Sabtu, 18 Julai 2015 | 12:02am
BAHAN dikisar sehingga halus. - Foto Aziah Azmee
BAHAN dikisar sehingga halus. - Foto Aziah Azmee
BAHAN yang telah dikisar dilulur pada ayam dan diperap semalaman, manakala sebahagian lagi disimpan untuk menyediakan kuah. - Foto Aziah Azmee
BAHAN yang telah dikisar dilulur pada ayam dan diperap semalaman, manakala sebahagian lagi disimpan untuk menyediakan kuah. - Foto Aziah Azmee
MASUKKAN serai, daun dan asam gelugor ke dalam kuah. - Foto Aziah Azmee
MASUKKAN serai, daun dan asam gelugor ke dalam kuah. - Foto Aziah Azmee
MASUKKAN air asam jawa dan masak sehingga kuah pekat. - Foto Aziah Azmee
MASUKKAN air asam jawa dan masak sehingga kuah pekat. - Foto Aziah Azmee

Ayam percik istimewa

AYAM percik istimewa yang disediakan di restoran The Club, GTower. - Foto Aziah Azmee
AYAM percik istimewa yang disediakan di restoran The Club, GTower. - Foto Aziah Azmee

POPULAR dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga pelancong asing membuatkan menu ayam percik mendapat tempat di hati penggemarnya sehinggakan ada yang sanggup mengembara untuk merasai keenakannya.

Jika dilihat, ia hanyalah satu hidangan yang ringkas malah mudah disediakan, namun jika seseorang itu tiada kepakaran, hasilnya kurang memuaskan.

Dengan hanya memanggang ayam dan memerapnya bersama bahan tertentu, ia boleh menjadikan seseorang itu terkedu dengan rasanya yang begitu enak.

Bukan saja dijual di pasar malam, hotel dan restoran mewah juga sudah mula memperkenalkan menu enak ini kepada orang ramai supaya terus mendapat tempat terbaik.

Begitu juga dengan restoran eksklusif The Club di GTower Kuala Lumpur, tidak ketinggalan untuk mempelbagaikan resipi dengan memberi sentuhan tradisional kepada menu turun-temurun ini.

 

BAKAR ayam yang telah diperap. - Foto Aziah Azmee
BAKAR ayam yang telah diperap. - Foto Aziah Azmee

Menu setiap masa

Cef Sous Kanan, Sharifah Norani Syed Zainudin berkata, menu yang sudah terkenal di seluruh negara ini boleh dinikmati dengan apa saja cara tak kira waktu pagi, petang atau malam.

Katanya, bersempena ketibaan bulan Ramadan yang penuh mulia tidak lama lagi, menu ini juga sangat sesuai dihidangkan untuk keluarga dan rakan di pejabat ketika waktu berbuka.

"Ada yang gemar menikmatinya ketika waktu makan tengah hari namun ada juga penggemar memakannya di waktu malam sebagai juadah tambahan selain dijadikan menu berbuka puasa.

"Ia enak dimakan bersama nasi panas, roti mahupun dimakan begitu saja kerana menu ini bukannya berkuah sedikit kering oleh itu tidak leceh untuk menggayakannya," katanya.

Beliau berkata, di sesetengah negeri ayam percik dimakan begitu saja kerana bahan yang dilulur ke atas ayam sebelum dibakar sudah memadai untuk menaikkan aroma dan rasa.

"Tetapi di GTower kami memperkenalkan sos khas yang cukup enak bagi memberi rasa menakjubkan lain daripada yang lain," katanya.

 

gn4id:8402787

Teliti penyediaan

Sharifah Norani berkata, ketika penyediaan kuah adalah penting untuk sentiasa mengacau di atas api sederhana supaya tidak pecah minyak.

"Sebenarnya, penyediaan resipi ini sangat mudah namun seseorang itu harus teliti. Penggunaan dedaun herba dalam resipi pula sangat penting kerana ia dipercayai mampu menaikkan aroma selain memberi ketahanan supaya hidangan dapat tahan lama," katanya.

Beliau berkata, menyapukan kuah yang sudah siap dimasak ke atas ayam juga mampu memberi rasa unik lebih enak.

"Sapukan sedikit kuah yang dimasak tadi pada paha ayam dan dibakar semula pada suhu 100 darjah Celcius selama 10 minit untuk menaikkan aroma," katanya.

Aroma Kulinari berkongsi resipi ayam percik istimewa yang disediakan di restoran The Club, GTower Kuala Lumpur pastinya menyempurnakan hari anda.

 

BAHAN untuk menyediakan sajian ayam percik istimewa. - Foto Aziah Azmee
BAHAN untuk menyediakan sajian ayam percik istimewa. - Foto Aziah Azmee

Bahan-bahan:

1.5 kilogram ayam

20 gram (g) serbuk kunyit

6 helai daun limau purut

5 keping asam gelugor

30g bawang goreng

2 helai daun kunyit

3 batang serai (dititik)

20g asam jawa (dibancuh dengan air)

60g garam

20g gula

500 mililiter santan

 

Bahan kisar:

100g bawang besar

50g buah keras

4 batang serai

20g halia

10g kunyit hidup

30g cili kering

3 biji cili merah

 

Cara penyediaan ayam:

1. Kisarkan semua bahan yang perlu dikisar.

2. Bahan kisar tadi dilulur di atas ayam dan diperap semalaman.

3. Keluarkan ayam dari perapan dan bakar selama 40 hingga 50 minit pada suhu 200 darjah celcius.

 

Cara penyediaan kuah:

1. Lebihan perapan tadi ditumis bersama santan dan masukkan sedikit air supaya kuah tidak terlalu pekat.

2. Masukkan asam gelugur, air asam jawa, gula, garam, daun limau purut, daun kunyit dan serai yang sudah dititik.

3. Kuah perlu sentiasa digaul untuk memastikan santan tidak pecah minyak dan dimasak menggunakan api sederhana selama 10 hingga 15 minit.

4. Tutup api dan masukkan bawang goreng.

5. Siap dihidang.

 

Berita Harian X