Ahad, 19 Julai 2015 | 12:01am

Novel remaja bantu perangi dadah

ANI (tiga dari kiri) melancarkan buku Perutusan Dari Penjara. - Foto Ilham Noorzali
ANI (tiga dari kiri) melancarkan buku Perutusan Dari Penjara. - Foto Ilham Noorzali

SASTERA remaja seperti novel, berupaya memberikan kesedaran kepada pembaca generasi muda, sekali gus menjadi landasan kepada proses pembelajaran pelajar dalam penulisan kreatif.

Novel remaja seperti Perutusan Dari Penjara karya Dr Shaari Isa juga boleh memberikan pendedahan mengenai gejala sosial dan jenayah yang menular dalam kalangan generasi muda.

Penekanan itu dibuat pada Majlis Bicara Buku di Bangunan ELearning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Bicara itu menampilkan Felo Penyelidik Muzium Pendidikan Nasional UPSI, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Hasan dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim serta dikendalikan oleh Pensyarah UPSI, Prof Madya Dr Abdul Halim Ali.

Kamal Affandi menyifatkan buku itu perlu dimiliki oleh pelajar sekolah kerana ia memberikan pencerahan terhadap senario semasa yang dihadapi generasi muda.

"Karya itu juga dihasilkan oleh penulis yang membuat penyelidikan yang mencerminkan keintelektualan dalam pencernaan pelbagai maklumat untuk diangkat ke dalam karya kreatif.

FELO Penyelidik Muzium Pendidikan Nasional UPSI, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Hasan. - Foto Ilham Noorzali
FELO Penyelidik Muzium Pendidikan Nasional UPSI, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Hasan. - Foto Ilham Noorzali

PENGANALISIS jenayah, Kamal Affandi Hashim. - Foto Ilham Noorzali
PENGANALISIS jenayah, Kamal Affandi Hashim. - Foto Ilham Noorzali

"Ia juga menyentuh penyatuan kaum dan mendedahkan situasi sebenar masalah dadah yang dialami semua kaum sehingga usaha membanterasnya juga memerlukan pembabitan pelbagai kaum," katanya pada acara yang dirasmikan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) UPSI, Prof Madya Dr Ani Omar.

Sementara itu, Mohd Yusof ketika membentangkan kertas Dr Shaari Isa: Ikon Pemikiran Pendidikan Malaysia, menyarankan buku berkenaan dijadikan teks bagi subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah kerana berjaya mendedahkan senario menakutkan yang menular dalam kalangan remaja.

"Shaari yang selama ini menulis novel untuk golongan dewasa, membawa persoalan sosio ekonomi dan budaya remaja yang penuh cabaran pada era globalisasi.

"Buku setebal 214 halaman yang mengandungi 21 bab ini, mengisahkan wartawan majalah Bintang mengumpul maklumat mengenai sindiket pengedaran dadah membabitkan pelajar sekolah," katanya pada acara anjuran Kursus Keterampilan Penulis, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Perhubungan Alumni UPSI.

DR Shaari Isa. - Foto Ilham Noorzali
DR Shaari Isa. - Foto Ilham Noorzali

Sebelum itu, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Rusnah Awang, dalam ucapan aluan, berkata penampilan Kamal Affandi untuk membicarakan buku itu membuka ruang untuk melihat pandangan penganalisis masalah jenayah tanah air terhadap garapan pengarang kreatif.

Shaari yang hadir pada acara itu, turut meluahkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah dan amalan mengedar dadah dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin menjadi-jadi sehingga memberi inspirasi kepadanya menghasilkan buku berkenaan.

Shaari sebelum ini terkenal dengan novel triloginya Lepaskan Kembali Aku ke Laut, Berbasikal ke Artik dan Aku Tak Rela Diperhambakan turut menghasilkan novel terbaharunya, Sebalik Yamashita dan Percival terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Berita Harian X