Selasa, 18 Ogos 2015 | 12:03am

Liyana Jasmay dalam liga tersendiri


BERLAKON sejak usia sembilan tahun, Liyana Jasmay terus meluncur laju di liganya yang tersendiri. Malah, ketika ini, di saat lambakan heroin baharu terus menguasai pasaran dunia lakonan, Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-19 itu masih meneruskan survival seninya, termasuk bergelar penerbit menerusi rumah produksi sendiri, Mermaid Studios.

Biarpun kini sudah memegang status ibu selain peranan utama sebagai isteri kepada Fathudin Mazlan, yang dinikahinya sejak Februari 2013, Liyana tidak akan pernah berhenti memperjuangkan rentak seni.

Cuma beliau sedar, dunia ini umpama putaran roda, lalu takhta heroin yang didambakan ramai tidak langsung difikirkan jika ada yang beranggapan ia sudah dirampas pelakon generasi lain.

"Saya berada di arena yang berbeza dengan pelakon masa kini. Mereka masih baharu dan ia satu perkembangan positif melihat industri seni tak pernah kekurangan bakat muda. Bagus untuk mereka untuk terus mencari identiti supaya memberikan variasi. Saya sendiri tahu apa yang dimahukan dalam meneruskan legasi seni ini.

LIYANA boleh dikatakan antara artis yang tak banyak kontroversi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
LIYANA boleh dikatakan antara artis yang tak banyak kontroversi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Pada satu tahap, saya dapat menentukan sama ada patut menerima atau tidak tawaran lakonan yang diserahkan. Selain tahu dan dapat mengagak adakah produk lakonan itu bagus atau tidak. Hidup ini satu pertaruhan dan kita tak boleh terus selesa dengan apa yang ada. Kini, saya juga sudah menerbitkan telefilem dan filem. Ia satu kepuasan buat saya.

"Malah, saya juga menceburi dunia nyanyian selain lakonan. Saya memang tak akan berhenti berkongsi bakat yang ada. Saya ini jenis yang cepat bosan kalau berehat panjang. Saya sendiri memerlukan bakat baharu untuk diketengahkan dalam produksi sendiri," katanya.

Liyana, antara artis yang kurang mencetus kontroversi. Perjalanan seninya dilihat lancar dan jarang diganggu-gugat dengan kontroversi yang menyesakkan.

Mengulas kontroversi yang banyak melanda artis baharu berbanding bakat yang dimiliki, Liyana memberikan pandangannya dari aspek pelakon dan penerbit.

"Ada antara mereka boleh saya katakan mahukan kontroversi itu. Ada yang mereka dan mengada-adakan cerita. Tetapi kalau nak bergantung dengan kontroversi semata-mata, sampai bila pun tak akan bertahan. Ya benar manusia tak boleh lari daripada melakukan kesilapan dan kemudian menyesal. Tetapi jika mereka terus-terusan dengan kontroversi, pasti ada sesuatu yang tak kena dengan mereka.

LIYANA tahu dan dapat mengagak adakah produk lakonan itu bagus atau tidak. - Foto Nik Hariff Hassan
LIYANA tahu dan dapat mengagak adakah produk lakonan itu bagus atau tidak. - Foto Nik Hariff Hassan

"Sebagai penerbit, saya sendiri mahu mencari pelakon yang berkualiti. Jika baharu dan cantik tetapi statik di situ sahaja, tak ke mana juga. Jika mereka nak ke satu tahap yang baik, pastinya kena berusaha kuat. Pada akhirnya, ia berbalik pada soal bakat. Tak kisahlah cantik atau muda, semuanya bersifat sementara.

"Barangkali pelakon sebegitu hanya akan bertahan setahun dua tetapi kemudiannya orang akan lupa. Semuanya bertitik-tolak pada cara mengekalkan hayat. Saya sendiri sejak sembilan tahun hingga usia sekarang masih di sini melakukan apa yang saya cintai. Sebagai pelakon waima manusia sekalipun, kita patut tahu apa yang kita buat... apa hala tuju kita," katanya.

Ditanya siapakah heroin generasi baharu yang digemarinya, Liyana menyebut nama Nelydia Senrose sebagai antara pelakon kesukaannya.

"Dia pun pernah berlakon dengan saya. Saya nampak potensinya. Dia memperjuangkan bakatnya dan boleh pergi jauh. Bakatnya boleh terus digilap," kata penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta dan Cinta Bersatu itu.

Dalam perkembangan lain, wanita comel itu mengakui melakukan perancangan keluarga. Wanita comel itu kini hamil empat bulan selepas anak sulungnya, Sofia Arissa, sudah berusia dua tahun.

LIYANA dan suami, Fathuddin Mazlan. - Foto Shiraz Ali
LIYANA dan suami, Fathuddin Mazlan. - Foto Shiraz Ali

"Memang saya melakukan perancangan keluarga kerana mahukan anak kedua selepas dua tahun melahirkan anak pertama. Selepas kelahiran anak kedua nanti, saya nak biarkan Sofia dan adiknya membesar dahulu," katanya sambil menambah puteri sulungnya itu semakin bijak dan lasak.

Berbeza dengan kehamilan pertama, yang mana beliau cepat moody, kehamilan kedua ini lebih lancar, kata Liyana, cuma kali ini, selera makannya kurang.

Ketika ini juga, Liyana masih berulang-alik dari Sabah dan Kuala Lumpur berikutan suaminya mempunyai komitmen kerja di negeri di bawah bayu itu.

Bagaimanapun ketika ini, lebih banyak masa diluangkan di ibu kota bagi memastikan perniagaan pakaian yang sedang diusahakan dan proses suntingan filem pertama terbitan syarikatnya, Bella dan Jamie, berjalan lancar.

gn4id:8885902

INFO

Filem Bella dan Jamie

  • Filem pertama terbitan Mermaid Studios.
  • Bella dan Jamie diterajui pelakon Juliana Evans, Khir Rahman, Dynaz Mokhtar dan Izzue Islam. Ia mengisahkan persahabatan antara Bella dan Jamie. Hubungan mereka semakin erat selepas mendapat tahu bapa Jamie dan ibu Bella merancang untuk berkahwin. Bagaimanapun, keakraban mereka menjadi keruh apabila Bella mendapat tahu Jamie menjalin hubungan cinta dengan bekas kekasihnya.
Berita Harian X