Nafisa Ahmad Emara, 64, beliau dan Marwa Mohammed Ghally, 28, dikurniakan dua cahaya mata, Nour, lima tahun dan Ahmad, dua bulan.

Berita Harian X