Jumaat, 3 Julai 2015 | 12:08am
AMY kelihatan manis dengan penampilan Muslimah. - Foto Maya Sarina Mahat
AMY kelihatan manis dengan penampilan Muslimah. - Foto Maya Sarina Mahat

Amy Mastura anggap berhijab rezeki Ramadan


KUALA LUMPUR: Bermula dengan minat membelikan tudung sebagai hadiah kepada saudara dan kenalan rapat akhirnya membuka pintu hati pelakon dan pengacara bertubuh genit, Amy Mastura untuk berhijab.

Amy yang kelihatan sungguh manis dengan penampilan Muslimah itu, berkata tekad untuk berhijab datang secara semula jadi. Daripada sekadar menghadiahkan tudung kepada insan lain, kesedaran untuk berubah datang padanya dan dia menganggap ia adalah hikmah daripada tindakannya yang sering menghadiahkan tudung kepada sahabat selama ini.

Bagi pemilik nama sebenar Amy Mastura Suhaimi yang kini menginjak usia 44 tahun, Amy memilih untuk melangkah ke fasa seterusnya sebagai seorang Muslimah sejati sebelum tibanya bulan Ramadan.

"Saya tiada koleksi tudung kerana dulu saya sering membeli tudung dan memberikan kepada orang. Kini orang pula yang beli dan bagi kepada saya.

"Hakikatnya, saya gemar beli tudung untuk dihadiahkan kepada orang lain. Alhamdulillah, saya anggap perubahan ini sebagai rezeki Ramadan.

AMY memilih untuk melangkah ke fasa seterusnya sebagai seorang muslimah sejati.- Foto Adi Safri
AMY memilih untuk melangkah ke fasa seterusnya sebagai seorang muslimah sejati.- Foto Adi Safri

"Secara tiba-tiba saja saya memilih untuk bertudung. Apabila tiba masanya Allah terus membuka pintu hati kita dan tidak ingin patah balik lagi.," kata Amy kepada BH PLUS.

Mengikut Amy, dia memang gemar melihat orang bertudung lantas menerima tawaran untuk sesi fotografi bersama sebuah majalah yang memerlukan dia berhijab.

Cerita Amy lagi, sejak itu dia membulatkan tekad untuk menunaikan kewajipan menutup aurat yang selama ini tertangguh dalam hidupnya.

Dalam tempoh masa yang sama, terdapat beberapa artis lain yang turut berubah imej dengan bertudung seperti Elfira Loy, Zulin Aziz, Rozita Che Wan dan Erra Fazira.

Seperti artis lain yang turut berhijrah dan kini bertudung, Amy berkata perubahan itu adalah sesuatu yang positif dan tidak harus dipersoalkan sesiapa.

AMY (kiri) pada majlis berbuka puasa Sony Music bersama-sama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih Wilayah Persekutuan dan Selangor (PK Baitul Kasih) di Hotel Royale Chulan. - Foto Maya Sarina Mahat
AMY (kiri) pada majlis berbuka puasa Sony Music bersama-sama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih Wilayah Persekutuan dan Selangor (PK Baitul Kasih) di Hotel Royale Chulan. - Foto Maya Sarina Mahat

"Dulu saya fikir adakah ia sekadar trend? Namun jika ia adalah trend yang baik apa salahnya. Jika trend itu boleh membuatkan kita menjadi manusia yang lebih baik maka teruskanlah.

"Kita ambil daripada sudut positif dan jika ia membawa kepada kebaikan jadi tidak salah rasanya berubah mengikut trend. Bagi saya, berhijab ini adalah langkah kecil untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.

"Saya harap peminat yang mendoakan seseorang yang bertudung, turut mendoakan individu itu untuk terus berhijab. Bagilah mereka peluang. Kita berubah satu persatu," kata Amy mengakhiri perbualan.

Wanita kelahiran Batu Gajah, Perak itu bebas dari segala gosip liar yang mampu mencalarkan imejnya sebagai anak seni walaupun sudah menapak dalam industri hiburan lebih sedekad.

Keletah bersahaja dan perwatakan ceria menjadikan kehadiran pelantun lagu Bintang Hati itu disenangi oleh banyak pihak serta berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Berita Harian X