X
Sabtu, 12 September 2015 | 12:03am

Atikah Suhaime tidak leka dengan pujian


BERBANDING pelakon lelaki kelahiran Singapura yang dilihat dominan dalam industri hiburan tempatan, tidak ramai pelakon wanita negara itu mengalami nasib serupa.

Setakat ini, pelakon wanita dari Singapura yang dilihat masih aktif ialah Elfaeza Ulhaq dan Atikah Suhaime. Bagi Atikah, keadaan itu mungkin disebabkan industri hiburan negara kelahirannya juga lebih didominasi aktor lelaki, namun pada akhirnya kata Atikah, bakat yang menjadi pertaruhan untuk terus kekal dalam industri.

Selepas tiga tahun mencari rezeki sebagai anak seni di Malaysia, Atikah bersyukur dengan penerimaan rakyat negara ini dan tidak terkecuali syarikat produksi yang terus-menerus membuka peluang untuk artis dari negara luar. Malah, beliau kini bernaung di bawah syarikat Metrowealth International Group (MIG) milik David Teo.

Beliau menyifatkan keadaan itu mewujudkan persaingan sihat dalam industri.

PELAKON, Atikah Suhaime. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PELAKON, Atikah Suhaime. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Atikah, 24, kini antara heroin pelapis yang terus menjadi perhatian pengarah, produksi dan stesen televisyen. Wajahnya juga kerap menjadi penyeri di layar perak. Dia juga mula dianggap ayam tambatan dan anak emas MIG, yang selama ini menjadi 'gudang memproses' bakat seni. Atikah dilihat melalui situasi yang sama pernah dikecapi Lisa Surihani dan Wawa Zainal.

"Saya bersyukur, kerjaya seni di bawah MIG semakin ada kemajuan. Kehadiran dan bakat saya semakin diterima bahkan tawaran berlakon semakin murah. Rezeki saya bertambah. Alhamdulillah, boleh membantu menanggung keluarga dan apa yang patut. Semua ini berkat doa mama dan papa saya yang selama ini tak pernah putus memberikan semangat dan sokongan.

"Saya sangat senang bekerja dan mencari rezeki di Malaysia. Semuanya bagai tersusun cantik dan saya rasa amat dirahmati. Di bawah pengurusan MIG, saya beruntung kerana segala-galanya dilihat lancar. Isu saya dianggap anak emas atau ayam tambatan MIG itu, saya melihat semuanya daripada sudut positif. Jauh sekali melihat ia sebagai tekanan.

"MIG selama ini sentiasa mendorong saya untuk menjadi yang terbaik di arena seni. Jujur, tanpa bantuan dan platform MIG, saya rasa seperti sukar untuk bergerak jauh. Tambah pula saya bukan pelakon dari Malaysia. Saya menikmati saat yang dilalui kini sebaik mungkin. Saya tak boleh terus selesa dengan apa yang ada. Selangkah demi selangkah saya juga mengharapkan perkembangan kerjaya yang baik pada waktu mendatang," katanya.

ATIKAH Suhaime menjadi perhatian pengarah, produksi dan stesen televisyen. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ATIKAH Suhaime menjadi perhatian pengarah, produksi dan stesen televisyen. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pengurusan MIG, kata Atikah, banyak memberikan kemudahan dan kelancaran buatnya mengatur rentak seni. Berjauhan dengan keluarga dan memilih untuk berdikari di negara orang kini tidak lagi menjadi satu masalah besar buat Atikah.

Ditambah dengan kecekapan dan keberkesanan MIG sendiri, Atikah tidak teragak-agak untuk memperbaharui kontraknya bersama syarikat itu. Kontraknya kini berbaki dua tahun.

"Dengan MIG, saya diberi kebebasan dan pada masa yang sama, menerima bimbingan serta panduan berharga. Saya sangat selesa. Segala urusan promosi, jadual kerja saya dan macam-macam lagi semuanya dipantau MIG. Saya pun tak ada kuota tertentu untuk berlakon dengan MIG, malah boleh menerima tawaran berlakon dengan produksi lain," katanya.

Memiliki wajah mirip pelakon jelita, Nur Fazura, Atikah tidak mahu hanyut dengan kelebihan itu.

ATIKAH Suhaime menanam impian untuk berlakon di sisi Nur Fazura dan Maya Karin, yang disifatkannya memiliki bakat dan kecantikan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ATIKAH Suhaime menanam impian untuk berlakon di sisi Nur Fazura dan Maya Karin, yang disifatkannya memiliki bakat dan kecantikan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya rasa pandangan itu suatu yang normal untuk pelakon baharu seperti saya. Mungkin ada persamaan tetapi saya tidak mahu leka dengan pujian ini," katanya yang menjadikan Nur Fazura sebagai idola selain Maya Karin dan Nora Danish.

Atikah menanam impian untuk berlakon di sisi Nur Fazura dan Maya Karin, yang disifatkannya memiliki bakat dan kecantikan.

"Saya meminati Nur Fazura dan Maya Karin. Bagi saya, bakat dan kecantikan mereka seiring. Impian saya adalah untuk berlakon dengan mereka. Saat ini, saya sudah berpeluang berlakon dengan Nora Danish," kata Atikah yang baharu sahaja selesai penggambaran filem Selamatkan Hari Jadi arahan Eyra Rahman selain drama Bukan Isteri Sempurna lakonannya di samping Dazrin sedang rancak disiarkan TV3 untuk slot Samarinda.

Mengenai sisi peribadi, Atikah memilih pendekatan untuk bersikap terbuka terhadap temannya. Sebelum ini Atikah dikatakan pernah berkongsi kisah kekasihnya yang difahamkan seorang juruterbang. Sedar menjadi figura awam, pastinya setiap inci kehidupannya ingin diketahui ramai, Atikah tidak terlalu melihat soal itu sebagai beban.

"Saya bersikap terbuka, tak kira teman istimewa, keluarga atau kawan rapat, saya pasti berkongsi gambar mereka di laman sosial. Tapi apapun, biarlah ada batasnya," katanya.

Berita Harian X