Selasa, 20 Oktober 2015 | 12:01am

Ramdan impikan pentas lebih besar

RAMDAN Rosli beraksi di litar Sepang. - Foto Goh Thean Howe
RAMDAN Rosli beraksi di litar Sepang. - Foto Goh Thean Howe

PELUMBA berbakat negara, Ramdan Rosli (gambar) bukan satu nama asing dalam kancah sukan permotoran dua roda negara. Bakat anak muda dari Klang, Selangor ini mula dikesan dan menyerlah ketika Kejuaraan Cub Prix pada usia 13 tahun lagi.

Kini, anak muda ini mula meniti nama di pentas antarabangsa. Ramdan yang berada dalam Program Pembangunan Bakat PETRONAS kini beraksi dalam perlumbaan Moto2 di CEV Repsol.

Ikuti temu bual wartawan BH Sukan, Sukhairi Thani bersama pelumba pasukan PETRONAS AHM Malaysia ini, yang mengimpikan pentas lebih besar di Kejuaraan Motosikal Dunia sama seperti rakan seperjuangannya ketika ini, Hafizh Syahrin Abdullah.

Sejak bila Ramdan mula berlumba?

Saya mula berlumba sejak berusia 13 tahun, yang mana saya beraksi buat kali pertama di Kejuaraan Cub Prix dalam kategori Wira (2009).

Ketika itu, saya menang (Piala Cabaran 135LC Yamaha) dan pada usia 14 tahun saya mula menyertai PETRONAS.

Dari situ, saya menggalas cabaran dalam kategori CP 115 dan pada tahun itu juga saya menjuarai kategori berkenaan. Dua tahun selepas itu saya masih berlumba dalam Cub Prix tetapi sudah berada dalam Program Pembangunan Bakat PETRONAS pada tahun 2012.

RAMDAN beraksi di Kejuaraan Cub Prix 2012. - Foto Goh Thean Howe
RAMDAN beraksi di Kejuaraan Cub Prix 2012. - Foto Goh Thean Howe

Ramdan kini beraksi di CEV Repsol dalam kelas Moto2. Bagaimana prestasi saudara selepas bertukar ke kelas lebih besar berbanding Moto3 tahun lalu?

Tahun ini musim pertama Moto2 pertama saya selepas beraksi di kelas Moto3 tahun lalu. Saya lebih menggemari aksi dalam Moto2 kerana ia lebih sesuai dengan badan saya.

Bagi saya tahun ini sudah memasuki separuh musim untuk perlumbaan di CEV dan setakat ini, saya sudah mengumpul banyak mata. Secara keseluruhan, apa yang boleh saya katakan, musim ini agak sukar bagi saya untuk serasi dengan motosikal dan banyak lagi corak tunggangan yang perlu diubah dari Moto3 ke Moto2.

Spesifikasi motosikal juga lebih berat (Moto2) dan lebih berkuasa, jadi saya kena melakukan lebih banyak latihan dan menunggang untuk tahun ini.

Selepas ini, perlumbaan CEV akan memasuki pusingan di Jerez. Apa sasaran Ramdan di sana tatkala saingan musim hanya berbaki dua perlumbaan saja lagi?

Di Jerez, saya akan cuba menghabiskan perlumbaan kelompok lima terbaik dan dapatkan mata lebih banyak bagi menamatkan musim ini. Ini kerana saya dapat melihat yang saingan tahun ini dalam kelas Moto2 lebih sengit dan ia sedikit mencabar.

Saya perlu berusaha keras untuk bersaing dengan lebih baik lagi. Buat masa ini, kutipan mata keseluruhan saya hampir dengan kelompok 10 terbaik.

Bagaimanapun, saya masih yakin untuk menamatkan setiap perlumbaan di kelompok lima terbaik. Saya akan cuba mengurangkan kesilapan ketika perlumbaan nanti.

PELUMBA berbakat negara, Ramdan Rosli. - Foto Owee Ah Chun
PELUMBA berbakat negara, Ramdan Rosli. - Foto Owee Ah Chun

Selepas separuh musim, saudara dilihat mula dapat meraih mata, namun ia tidak lagi secara konsisten. Adakah ada cara untuk saudara memperoleh mata yang lebih konsisten sehingga musim berakhir?

Bagi saya, untuk Moto2 memang sedikit sukar, tapi tahun ini saya lihat latihan saya bertambah dari segi fizikal dan juga kecergasan. Pada awal musim memang sukar untuk saya tetapi selepas pusingan kedua saya mula tahu bagaimana untuk bersaing dengan lebih baik.

Pasukan juga banyak membantu untuk saya meningkat dari semasa ke semasa. Untuk mengekalkan kutipan mata itu memang sukar tetapi selepas pusingan kelima saya sudah mula serasi dengan motosikal dan saya boleh lihat di mana posisi saya selepas setengah musim.

Sudah tentu saudara berasa sedikit gementar setiap kali sebelum bermulanya perlumbaan, bagaimana cara saudara untuk meredakan rasa gementar itu?

Pada permulaan musim, saya sedikit merendah diri dan tak memiliki banyak skil tunggangan berbanding pelumba lain. Namun, selepas banyak perlumbaan, saya mula serasi untuk memulakan perlumbaan dengan lebih tenang.

Saya juga mula tahu bagaimana dan bilakah waktu sesuai untuk saya mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan. Pelarasan jentera yang lebih baik juga sedikit sebanyak boleh membantu saya menghilangkan rasa gementar.

RAMDAN bercita-cita untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia. - Foto Owee Ah Chun
RAMDAN bercita-cita untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia. - Foto Owee Ah Chun

Umum mengetahui yang saudara sekali lagi diberi peluang slot berlumba atas tiket wildcard di Grand Prix Malaysia 25 Oktober ini selepas di GP Catalunya sebelum ini. Apakah sasaran yang saudara letakkan di Sepang nanti?

Di Catalunya, saya memang tidak jangka (tiket wildcard) kerana saya sedar skil saya masih rendah untuk bersaing dengan pelumba yang sudah berada di tahap Kejuaraan Dunia, namun saya diberi peluang oleh PETRONAS.

Ia satu peluang yang baik dan sedikit sebanyak membantu saya untuk mengumpul pengalaman dan juga skil bagi dibawa ke perlumbaan CEV. Di Malaysia, sudah tentu saya inginkan penamat yang lebih baik berbanding di Catalunya. Pasukan masih belum melakukan ujian di Sepang, jadi saya perlu buat yang terbaik bermula pada hari pertama bagi mencari pelarasan terbaik sebelum bermulanya perlumbaan.

Berdasarkan penyertaan di GP Catalunya, adakah saudara sudah bersedia untuk ke Kejuaraan Dunia selepas ini?

Bagi saya, masih belum cukup kerana untuk bersaing bersama pelumba dunia ini memerlukan banyak pengalaman. Saya perlu banyak menunggang lagi. Mungkin saya memerlukan setahun lagi sebelum beralih arah ke Kejuaraan Dunia.

Apakah cita-cita saudara dalam karier permotoran?

Sudah tentu mahu mengikut jejak Hafizh. Saya ingin memasuki Kejuaraan Motosikal Dunia. Penyertaan saya di CEV ini sebenarnya satu langkah lagi untuk saya melonjak ke Kejuaraan Dunia, jadi saya akan melakukan yang terbaik di CEV bagi mengejar impian saya itu.

Berita Harian X