Rabu, 3 Jun 2015 | 12:05am

SIRI MISTERI: Jin bekerjasama cetus histeria

MEMILIKI saka atau didampingi jin akibat disihir antara punca seseorang itu mengalami histeria..
MEMILIKI saka atau didampingi jin akibat disihir antara punca seseorang itu mengalami histeria..

PADA pagi 15 Januari lalu, secara tiba-tiba sekumpulan 10 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang, Johor, menjerit serta meronta akibat dirasuk makhluk halus sehingga menyebabkan suasana sekolah gamat.

Situasi panik semakin teruk apabila serangan histeria itu mula melarat kepada pelajar lain sehingga menyebabkan kira-kira 50 pelajar kerasukan.

Pada pagi sama, satu lagi kejadian histeria turut berlaku di Kuching, Sarawak membabitkan kira-kira 20 pelajar SMK Seri Setia. Kedua-dua kes itu berlaku pada hari dan waktu yang hampir sama tetapi pada jarak yang sangat jauh antara satu sama lain. Bagaimanapun, ada beberapa persamaan antara dua kejadian terbabit apabila mangsa di kedua-dua lokasi gangguan mendakwa melihat kelibat makhluk halus sebelum berlakunya histeria.

Dalam kes di Johor, seorang guru mendakwa melihat satu `lembaga hitam' di blok sekolah sebelum berlakunya gangguan. Guru itu pantas beredar dari kawasan berkenaan tetapi terkejut apabila mendapati lebih banyak lembaga hitam berada di kantin. Tidak lama selepas itu, beberapa pelajar perempuan mula histeria.

Bagi kes di Sarawak pula, kejadian pagi 15 Januari itu adalah yang kedua selepas kejadian pertama berlaku dua hari sebelum itu. Kejadian pertama lebih menyeramkan apabila 70 pelajar dirasuk.

HISTERIA berlaku pada kemuncak tekanan perasaan yang dihadapi seseorang dan terdiri daripada dua jenis iaitu akibat tekanan emosi semata-mata atau berpunca daripada gangguan makhluk halus atau jin.
HISTERIA berlaku pada kemuncak tekanan perasaan yang dihadapi seseorang dan terdiri daripada dua jenis iaitu akibat tekanan emosi semata-mata atau berpunca daripada gangguan makhluk halus atau jin.

Seorang pelajar SMK Seri Setia menceritakan dia melihat lembaga berambut panjang keluar dari badan rakan dan menuju ke arahnya sebelum dia pula dirasuk. Seorang lagi mangsa berkata, ketika dirasuk, beliau mengambil serpihan kaca dan menghiris lengannya beberapa kali sebelum dihalang rakan. Beliau bagaimanapun, tidak sedarkan diri ketika berbuat demikian. Pelajar lelaki lain pula mendakwa dia mendengar bisikan misteri yang mengarahkannya masuk ke hutan di belakang sekolah ketika histeria itu berlaku.

Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Ladzim AlAzhari, berkata pembabitan makhluk halus atau jin dalam fenomena histeria sememangnya berlaku.

Katanya, histeria berlaku pada kemuncak tekanan perasaan yang dihadapi seseorang dan terdiri daripada dua jenis iaitu akibat tekanan emosi semata-mata atau berpunca daripada gangguan makhluk halus atau jin.

"Jika akibat makhluk halus, histeria berlaku apabila jin meresap ke dalam tubuh dan mengawal minda seseorang. Jika makhluk halus ini meresap ke dalam diri seseorang secara 100 peratus, mangsa tidak akan sedar diri sepenuhnya.

"Tetapi jika makhluk halus ini meresap secara sebahagian saja, mangsa sedar apa yang berlaku tetapi tidak boleh mengawal tubuhnya kerana tangan, kaki dan semua anggotanya dikawal makhluk halus," katanya yang menubuhkan pusat rawatan di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, kedua-dua jenis histeria itu menunjukkan simptom sama seperti pesakit bercakap seorang diri atau menjerit keterlaluan.

"Jika berlaku kepada seorang, kita sebut sebagai rasukan tapi jika berlaku kepada ramai mangsa, maka ia disebut histeria. Histeria juga berlaku kepada lelaki tetapi wanita lebih ramai kerana emosi mereka lemah," katanya yang berpengalaman mengubati pesakit gangguan jin selama 15 tahun.

Beliau berkata, rasukan histeria kelihatan seperti berjangkit dan merebak kepada mangsa lain disebabkan terdapat banyak jin di kawasan berkenaan dan semua makhluk halus itu `bekerjasama' mencetuskan gangguan.

"Antara punca histeria adalah mungkin pelajar itu ada saka atau didampingi jin akibat disihir. Apabila pelajar itu ke sekolah dan dia dirasuk, jin pada badannya akan memanggil jin lain yang berkeliaran di sekolah atau jin yang ada pada pelajar lain untuk sama-sama menyerang menyebabkan ia kelihatan seperti merebak," katanya.

Selain itu, histeria juga berlaku kerana sekolah menjadi kediaman atau tempat jin berkeliaran.

Abdul Malek berkata, dalam satu kes membabitkan sebuah sekolah menengah di Alor Setar sebelum ini, siasatan mendapati terdapat objek sihir yang ditanam di pintu pagar sekolah menyebabkan fenomena histeria kerap berlaku di kawasan itu.

"Punca lain ialah kawasan itu menjadi tempat jin berkeliaran, antaranya disebabkan tempat berkenaan kotor. Contohnya, mungkin pelajar perempuan membuang tuala wanita mereka yang sudah digunakan merata-rata," katanya.

Beliau berkata, walaupun seseorang itu tidak memiliki jin dalam badannya, individu terbabit masih berisiko dirasuk jika emosi dan jiwanya lemah.

Beliau berkata, sekiranya suatu kawasan mengalami histeria membabitkan gangguan jin, langkah pertama yang perlu diambil ialah mengasingkan semua pesakit. Pesakit yang harus dirawat terlebih dulu ialah pesakit yang mula-mula dirasuk kerana jin dalam badan pesakit itu ialah ketua kepada jin lain yang menyerang kawasan terbabit.

Bagi pelajar lain, mereka perlu membaca ayat al-Kursi dalam keadaan berwuduk secara berterusan bagi mengelakkan mereka turut menjadi mangsa rasukan.

"Jangan memanggil bomoh yang menggunakan khadam jin untuk merawat pesakit. Rawatan susulan perlu dilakukan dan setiap pesakit perlu diperiksa dengan teliti bagi memastikan jin benar-benar sudah keluar dari badan mereka," katanya sambil menambah kawasan sekolah atau lokasi gangguan histeria juga perlu 'dipagar' mengikut kaedah diajar Islam bagi menghalang jin memasukinya semula.

Berita Harian X