Jumaat, 12 Jun 2015 | 12:00am

Jerawat, resdung teruk

SAYA berusia 18 tahun, mengalami masalah jerawat yang agak teruk sejak Tingkatan Satu. Saya rasa kurang berkeyakinan, tambahan pula akan bekerja tidak lama lagi. Bagaimana cara terbaik untuk menghilangkan jerawat. Apakah makanan sesuai, memandangkan saya juga menghidap resdung.

Sarah Syamimi,

Subang Jaya.

KENAL pasti punca sebelum mulakan rawatan.
KENAL pasti punca sebelum mulakan rawatan.

Ramai remaja melalui proses ini, iaitu mengalami hormon yang tidak stabil sehingga menyebabkan kulit berminyak dan mudah ditumbuhi jerawat. Ada di antara remaja ini berhadapan dengan masalah kulit berjerawat sehingga berlarutan. Di bawah antara kaedah mengurangkan jerawat.

Set penjagaan muka yang berkesan

Set penjagaan muka yang mampu membunuh bakteria, mengurangkan minyak dan membersihkan pori-pori. Kebanyakan produk yang mengandungi asid ringan seperti Alpha Hydroxy Acid, Salicylic acid (AHA) atau yang mengandungi vitamin A seperti retinoic acid atau tretinon dapat membantu membunuh bakteria.

Cuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari atau apabila muka berminyak atau berpeluh, diikuti dengan krim untuk mengurangkan kulit berminyak.

Rawatan pengelupasan

Lakukan di klinik sebulan sekali. Pengelupasan atau peeling boleh dilakukan dengan glycolic acid atau salicylic acid bagi jerawat yang sukar dirawat. Hasil pengelupasan boleh dilihat pada sesi pertama, bagaimanapun digalakkan melakukan antara empat hingga lima sesi rawatan mendapatkan hasil yang baik.

Rawatan antibiotik oral dan sapu

Boleh didapati di klinik dan antibiotik oral perlu dimakan setiap hari selama satu hingga dua bulan bergantung kepada tahap jerawat. Antibiotik sapu juga boleh disapu untuk rawatan jerawat setempat. Sekiranya jerawat masih tidak dapat dikawal, boleh menggunakan rawatan oral retin-A.

Bagaimanapun, kesan sampingan oral retin-A, boleh menyebabkan kulit kering dan bibir pecah. Retin-A juga tidak boleh diambil jika hamil kerana boleh menyebabkan kecacatan janin.

Rawatan pil hormon rawat jerawat

Pil hormon dalam bentuk pil perancang untuk jerawat yang disebabkan ketidakstabilan hormon dalam badan khususnya bagi wanita. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang pil hormon dan pengambilan pil hormon mesti dipantau oleh doktor kerana risiko darah beku, darah tinggi dan barah payudara.

Ramai yang memakai mekap tidak menyedari kepentingannya untuk merawat jerawat. Jika penjagaan muka kita lakukan, selepas itu memakai mekap yang diperbuat bahan kimia, ia akan menutup pori-pori selama beberapa jam sehari menyebabkan masalah jerawat sukar diatasi.

Gunakan bedak yang tidak berminyak. Cuba elak menggunakan span berkali-kali kerana ia memudahkan bakteria membiak. Untuk menghindarkan jerawat, disarankan gunakan mekap atau bedak mineral kerana ia tidak mempunyai kandungan kimia yang tinggi yang menyebabkan radang pada kulit.

Masalah resdung juga boleh menyebabkan jerawat. Di dalam hidung kita terdapat rongga yang dikenali sebagai sinus. Apabila dijangkiti kuman, ia akan mengakibatkan sinusitis atau resdung. Antara simptom sinusitis adalah hidung berair, hidung tersumbat, hingus kuning atau hijau dan berbau busuk, demam dan sakit kepala.

Kebanyakan orang yang menghidap resdung juga akan mengalami simptom alahan seperti hidung selalu berhingus atau tersumbat, kerap bersin, alahan pada habuk dan makanan.

Jika anda mengalami alahan terhadap sesuatu makanan, anda perlu menghindari makanan itu. Antara makanan yang perlu dihindari sekiranya mempunyai masalah alergi ialah telur, susu dan hasil produk tenusu seperti yogurt, biskut, kek, keju, roti, mentega dan krim.

Selain itu, pengawet makanan juga boleh menyebabkan alahan. Anda boleh melakukan ujian darah di klinik untuk mengenal pasti alahan pemakanan.

Berita Harian X