Ahad, 19 Julai 2015 | 12:01am
RUANG solat Masjid Batak Rabit yang moden dan selesa.
RUANG solat Masjid Batak Rabit yang moden dan selesa.
MAKAM yang terletak bersebelahan dengan masjid.
MAKAM yang terletak bersebelahan dengan masjid.
KENTUNG atau batang kayu yang digunakan untuk menandakan masuk waktu solat.
KENTUNG atau batang kayu yang digunakan untuk menandakan masuk waktu solat.
PONDOK atau wakaf untuk berehat sambil menikmati pemandangan indah Sungai Perak yang terletak di belakang Masjid Batak Rabit.
PONDOK atau wakaf untuk berehat sambil menikmati pemandangan indah Sungai Perak yang terletak di belakang Masjid Batak Rabit.

Nilai sejarah Masjid Batak Rabit

MENARA asal Masjid Batak Rabit dipercayai berusia lebih 200 tahun masih berdiri teguh.
MENARA asal Masjid Batak Rabit dipercayai berusia lebih 200 tahun masih berdiri teguh.

MASJID Batak Rabit kira-kira tujuh kilometer dari bandar Teluk Intan, Perak, dipercayai berusia hampir dua abad dikatakan mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Kedudukannya di tepi jalan Teluk Intan - Hutan Melintang memudahkan orang yang lalu lalang untuk singgah menunaikan ibadat dan apabila melewati masuk ke pekarangan masjid menyusuri tempat parkir kelihatan jarak di antara Sungai Perak dengan masjid hanya kira-kira 30 meter sahaja.

Di tebing sungai itu terdapat tempat perhentian perahu nelayan kecil dan pengunjung boleh melihat dari pondok yang dibina untuk jemaah masjid beriadah sambil menikmati pemandangan Sungai Perak yang mempunyai pelbagai kisah dan sejarahnya.

Di sebelah kanan masjid kelihatan kubur lama yang masih terpelihara. Dipercayai antara kubur lama di sini adalah keturunan Laksamana Raja Mahkota yang dijaga dengan baik oleh pengurusan masjid bagi memastikan kekal sehingga hari ini.

Apabila melewati di bahagian dalamnya pula kelihatan banyak tiang dibina dengan kemas dan kukuh melambangkan betapa hebatnya arkitek zaman dahulu dalam membina binaan konkrit sehingga kekal utuh sehingga kini.

TINGKAP masjid yang dipercayai masih mengekalkan reka bentuk asal.
TINGKAP masjid yang dipercayai masih mengekalkan reka bentuk asal.

Menariknya, kelihatan menara di kiri masjid yang mempunyai nilai sejarah pembinaannya dan terdapat tangga dan tingkap dibina di dalam menara untuk memudahkan penjaga masjid atau dikenali Tok Siak untuk naik ke menara masjid itu.

Difahamkan seni bina masjid ini menggabungkan seni bina Melayu dan Eropah dan struktur bangunan serta bumbungnya memang jelas dengan menggunakan ciri-ciri atap tumpang yang lazim terdapat pada masjid di nusantara. Ada ahli sejarah bersetuju binaan Masjid Batak Rabit ini berasal dari Masjid Demak.

Menara masjid ini dikatakan unik kerana dari segi struktur dan penggunaan bahan binaan langsung tiada persamaan dengan bentuk menara pada masjid lama Perak yang kebanyakannya menggunakan bahan kayu dan berbentuk empat segi seperti Masjid Kampung Pulau Besar dan Masjid Sayong.

Ada yang berpendapat menara Masjid Batak Rabit tidak sama dengan menara konkrit seperti di Melaka yang mirip kepada bentuk Pagoda. Dipercayai masjid ini pernah menjadi tempat perbincangan serta persinggahan oleh pembesar dan pedagang Melayu kerana kedudukannya yang terletak betul-betul di pinggir sungai.

JETI di belakang masjid yang digunakan oleh nelayan mencari rezeki di Sungai Perak.
JETI di belakang masjid yang digunakan oleh nelayan mencari rezeki di Sungai Perak.

Kawasan Batak Rabit pula suatu ketika adalah di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad II (1874-1877), maka sudah tentulah menjadi masjid utama negeri ketika itu.

Pada zaman penjajahan Inggeris, bandar Teluk Intan menjadi antara pintu utama kegiatan ekonomi.

Pada masa sama landasan kereta api di bina sehingga ke Teluk Intan, manakala Batak Rabit berada di antara dari Teluk Intan ke Bagan Datoh sebagai laluan keluar ke hilir Sungai Perak sehingga difahamkan menara Masjid Batak Rabit bukan sekadar menyerupai rumah api tetapi mungkin juga berfungsi sebagai isyarat bagi menandakan bahawa pedagang berada sudah menghampiri bandar Teluk Intan .

Sejauh mana kebenaran tentang pembinaan dan fungsi masjid itu tidaklah penting dan yang paling utama masjid itu sehingga hari ini masih utuh serta digunakan ahli kariah kampung Batak Rabit itu untuk menjalani ibadat dan menjadi tempat persinggahan orang ramai yang berulang alik dari Teluk Intan sehinggalah ke Lumut.

Berita Harian X