Sabtu, 4 Julai 2015 | 12:13am

Ramadan ingatkan Siti kisah zaman remaja


KUALA LUMPUR: Sejak kecil penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tak pernah melupakan memori berniaga di bazar Ramadan di kampung halamannya di Kuala Lipis.

Ironinya apa sahaja istilah yang dipanggil sama ada bazar Ramadan, pasar Ramadan atau singkatannya Param memang cukup sinonim di bulan puasa.

Namakan sahaja di setiap sudut di mana-mana negeri di Malaysia, kemeriahan bazar Ramadan ini sedikit sebanyak menyemarakkan kehadiran bulan mulia ini. Ia juga daripada sudut lain memberi ruang kepada masyarakat di negara kita menjana pendapatan untuk digunakan pada hari raya yang akan menjelma kelak.

Menurut penyanyi lagu yang baharu sahaja meledak dengan lagu Mikraj Cinta dari album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged itu mula berniaga dari usia 10 hingga 16 tahun. Bukan sahaja di bulan Ramadan, Siti juga tak lokek membantu ibu tersayangnya berniaga kuih pada hari biasa.

Cuma setiap kali tiba Ramadan, ingatan Siti terhadap bazar Ramadan mula mengundang senyuman dan kenangan terindah buatnya.

"Pelbagai kuih muih Siti jual bantu ibu (Siti Salmah Bachik) di bazar Ramadan di Kuala Lipis seperti karipap kentang, karipap sardin, cucur Badak, Popia goreng, telinga kera, kuih bakar dan talam ubi kayu.

"Malahan kalau bulan lain pun Siti jual kuih muih ini di sekolah, pasar malam dan pekan pagi (dipanggil pekan sari) selain di berek polis tempat tinggal kami sekeluarga," katanya dalam pertemuan dengan BH Plus baru-baru ini.

Biar sudah lama meninggalkan memori itu, Siti sebenarnya sesekali tak melepaskan peluang ke bazar Ramadan di ibu kota atau di kampung halamannya. Cuma ketika artikel ini ditulis, Siti belum berkesempatan ke bazar Ramadan.

SITI kini meledak dengan lagu Mikraj Cinta dari album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged. - Foto Aziah Azmee
SITI kini meledak dengan lagu Mikraj Cinta dari album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged. - Foto Aziah Azmee

"Memang bazar Ramadan ini cukup melekat di hati Siti. Sangat nostalgia. Seronok sebenarnya kalau bercakap mengenai bazar Ramadan ini. Pastinya kalau singgah ke bazar Ramadan ada peniaga yang akan memanggil nama Siti sebagai isyarat untuk Siti singgah ke gerai mereka.

"Selalunya kalau beli, ada juga peniaga yang bermurah hati memberikan lebih apa sahaja makanan yang dibeli.

"Tak kurang juga yang bermurah hati memberikan makanan yang dijual secara ikhlas. Semestinya kalau ke bazar Ramadan, Siti tak lepas mencari popia sira pedas dan karipap sardin yang paling sedap. Karipap sardin memang antara kuih kegemaran Siti. Cuma sebagai pembeli kita jangan rambang mata sangat kerana nanti ia akan mengundang pembaziran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti kini juga rancak mempromosikan perniagaan fesyen selendang, tudung dan baju raya di bawah jenama Kallista By Siti Nurhaliza. Projek yang disifatkan Siti sebagai projek main-main itu nampaknya semakin membuahkan hasil dan mendapat tempat di hati peminatnya. Lantas Siti dilihat semakin serius untuk memajukan perniagaan jenama fesyennya itu.

Kallista menurut Siti diambil dari bahasa Greek yang membawa maksud paling cantik. Ironinya, Siti sepatutnya melakukan semua ini sejak mula dia bertudung lagi kerana diakui penyanyi utara Bintang HMI anjuran RTM pada tahun 1995 mempunyai pengaruh yang kuat terutamanya di laman Instagram dengan 1.6 juta pengikut.

Cuma untuk perniagaannya itu, Siti yang dibantu pengurusnya, Rozi Abdul Razak menggunakan medium Facebook di bawah nama Kallista By Siti Nurhaliza untuk menerima tempahan atau pertanyaan. Malahan di halaman berkenaan yang kini sedang mengumpul pengikut hampir 8,000 itu, gambar koleksi tudung dan baju raya turut dimuat naik. Siti turut mempromosikan jenama itu di laman Instagram miliknya di bawah nama @ctdk.

SITI pada majlis pelancaran Album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged di Duchess Place, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
SITI pada majlis pelancaran Album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged di Duchess Place, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

"Ia memang boleh Siti katakan sebagai projek suka hati. Tapi tak diduga mendapat sambutan memberangsangkan. Ia dijual dengan harga mampu dimiliki dari harga puluhan hingga ratusan. Siti bermula dengan jualan selendang sejak dua bulan lalu dan bulan ini, Siti cuba pula menjual baju kurung untuk digayakan pada musim raya.

"Macam baju kurung ini, Siti mula terdetik untuk menjualnya selepas ke kedai tekstil Jakel atas dasar mencuba nak buat baju. Dari memula memilih kain, Siti seterusnya memilih rekaan dan menghantarnya ke tukang jahit. Rekaan Siti untuk baju raya ini memang ringkas dan Siti selalu letakkan hashtag #bergayasederhana di laman Instagram. Siti jual dengan harga mampu milik ini sebab kalau ada peminat nak bergaya macam Siti boleh membelinya tanpa berfikir panjang soal harga," katanya.

Ketika ini, Siti memberitahu sudah membeli beberapa helai baju raya untuk dirinya sendiri.

"Sejak saya keluar dengan jenama Kallista ini, nampaknya saya juga boleh beraya dengan koleksi sendiri," katanya.

Tahun ini Siti memberitahu dia akan beraya di kampung halaman suaminya di Kedah terlebih dahulu sebelum pulang ke Kuala Lipis. Malah dalam bulan Ramadan ini, Siti juga akan menunaikan umrah. Siti sudah terbang ke Tanah Suci Makkah hari ini.

SITI bersama Pengarah Urusan Universal Music Sdn Bhd, Kenny Ong pada majlis pelancaran Album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged di Duchess Place, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
SITI bersama Pengarah Urusan Universal Music Sdn Bhd, Kenny Ong pada majlis pelancaran Album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged di Duchess Place, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

"Bezanya tahun ini nenek Siti, Teh Te'ek sudah tiada kerana meninggal dunia Mei lalu kerana sakit tua. Jadi tahun ini, rumah keluarga Siti di kampung halaman (Kuala Lipis) sudah kehilangan penyerinya kerana ketiadaan nenek. Selalunya memang rumah keluarga akan jadi tempat berkumpul sanak saudara. Lagipun arwah nenek sebelum ini memang dijaga ibu Siti.

"Biarpun nenek sudah tiada, dengar cerita sanak saudara akan tetap berkumpul di rumah keluarga saya. Ibaratnya ibu sayalah yang menjadi tunjang selama ini. Seronok sebenarnya melihat betapa kuat dan erat ikatan keluarga kami sesama adik beradik mereka. Insya-Allah Siti juga mahu dan berharap dapat terus menghidupkan tradisi yang sama dilakukan ibu setiap kali lebaran tiba," katanya.

Teruja album buat pertama kali dirakam format piring hitam

Kehadiran album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged cukup bermakna buat beliau kerana ia menjadi simbolik kepada 20 tahun usia pembabitan seninya. Album berkenaan dirakam dalam format CD, VCD, DVD dan piring hitam. Mengikut Siti lagi, ia diambil daripada rakaman konsert live unplugged beliau di Istana Budaya April lalu.

Selain lagu Mikraj Cinta, dua lagi bonus yang dimuatkan dalam album itu ialah Engkau dan Menatap Dalam Mimpi. Album kerjasama Siti Nurhaliza Production dan Universal Music sudah berada di pasaran sejak 30 Jun lalu.

SITI teruja album buat pertama kali dirakam dalam format piring hitam. - Foto Aziah Azmee
SITI teruja album buat pertama kali dirakam dalam format piring hitam. - Foto Aziah Azmee

"Kali pertama album saya turut dihasilkan dalam format piring hitam. Sangat teruja. Sejak bekerjasama dengan Universal Music dari album Fragmen, saya melihat kerjasama terjalin itu cukup istimewa. Biar pihak Siti dan syarikat ini sering bertikam lidah dan bertelagah pendapat, kami semestinya mahukan yang terbaik.

"Siti juga sudah merakamkan klip video lagu ini pada malam 23 Jun lalu di Pelantar Terbuka Menara Kuala Lumpur dengan menggayakan busana rekaan Ezuwan Ismail. Alhamdulillah permintaan untuk menjalani penggambaran di lokasi itu diperkenankan pihak mereka. Siti memang sukakan tempat tinggi dan Menara KL sebenarnya mempunyai pemandangan indah sekitar KL terutamanya pada waktu malam," katanya.

Lagu Mikraj Cipta yang dipromosikan ketika ini juga sebenarnya menjadi kerjasama sulung Siti bersama Hafiz Hamidun.

"Alhamdulillah permintaan saya untuk mendapatkan 'aroma' Timur Tengah juga diperkenankan Hafiz kerana kebetulan dia sekarang ini pun sedang dalam proses menghasilkan album untuk seorang penyanyi Arab. Selepas berbincang dengan Hafiz, saya suka alunan biola yang mempunyai lenggok Arab dan Alhamdulillah Hafiz merealisasikannya," katanya.

INFO: Datuk Siti Nurhaliza

  • Mula meledak dengan lagu Jerat Percintaan
  • Namanya pernah mencipta kejayaan di anugerah seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Planet Muzik
  • Lahir pada 11 Januari 1979 di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh

Berita Harian X