Sabtu, 4 Julai 2015 | 12:03am
MENU bihun belacan di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP
MENU bihun belacan di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP
MAHMUD Ali Bashah melayan pelanggannya di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP
MAHMUD Ali Bashah melayan pelanggannya di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP
MAHMUD Ali Bashah menikmati mi kolok. - Foto NSTP
MAHMUD Ali Bashah menikmati mi kolok. - Foto NSTP

Berbuka puasa dengan menu asli dari Sarawak

BAGI orang Semenanjung yang pernah tinggal, belajar dan bekerja di Sarawak, pasti akan teringat dengan bubur pedas iaitu menu asli Bumi Kenyalang yang menu istimewa sepanjang Ramadan.

Selain bubur pedas, menu lain yang biasa ditemui ketika berbuka puasa di Sarawak sudah pasti umai udang atau ikan selain Laksa Sarawak, mi Kolok dan bihun belacan.

Apa lagi untuk anak Sarawak sendiri yang berada di Lembah Klang kerana tuntutan tugas atau mencari ilmu di sini.

Bubur Pedas dan umai udang antara beberapa menu asli Sarawak yang boleh dinikmati di Restoran Dapur Sarawak (RDS) sepanjang Ramadan ini.

Bagi warga Kuala Lumpur dan Selangor yang pernah merasai bubur pedas dan umai serta teringin makan menu popular Sarawak yang lain, bolehlah berkunjung ke restoran ini.

Pemiliknya, Mahmud Ali Bashah, yang juga seorang pelakon kelahiran Sarawak, berkata bubur pedas adalah menu Ramadan seperti bubur lambuk di Semenanjung.

RESTORAN Dapur Sarawak milik Mahmud Ali Bashah. - Foto Matzidi Dris
RESTORAN Dapur Sarawak milik Mahmud Ali Bashah. - Foto Matzidi Dris

"Bubur pedas ada pelbagai campuran sayur-sayuran seperti tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur midin, putik jagung, kacang panjang dan terung.

"Ada juga penyedia bubur itu mencampurkannya dengan daging ayam dan lembu, kulit lembu dan tendon serta udang kering, menjadi bubur terbabit lebih sedap.

"Menu ini antara hidangan utama kepada masyarakat Islam di Sarawak ketika Ramadan. Kalau kami balik Sarawak, wajib merasa bubur pedas dan sudah tentu menjadi menu penting ketika berbuka puasa," katanya.

Mahmud berkata, Laksa Sarawak pula mempunyai rasa tersendiri berbanding laksa utara mahupun laksa Johor.

Katanya, laksa Sarawak menggunakan mi halus atau bihun dengan kuah laksa khas yang berlemak dan dicampur dengan dua atau tiga ekor udang, sedikit isi ayam yang dipotong kecil atau dihancurkan seperti kayu pecungkil gigi dan hirisan telur, rasanya memang sedap sekali gus mengecurkan air liur bagi mereka yang pernah makannya.

"Warga Semenanjung yang kerap ke Sarawak pasti terbayang mi kolok, iaitu mi khas sama ada kering atau basah.

PELANGGAN, Noorain Norman, 26, pertama kali menikmati mi kolok di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP
PELANGGAN, Noorain Norman, 26, pertama kali menikmati mi kolok di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP

"Sekali imbas mi kolok macam mi segera. Tapi mi kolok dicampur hirisan daging atau ayam yang direbus dengan rempah dan dihidangkan bersama air sup, cili dan kicap," katanya.

Bihun belacan pula adalah bihun yang dicelur dengan air panas dicampur dengan hirisan sotong kembang, telur padi yang juga dikenali sebagai telur 100 tahun atau disebut telur hitam, sedikit tauge dan hirisan timun. Kuahnya juga berbeza, kerana menggunakan pitis yang dicampur belacan dan sedikit gula apong serta tepung jagung.

Teh C bersama ayam pansuh

Mahmud berkata, RDS bukan saja menyediakan laksa Sarawak, mi kolok dan bihun belacan malah pelbagai masakan Sarawak yang lain seperti nasi aruk dabai, ayam pansuh dan umai.

"Menu baharu yang diperkenalkan ialah nasi manok panggang, ais kacang istimewa, cucur pusuk dan mi jawa," katanya.

Pengurus RDS, Sharifuddin Junaidi, berkata semua menu eksotik yang disediakan mereka mengekalkan resipi asli Sarawak dan ada beberapa bahan iaitu sambal laksa dan mi kolok dibawakan khas dari Kuching bagi mengekalkan rasa sebenarnya.

NASI aruk dabai di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP
NASI aruk dabai di Restoran Dapur Sarawak. - Foto NSTP

Beliau berkata, beberapa bahan seperti mi yang digunakan untuk mi kolok dan buah dabai yang diletakkan dalam nasi aruk dabai hanya terdapat di Sarawak.

Katanya, buah dabai yang kulitnya berwarna hitam, manakala isinya berwarna krim dan sedikit unggu adalah buah bermusim di Bahagian Sarkei, Sibu dan Kapit.

"Buah yang sudah dibuang bijinya dan dijerukkan itu, dicampurkan di dalam nasi aruk iaitu nasi goreng dan membuatkan rasanya berbeza dengan nasi goreng biasa.

"Bagi menjamin keaslian semua resipi Bumi Kenyalang di restoran ini, kami membawa 14 pekerja dan tukang masak dari Sarawak," katanya.

Sharifuddin berkata, restoran itu juga memperkenalkan air istimewa dari Sarawak iaitu Teh 'C' Special, yang menyerupai air teh tiga lapis yang kini semakin diminati pelanggan.

"Teh 'C' Special berbeza dengan air teh tiga lapis kerana ia menggunakan gula apung atau gula nipah yang dibawa dari Sarawak yang menjadikan rasanya lebih lemak.

"Selain itu, pengunjung restoran kami juga boleh membeli kek lapis Sarawak yang disediakan oleh anak Sarawak bagi mengekalkan keaslian rasanya," katanya.

LOKASI RESTORAN DAPUR SARAWAK

  • No 19, Jalan Sarikei off, Jalan Pahang (di belakang Hospital Tawakal, Jalan Pahang, Kuala Lumpur)
  • Antara Menu Istimewa: Bubur pedas, umai, mi kolok, laksa Sarawak, nasi manok panggang, cucur pusuk, mi jawa, nasi aruk dabai dan bihun belacan.

Berita Harian X