Jumaat, 17 Julai 2015 | 12:14am
ARTIFAK budaya pada reka corak wang kertas dan duit syiling Malaysia. - Foto Salhani Ibrahim
ARTIFAK budaya pada reka corak wang kertas dan duit syiling Malaysia. - Foto Salhani Ibrahim
POHON pitis. - Foto Salhani Ibrahim
POHON pitis. - Foto Salhani Ibrahim
PERALATAN untuk menempa duit syiling emas Negeri-negeri Melayu pada abad ke-16 hingga abad ke-20. - Foto Salhani Ibrahim
PERALATAN untuk menempa duit syiling emas Negeri-negeri Melayu pada abad ke-16 hingga abad ke-20. - Foto Salhani Ibrahim
ACUAN duit kijang (kanan) dan acuan pohon pitis, yang digunakan pada abad ke-17 hingga abad ke-20 . - Foto Salhani Ibrahim
ACUAN duit kijang (kanan) dan acuan pohon pitis, yang digunakan pada abad ke-17 hingga abad ke-20 . - Foto Salhani Ibrahim

Ringgit sudah popular sejak 500 tahun dulu

RINGGIT kini digunakan sebagai mata wang rasmi negara sejak duit kertas dan syiling pertama dicetak oleh Bank Negara pada tahun 1967.

Namun, ramai tidak menyedari bahawa sebutan ringgit ini sebenarnya sudah diguna pakai masyarakat Melayu dalam urusan jual beli kira-kira 500 tahun dulu iaitu ketika Tanah Melayu didatangi pedagang Sepanyol dan Portugis.

Pada abad ke-16 dan ke-17, Alam Melayu menggunakan mata wang luar yang lebih dominan seperti dolar Sepanyol dan dolar Mexico, yang mana diguna secara meluas dalam urusan perdagangan dan dibibir masyarakat Melayu ketika itu, mereka memanggil mata wang terbabit sebagai ringgit.

Kurator Galeri Numismatik Bank Negara, Wan Muhammad Danial Wan Omar, ketika menceritakan mengenai sejarahnya berkata, perkataan ringgit sebenarnya terhasil daripada satu perkataan Melayu asli yang disebut 'bergerigi'.

Beliau berkata, bergerigi itu pula merujuk pada sisi bergerigi yang terdapat pada syiling perak dolar Sepanyol, yang digunakan secara meluas pada era penjajahan Portugis di Melaka sekitar abad ke-16 dan ke-17.

"Sejarahnya, ringgit digunakan sejak zaman penjajahan lagi iaitu apabila pedagang dari luar menggunakan dolar Sepanyol dan Mexico, biarpun pada zaman itu rakyat tempatan lebih selesa memanggil mata wang itu dengan ringgit, 1 dolar (Sepanyol dan Mexico) sama dengan satu ringgit bagi mereka.

ANTARA koleksi wang kertas lama yang terdapat di Galeri Numismatik. - Foto Salhani Ibrahim
ANTARA koleksi wang kertas lama yang terdapat di Galeri Numismatik. - Foto Salhani Ibrahim

"Ada juga perkataan lain digunakan bagi mewakili penggunaan dolar Sepanyol iaitu ringgit janik atau ringgit landak. Ada juga satu syiling (dolar Sepanyol) yang memaparkan lambang matahari, jadi mereka sebut sebagai ringgit matahari.

"Pada tahun 1970-an, terdapat satu syiling perak dolar Mexico yang memaparkan wajah pemimpin mereka, orang Melayu ketika itu menyebut mata wang terbabit sebagai ringgit patung, menunjukkan perkataan 'ringgit' itu sudah begitu sinonim dalam kalangan masyarakat ketika itu," katanya.

Wan Muhammad Danial berkata, bermula pada tahun 1870-an, nota bank pula diperkenalkan. Nota bank ketika itu dihasilkan oleh beberapa bank luar iaitu Oriental Bank, Hong Kong Bank dan Shanghai Bank.

Bank terbabit mencipta nota bank terbabit khusus untuk kegunaan di Tanah Melayu sebagai bentuk wang tunai, yang kemudiannya diguna dalam urusan perniagaan dan jual beli.

"Dalam nota bank itu turut tertera perkataan ringgit di satu ruangannya, yang ditulis dalam huruf jawi. Kami (Galeri Numismatik Bank Negara) memiliki koleksi duit itu, yang dikeluarkan oleh Oriental Bank dan Hong Kong Bank.

WANG kertas lama. - Foto Salhani Ibrahim
WANG kertas lama. - Foto Salhani Ibrahim

"Malah, dalam mata wang dolar selat ketika zaman British, turut terdapat perkataan ringgit. Ketika itu, pertukaran nilai dolar selat adalah bersamaan dengan ringgit atau satu dolar bersamaan dengan satu ringgit.

Kesultanan Melayu Melaka adalah antara yang terawal memperkenalkan mata wang sendiri ketika pemerintahannya, selain kerajaan Kelantan ketika zaman Cik Siti Wan Kembang.

"Ia kemudian disusuli beberapa negeri lain. Namun, kita masih tidak pernah lihat syiling yang dikeluarkan kerajaan Negeri Sembilan, hanya satu-satunya negeri yang wangnya masih gagal dijejaki sehingga kini," katanya.

Berdasarkan rekod, mata wang ringgit Malaysia dikeluarkan oleh bank pusat yang baharu, iaitu Bank Negara Malaysia, secara rasminya pada 12 Jun 1967, bagi menggantikan ringgit Malaya dan Borneo British ketika itu.

DUIT syiling peringatan. - Foto Salhani Ibrahim
DUIT syiling peringatan. - Foto Salhani Ibrahim

Pada 1992, lambang '$' dalam wang kertas dikeluarkan dan diganti dengan 'RM' atau Ringgit Malaysia, manakala di peringkat antarabangsa pula, penggunaan 'MYR' diperluaskan sebagai simbol kod mata wang negara Malaysia.

Setiap syiling dan wang kertas yang diperkenalkan mempunyai maksud dan rahsia tersendiri, selain ciri yang menggambarkan sejarah dan kehidupan masyarakat ketika itu. Ikuti kupasan mengenai bidang numismatik, esok.

Berita Harian X