Selasa, 4 Ogos 2015 | 12:04am

Ahmad Syukri idam aksi di Olimpik

ATLET perahu layar kebangsaan, Ahmad Syukri Abdul Aziz menunjukkan sebahagian pingat yang dimenangi. - Foto Hasriyasyah Sabudin.
ATLET perahu layar kebangsaan, Ahmad Syukri Abdul Aziz menunjukkan sebahagian pingat yang dimenangi. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

BANTING: Menerima pingat di sukan Olimpik sentiasa menjadi impiannya sejurus menceburi sukan pelayaran sejak berusia sembilan tahun.

Bukan itu saja malah dia juga ingin berkongsi ilmu yang ada dengan menjadi seorang jurulatih untuk terus memartabatkan sukan berkenaan di negara ini.

Itu adalah antara impian pelayar kebangsaan Ahmad Syukri Abdul Aziz, 18, yang baru-baru ini meraih pingat emas acara International 420 di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan, sekali gus memecah kemarau lapan tahun tidak meraih pingat acara berkenaan.

Kemenangan itu diraih bersama gandingan, Mohamad Faizal Norizan,18, selaku jurumudi di Wangsan Sailing Marina.

"Sebelum nak dapatkan pingat saya kena layak dulu dan mungkin fokus saya di Olimpik Tokyo, Jepun pada tahun 2020. Kalau ikut prestasi sekarang saya memang belum boleh fikir untuk ke Olimpik di Rio Brazil 2016 kerana kurang pengalaman.

"Saya juga berazam untuk menurunkan ilmu kepada bakal pelapis negara serta muka baharu bidang ini, setelah itu ingin berusaha menjadi seorang jurulatih," kata anak kepada pasangan Abdul Aziz Abas, 51, dan pasangan, Azura Ali, 49.

MOHAMAD Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz ketika bertanding dalam acara 420 di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan. - Foto Rosli Rahmat
MOHAMAD Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz ketika bertanding dalam acara 420 di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan. - Foto Rosli Rahmat

Berlatih di lokasi sebenar

Walaupun pada awalnya didedahkan oleh bapanya untuk mengisi masa lapang namun dek prestasi memberangsangkan dia mula dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan pada usia 12 tahun dalam acara Optimist.

Dan lama kelamaan dia semakin mendapat rentak untuk terus menggegarkan lautan sekali gus memberi saingan kepada pelayar dalam dan luar negara.

Untuk terus maju dalam perlumbaan, Syukri menjadikan pemenang Olimpik dari Australia acara International 470, Malcolm Page sebagai idola dalam memburu kerlipan pingat.

"Saya akan usaha sekuatnya untuk menjadi macam Page," katanya yang dikendalikan jurulatih dari Greece, Dimitris Lekakis dan jurulatih tempatan, Mohd Shahir Abdul Rahim.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Syukri berkata seminggu sebelum acara sebenar, dia dan rakan akan mengadakan latihan di lokasi untuk proses menyesuaikan diri, mengumpul maklumat serta mengetahui keadaan laut dan cuaca.

"Kalau hendak menang, selalunya kena biasakan dengan keadaan sekeliling sebelum berlumba. Kemudian apabila tiba hari sebenar kena serius dan buat yang terbaik," katanya yang juga penuntut Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Arau.

Sejak berusia sembilan tahun, Ahmad Syukri sudah didedahkan dengan sukan perahu layar di Pusat Latihan Sukan Pelayaran Batu Laut, Kuala Langat, Selangor.

Bimbingan yang diterimanya itu bertujuan untuk mengisi masa lapang anak bongsu daripada empat beradik itu selain cara berkesan yang difikirkan anggota keluarganya untuk mengelakkannya daripada terjerumus dengan perkara negatif.

AHMAD Syukri Abdul Aziz mula berjinak dengan sukan perahu layar semasa beliau berusia 9 tahun. - Foto Hasriyasyah Sabudin
AHMAD Syukri Abdul Aziz mula berjinak dengan sukan perahu layar semasa beliau berusia 9 tahun. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Perkara itu didedahkan serba sedikit oleh bapanya, Abdul Aziz Abas, 51, mengenai perihal serta sejarah anak lelakinya kancah pelayaran.

"Saya mula bawa dia untuk mengenali peralatan perahu layar ketika dia dalam darjah tiga untuk isi masa lapang, kebetulan pada masa itu ada empat orang yang sebaya untuk dijadikan rakan sekumpulan.

"Walaupun agak risau pada awalnya tapi saya tak mahu dia merayau, main di tepi parit, buang masa begitu saja sebab ia lebih membimbangkan," katanya ketika mengimbas kembali permulaan pembabitan anak lelaki tunggalnya itu.

Ahmad Syukri, 18, yang menjadi pilihan hatrik kali ini adalah pemenang pingat emas Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan yang bertindak selaku krew menerusi acara layar International 420.

Datuk juga seorang pelayar

Kemenangan itu diraih di Wangsan Sailing Marina, bersama gandingan, Mohamad Faizal Norizan, 18, selaku jurumudi sekali gus memecah kemarau lapan tahun negara tidak memenangi pingat emas acara pelayaran.

Cerita Aziz lagi, selepas mula menyertai acara itu, dia mula menghantar Syukri atau dikenali sebagai `Kiki' untuk memasuki pertandingan dan ternyata prestasinya meningkat saban hari.

"Pada mulanya di tahun pertama penampilan, ia hanya sebagai pendedahan dan beberapa tahun selepas itu, saya nampak hasil serta pencapaian dengan rakan-rakan amat memuaskan.

AHMAD Syukri Abdul Aziz akan mengadakan latihan di setiap lokasi baharu kejohanan. - Foto Hasriyasyah Sabudin
AHMAD Syukri Abdul Aziz akan mengadakan latihan di setiap lokasi baharu kejohanan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Dia juga menunjukkan minat mendalam selepas itu hingga saya menghantar dia menyertai kejohanan.

Apabila berada di darjah enam, nama Syukri tercalon untuk memasuki pasukan kebangsaan," katanya yang juga bertindak sebagai Pengurus Pasukan Perahu Layar Selangor sejak tahun 2008.

Sejurus meningkatnya pencapaian dalam sukan itu sehingga ke peringkat dunia, kini Abdul Aziz dan pasangan, Azura Ali, 49, berharap Syukri mampu menggapai kejayaan lebih besar.

"Saya harap dia dapat jadikan sukan perahu layar ini sebagai aktiviti berfaedah kepada demi masa lapang kerana saya percaya sukan layar ini sebahagian pencetus kepada perkembangan minda remaja dan saya lihat dia cepat matang berbanding rakan sebaya yang lain.

"Ia juga mungkin membabitkan keturunan, kerana zaman Datuk saya berhijrah dari Indonesia ke sini dulu, saya anggap arwah juga kerap 'belayar' dan ia sedikit sebanyak mengukuhkan kesinambungan tradisi pelayaran dalam keluarga ini," katanya.

Berita Harian X