Ahad, 12 Julai 2015 | 12:05am
PELAKON, Azrel Ismail. - Foto Maya Sarina Mahat
PELAKON, Azrel Ismail. - Foto Maya Sarina Mahat
AZREL Ismail memulakan langkah dalam dunia seni dengan menyertai Pertandingan Lelaki Maskulin 2009. - Foto Maya Sarina Mahat
AZREL Ismail memulakan langkah dalam dunia seni dengan menyertai Pertandingan Lelaki Maskulin 2009. - Foto Maya Sarina Mahat

Tumpang tuah seiras wajah Remy Ishak


KUALA LUMPUR: Berbekalkan wajah kacak persis Remy Ishak, pendatang baru Azrel Ismail semakin mengorak langkah di persada seni tempatan.

Walaupun masih mentah dalam bidang lakonan, wajah Azrel sering kali menghiasi iklan komersial. Malah, dia mengambil risiko meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus jualan bagi mengejar impian bergerak aktif sebagai anak seni sepenuh masa.

Jejaka berusia 30 tahun itu memulakan langkah dalam dunia seni dengan mencuba nasib memasuki Pertandingan Lelaki Maskulin 2009. Walaupun pulang dengan tangan kosong, ia tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi pelakon.

Namun timbul pula kata-kata negatif mengatakan dia hanya mempertaruhkan rupa paras yang tampan sekali gus mengaburi mata penonton dengan bakatnya yang kurang menyerlah.

"Tidak dinafikan rupa paras sangat penting dalam industri seni, namun banyak elemen lain yang perlu dititik beratkan seperti disiplin, minat dan bakat untuk menjadi seorang pelakon yang baik.

"Pada saya, bakat memainkan peranan yang penting kerana bagaimana hendak menjayakan sesuatu watak jika tiada bakat, bukan? Bagi saya sekacak mana pun individu itu, tidak akan ke mana jika hanya harapkan rupa para semata-mata.

AZREL Ismail menceburi bidang lakonan tahun lalu dengan memegang watak utama dalam drama bersiri 26 episod berjudul Fajar Di Bukhara arahan Zulkifli Arshad. - Foto Aziah Azmee
AZREL Ismail menceburi bidang lakonan tahun lalu dengan memegang watak utama dalam drama bersiri 26 episod berjudul Fajar Di Bukhara arahan Zulkifli Arshad. - Foto Aziah Azmee

"Saya tahu hakikat bahawa saya masih baru dalam bidang lakonan dan banyak yang perlu saya pelajari lagi. Beri saya masa untuk memperbaiki mutu lakonan saya kerana saya bermula sebagai seorang model," kata Azrel kepada BH PLUS.

Azrel berkongsi, dia mula menceburi bidang lakonan tahun lalu dengan memegang watak utama dalam drama bersiri 26 episod berjudul Fajar Di Bukhara arahan Zulkifli Arshad.

Dalam perkembangan terkini, drama lakonannya berjudul Syurga Nur arahan Jinggo kini bersiaran menerusi slot Akasia.

"Ini adalah drama pertama saya yang akan disiarkan di TV3 dan peluang ini sudah tentu saya gunakan sebaik-baiknya. Tambahan pula, saya digandingkan bersama Ayda Jebat dan Amar Asyraf.

"Saya berharap drama itu nanti akan memberikan impak kepada karier lakonan saya selepas ini," ujarnya yang sudah bersedia menerima kritikan.

Syurga Nur mengisahkan Nur yang kehilangan ibu bapanya dalam kecelakaan jalan raya. Sejak itu, Nur dibesarkan ibu saudaranya, Alin.

Akibat selalu didera Alin, Nur melarikan diri dan ditakdirkan berjumpa dengan Sarina yang menyanyanginya seperti anak kandungnya sendiri. Sarina mempunyai anak kandung, Kamil dan Adib. Kamil mempunyai perasaan kepada Nur tapi terlalu takut mengungkap cintanya. Rahsia Kamil terbongkar apabila lelaki itu menolak untuk mengahwini Siti.

WALAUPUN dikatakan mempunyai rupa mirip Remy Ishak, Azrel menganggapnya sebagai bonus untuk dia dikenali dalam bidang seni. - Foto Adi Safri
WALAUPUN dikatakan mempunyai rupa mirip Remy Ishak, Azrel menganggapnya sebagai bonus untuk dia dikenali dalam bidang seni. - Foto Adi Safri

Selain Azrel, drama ini turut dibarisi Jannah Nick, Arriz Azim, Amar Asyraf dan Sheila Rusly yang bermula siaran pada 1 Julai pada jam 6.55 petang setiap Isnin hingga Khamis.

Mengulas mengenai pandangan orang mengatakan wajahnya mirip aktor Remy Ishak, Azrel menganggap keadaan itu sebagai bonus untuk dia dikenali dalam bidang seni.

"Saya tidak kisah pun jika orang samakan wajah saya dengan Remy kerana ia adalah satu bonus untuk orang lebih mengenali saya. Malah, ia dianggap sebagai satu penghargaan kerana dikaitkan dengan pelakon 'senior'.

"Dia adalah idola saya sejak dari dulu lagi dan ramai juga yang kata muka kami serupa tetapi saya sendiri tidak pernah bersemuka dengan dia," ujar Azrel mengakhiri wawancara.

Berita Harian X