Jumaat, 24 Julai 2015 | 12:03am

Berkaki ayam di bumi Makkah

ALHAMDULILLAH, musim haji tahun 2013, saya dan isteri diundang menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan rukun Islam kelima. Pelbagai persoalan bersarang di kepala saya sebelum menjejakkan kaki di Baitullah kerana pelbagai cerita didengar mereka yang pernah menunaikan haji.

Antaranya, ada jemaah haji tidak nampak Kaabah, ada yang mengalami pelbagai peristiwa aneh sepanjang melaksanakan ibadat haji. Bukan mudah untuk menafikan cakap-cakap seumpama itu, namun saya tabahkan hati dengan niat semata-mata untuk beribadah dan menyaksikan keagungan Yang Maha Khaliq.

Pastinya kita biasa dengar nasihat jemaah, setiap apa yang kita ucapkan di Masjidil Haram adalah doa. Oleh itu, jangan sekali-kali bercakap tidak tahu hujung pangkal. Silap-silap, apa yang diucapkan menjadi kenyataan.

Sejurus berdiri buat pertama kali di hadapan pintu King Abdul Aziz di Masjidil Haram, hati kecil saya tertanya-tanya apakah saya mampu menyaksikan Kaabah. Isteri meminta saya berserah kepada Allah SWT dan memohon supaya segala-galanya dipermudahkan-Nya.

Alhamdulillah, menyaksikan Kaabah buat pertama kali bukan sekadar membuatkan saya dan isteri serta jemaah haji lain menitiskan air mata, malah menangis semahu-mahunya seperti anak kecil yang berhajatkan sesuatu.

Itulah keagungan Allah SWT. Tiada siapa yang mampu menahan sebak di dada tatkala menyaksikan Baitullah benar-benar wujud di depan mata.

Lima hari selepas berulang-alik dari Maktab 97 ke Masjidil Haram, sudah cukup untuk membolehkan kami mengenal laluan dan sepanjang berada di Masjidil Haram, pelbagai kerenah jemaah haji dari segenap pelosok dunia dapat disaksikan.

Dijadikan cerita, selepas solat fardu Zuhur, dalam perjalanan balik ke maktab, isteri memberitahu waktu uzurnya akan tiba dalam tempoh empat atau lima hari lagi. Jika ikut waktunya, isteri saya dapat berehat sebelum tiba waktu menunaikan ibadat haji.

"Habis saja cuti, insya-Allah ada dua atau tiga hari lagi sebelum masuk 8 Zulhijjah untuk kita memulakan ibadat haji, wukuf di Padang Arafah, singgah mengutip batu di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar di Jamrah dan datang semula ke Makkah untuk buat tawaf, saie dan tahalul haji," katanya.

Sambil bergurau saya menjawab: "Jika awak uzur esok lagi bagus, tak payahlah saya susah-susah nak jaga awak, nak bawa tawaf dan saie umrah. Kalau bergerak seorang, senang untuk saya buat tawaf sunat atau tawaf umrah dan saie seorang diri."

Tiba-tiba wajah isteri saya berubah mendengar kata-kata itu. Ada sedikit kekesalan di wajahnya. Mungkin dia menganggap saya menyifatkannya sebagai beban sepanjang melaksanakan kerja umrah, apatah lagi apabila menjelang kemuncak ibadat haji nanti.

Petang itu saya bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Asar dan seperti biasa, saya akan pergi ke bilik isteri untuk mengajaknya bersama. Sebaik membuka pintu bilik, isteri memaklumkan dirinya uzur dan perkara itu disedari selepas kembali dari makan tengah hari.

Tangkai jantung saya bagaikan direntap kerana baru saja tadi kami bercerita, perkara itu sudah terjadi. Hati saya terus membenarkan ingatan sering diucapkan jemaah yang pernah ke Tanah Suci, setiap yang terlintas di hati akan dibayar secara terus (cash).

Saya terus melangkah meninggalkan hotel, berjalan sejauh 1.3 kilometer ke Masjidil Haram berseorangan. Hakikatnya, terasa agak mudah berbanding jika bersama isteri kerana keselamatannya adalah tanggungjawab saya.

Seminggu kemudian, isteri saya sudah boleh menunaikan solat dan membuat tawaf sunat. Namun, kami tidak menunaikan umrah kerana dua hari sebelum wukuf, Masjidil Haram sudah dibanjiri kira-kira tiga juta umat Islam menunggu waktu bertolak ke Padang Arafah.

Lautan manusia membuatkan saya dan isteri mengambil keputusan untuk menunaikan solat di Masjidil Haram tanpa melakukan tawaf sunat serta umrah.

Ketika melangkah keluar masjid selepas solat Asar, tiba-tiba melintas di depan kami seorang jemaah lelaki dari Indonesia berkaki ayam. Lantas saya berkata kepada isteri, pastinya selipar lelaki itu sama ada dicuri atau dia terlupa disimpan di mana.

Keesokannya, selepas menunaikan solat Zuhur di masjid, saya kehilangan sepasang selipar yang dibawa dari tanah air. Isteri saya lantas mengingatkan teguran saya kepada jemaah lelaki sebelum itu. Seluruh jiwa saya dipanjat kekesalan, saya segera beristighfar memohon keampunan Allah SWT.

Tengah hari itu, saya terpaksa `berkaki ayam' menahan panas bumi Makkah dari Masjidil Haram ke kedai selipar yang jaraknya kira-kira 800 meter.

Benar sungguh janji kata-kata jemaah haji yang mendahului saya iaitu setiap kata yang dilafazkan di Tanah Haram adalah doa. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum melontarkan kata-kata kerana Allah SWT Maha Berkuasa menentukan segala-galanya.

Berita Harian X