Selasa, 11 Ogos 2015 | 12:07am

Ekspresi cinta terhadap Rasulullah

HAFIZ membawa pendengar menyelami perjuangan dan menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW.
HAFIZ membawa pendengar menyelami perjuangan dan menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW.

TIGA album daripada siri penerbitan, Zikir Terapi Diri memahat kukuh nama Hafiz Hamidun sebagai antara pencetus revolusi dalam industri nasyid kontemporari. Selepas mencatat jualan terkumpul mencecah 500,000 unit, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu juga merintis laluan untuk membawa karyanya merentas global.

Hafiz melakar sejarah sebagai artis nasyid pertama memiliki akaun Vevo, platform terbaik untuk memperkenalkan lagi karyanya di pentas antarabangsa.

Pencapaian demi pencapaian yang diraih komposer muda itu memperlihatkan usaha seriusnya untuk memulihkan kembali kepercayaan peminat terhadap industri muzik.

Cecah jualan platinum

Ketika kebanyakan penyanyi komersial berdepan kesukaran untuk memasarkan karya mereka, Hafiz membuktikan sebaliknya. Album terbarunya, I Love Rasulullah terjual melebihi 13,000 salinan selepas sebulan dilancarkan, sekali gus memberinya peluang meraih anugerah platinum.

Sedikit berbeza daripada tiga album terdahulu menerusi produksi yang menyaksikan dirinya bertindak sebagai penerbit, Hafiz membawa pendengar menyelami perjuangan dan menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW.

Meskipun masih mengekalkan sentuhan kontemporari, Hafiz cuba memberikan susunan berbeza untuk menyuntik nuansa segar dalam produksi berkenaan.

ALBUM I Love Rasulullah terjual melebihi 13,000 salinan selepas sebulan dilancarkan.
ALBUM I Love Rasulullah terjual melebihi 13,000 salinan selepas sebulan dilancarkan.

Tekan kekuatan lirik

Selain melodi, Hafiz meletakkan lirik sebagai kekuatan utama untuk menyokong setiap komposisi yang dihasilkannya. Setiap lirik yang dihasilkan menjadi refleksi kepada emosinya dan disalurkan untuk dirasai peminat. Rasa yang sama juga akan meresapi apabila pendengar menghayati keseluruhan pengisian Love Rasulullah.

Mengisi sembilan lagu, album ini mempamerkan sisi matang Hafiz dari sudut komposisi dan vokal. Seandainya alunan Hafiz dalam album terdahulu mampu menyentuh emosi pendengar, I Love Rasulullah juga mengutamakan kekuatan yang sama.

Antara lagu yang dimuatkan adalah Penyelamat, Habeeb, Bukti Cintaku, Lawkana Bainana, Kasih Padamu, Sollu Ala Khairil Anam, Pemergian Rasul, Ya Rasul dan Tolaal Badru Alaina.

Antara dakwah dan perjuangan, Hafiz membuktikan penerbitan album konvensional masih mampu memberi nafas kepada industri muzik tempatan.

I Love Rasulullah

  • Artis: Hafiz Hamidun
  • Genre: Rohani
  • Edaran: Arteffects Sdn Bhd

Berita Harian X