Khamis, 24 September 2015 | 12:06am

Lepas geram di Pulau Sembilan

PAK Isa (tengah) bersama Fadzli (kiri) dan Mior puas dengan hasil tangkapan masing-masing.
PAK Isa (tengah) bersama Fadzli (kiri) dan Mior puas dengan hasil tangkapan masing-masing.

LUMUT: Lebih lima tahun tidak 'berkunjung' ke Pulau Sembilan dan selama tempoh itu juga dia tidak menaikkan jenahak atau golden snapper di perairan pulau berkenaan.

Ketika itu, hanya ikan kerapu dan tetanda tersangkut di mata jorannya, manakala jenahak langsung tidak nampak kelibat.

Jadi, apabila tiba-tiba mendapat kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada rakan, Fadzli Abd Aziz di Ipoh yang mengajaknya ke Pulau Sembilan, Mior Nazri tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuannya.

Dalam keadaan teruja itu, Mior dan rakannya, Amran Azudin (Lan) bergerak meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Lumut kira-kira jam 3 petang selepas masing-masing selesai tugasan pada hujung minggu.

Mereka tiba di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Sitiawan kira-kira jam 7 malam. Fadzli dan tekong, Isa Che Ri atau Pak Isa sudah sedia menunggu mereka dengan bot gentian kaca yang digerakkan oleh enjin 75 kuasa kuda.

Selesai solat Maghrib, mereka bergerak ke lokasi pertama sekitar Pulau Saga dan Pulau Buluh untuk mencari umpan. Mereka berjaya mencandat lima sotong gambang. Menurut Pak Isa, jenahak di sini amat menggemarinya.

TEKONG Pak Isa.
TEKONG Pak Isa.

Lebih kurang 30 minit perjalanan tiga sahabat itu tiba di kawasan Batu Putih dan tekong memberi arahan supaya bersedia melabuhkan sauh.

Fadzli kelihatan tidak sabar terus menurunkan umpan kerana mahu menjadi peserta pertama mendapat tarikan daripada mangsa.

Perambut putus

Setengah jam kemudian, penghuni dasar menarik tali joran joran Pak Isa dengan rakus sehinggakan joran melengkung seperti sujud menyembah permukaan air. Selepas berhempas-pulas cuba menaikkannya, ternyata sang ikan lebih hebat dan berjaya memutuskan perambut berkekuatan 80 pauns.

Pak Isa berasa seperti tercabar dengan kerakusan sang ikan tadi. "Tak apa, sekejap lagi kita tengok siapa yang lebih hebat, aku atau kamu," kata Pak Isa sambil mengikat tali perambut sepanjang satu setengah depa.

Ternyata, usahanya tidak sia-sia apabila kira-kira 20 minit kemudian henjutan kedua daripada joran Pak Isa dan kali ini tidak menghampakan. Akhirnya seekor jenahak bantal emas seberat 2.34 kilogram (kg) terdampar di lantai bot.

Kerah seluruh tenaga

Sementara itu, Mior yang sedang tidur terkejut apabila mendengar ikan menggelupur di lantai bot. Dia bingkas bangun dan melihat umpan jorannya. Mior meminta Pak Isa mengajar cara memasang umpan sotong gambang berkenaan.

Nasib menyebelahinya apabila menerusi hasil pasangan umpan tangan Pak Isa, tidak sampai setengah jam, joran Mior melentur ditarik hebat penghuni dasar. Semasa menurunkan batu ladung seberat 820 gram, dia merungut kerana berat, ditambah pula dengan arus yang kuat.

Namun, dengan joran yang melengkung hampir patah, ternyata 'mangsa' memang sedang beradu kekuatan dengan Mior habis-habisan. Selepas beraksi hampir 10 minit, jenahak bantal keemasan seberat dua kg terkulai menyerah. Senyuman kepuasan terpancar di wajah Mior sambil berseloroh dengan Fadil dan Lan.

PERJALANAN lebih kurang 30 minit sebelum tiba di kawasan Batu Putih.
PERJALANAN lebih kurang 30 minit sebelum tiba di kawasan Batu Putih.

Mior juara jenahak

Jenahak hidup berkumpulan dan Pak Isa menasihatkan supaya masing-masing lebih peka, dikhuatiri joran akan tercampak ke laut.

Benar katanya, tidak sampai 20 minit, giliran Fadzli pula menarik jenahak, diikuti Lan juga dengan spesies yang sama.

Sekitar jam 2 pagi, tekong mengalihkan bot ke lokasi pilihan. Sebaik saja umpan dari joran Mior mencecah dasar, terus disambut jenahak seberat 2.89 kg dan berjaya dinaikkan.

Kira-kira jam 5 pagi, Pak Isa memacu bot ke arah pantai. Dia meminta mereka mencari sotong. Selepas berjaya memperoleh tiga sotong gambang, mereka bergerak ke Pulau Buluh. Ternyata jenahak di sini juga cukup ganas apabila perambut 90 pauns milik Pak Isa putus.

Berita Harian X