Jumaat, 12 Jun 2015 | 12:02am

Doa ketika tawaf mudah makbul

KITA digalakkan memperbanyakkan doa ketika bertawaf.
KITA digalakkan memperbanyakkan doa ketika bertawaf.

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah SWT untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 2003, hati gembira dan teruja. Rasa sungguh bersyukur kerana pada usia belum mencecah 50 tahun sudah diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima.

Isteri yang bertugas di Tabung Haji Travel dan sudah pernah menunaikan umrah serta haji menjadi tempat rujukan. Pelbagai soalan ditanya dan banyak panduan diperoleh daripada isteri serta rakan yang sudah berpengalaman di Tanah Suci.

Alhamdulillah, sebaik sampai di Makkah saya dapat melaksanakan ibadah umrah dan buat orang yang kali pertama menunaikannya, tawaf umrah dirasakan agak mencabar.

Banyak perkara perlu diberi perhatian kerana ada jemaah yang suka bersolat sunat di belakang makam Ibrahim yang terletak dalam lingkaran kawasan paling hampir dengan Kaabah dan menjadi laluan jemaah bertawaf.

Ini menyebabkan pergerakan tawaf adakala terpaksa terhenti seketika untuk mengelak terlanggar jemaah lain yang sedang solat itu. Tidak kurang jemaah yang membuat kepungan tangan bagi membolehkan saudara-mara mereka bersolat di situ.

Mengerjakan solat sunat di belakang makam Ibrahim adalah sunat malangnya kebanyakan jemaah sering berlumba-lumba ingin mendapatkan ibadah sunat, menyebabkan tindakan mereka itu menjejaskan kelancaran ibadat tawaf yang menjadi rukun umrah kepada jemaah lain. Sejak kebelakangan ini bagaimanapun kejadian berkenaan sudah berkurangan.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian jemaah ialah memastikan wuduk tidak terbatal, khususnya ketika bertawaf dengan mengelak daripada bersentuhan bukan mahram. Ini kerana dalam keadaan bersesak-sesak di depan Kaabah, tersentuh wanita atau lelaki bukan mahram boleh berlaku.

Tambahan ramai jemaah wanita yang tidak memakai sarung kaki hingga mudah saja jemaah lelaki tersentuh kulit kaki mereka ketika sedang bertawaf. Dalam keadaan berihram dan badan banyak terdedah, pernah tangan dan bahu penulis disentuh wanita asing.

Masalah itu diajukan kepada seorang guru agama dari Johor yang bertugas dengan Tabung Haji yang kebetulan juga teman sebilik. Beliau mengajar cara berwuduk mengikut mazhab Hambali supaya tidak batal wuduk jika tersentuh wanita ajnabi.

Masalah itu turut diajukan kepada Mufti Perak, Datuk (kini Tan Sri) Harussani Zakaria, yang mengiringi Raja Muda Perak ketika itu, Raja Dr Nazrin Shah menunaikan haji. Harussani yang penulis kenal ketika menjadi Kadi Besar Pulau Pinang, berkata dalam longhat utara: "Kalau hang dok fikir fasal tu, tawaf hang berbelas-belas kali tak selesai."

Beliau berkata, kita boleh berniat ambil wuduk seperti biasa (ikut mazhab Imam Shafie) kerana ketika itu dianggap darurat, orang terlalu ramai dan susah untuk mengelak daripada bersentuhan dengan wanita bukan mahram atau ajnabi.

Kini, masalah itu tidak berbangkit lagi apabila muzakarah haji pada tahun 2005 telah memutuskan jika seseorang itu berada di Tanah Suci, apabila bersentuhan dengan bukan mahram tanpa perasaan syahwat, wuduk tidak batal.

Beribadat di Tanah Suci mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda seperti membuat tawaf sunat, bersolat dan membaca al-Quran. Tawaf sunat amat digalakkan kerana ibadat lain boleh dilakukan di mana-mana tetapi tawaf hanya boleh dibuat di Baitullah.

Selain itu, kita digalakkan memperbanyakkan doa ketika bertawaf. Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. Enam puluh rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah."

Berdasarkan pengalaman penulis, doa ketika bertawaf diperkenankan Allah SWT pada kadar segera. Kebetulan komputer riba yang dibawa penulis tiba-tiba bermasalah dan ini menyukarkan menggunakannya.

Ketika melaksanakan tawaf sunat, penulis memohon kepada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan dan dengan rahmat-Nya, apabila pulang ke hotel komputer riba itu berfungsi semula.

Begitu juga ketika teringatkan kain ihram yang dihantar untuk cucian, penulis terlupa kepada siapa kain ihram itu diberikan. Sekali lagi dimohon petunjuk kepada Allah SWT ketika bertawaf dan Alhamdulillah, doa dimakbulkan.

Ketika berada di bilik hotel, tiba-tiba seorang pemuda Indonesia mengetuk pintu dan menghulurkan kain ihram yang sudah dicuci. Dalam apa situasi khususnya ketika kita terlalu mengharapkan pertolongan, maka kepada Allah SWT tempat berserah.

Berita Harian X