X
Sabtu, 24 Oktober 2015 | 12:02am

Rendang Daging Bukit Fraser

RENDANG Daging Bukit Fraser yang siap disajikan.
RENDANG Daging Bukit Fraser yang siap disajikan.

RENDANG adalah makanan tradisi Aidilfitri yang boleh dimakan bersama nasi impit, ketupat, lontong dan lemang. Namun bagi sesetengah orang, juadah itu digemari hingga dinikmati setiap hari.

Disebabkan penyediaannya agak rumit dan mengambil masa, ramai lebih suka membeli kerana ada pihak yang mengkomersilkan masakan itu di luar musim perayaan termasuk menjualnya sebagai sarapan pagi.

Bagaimanapun kesukaran memasaknya sendiri bukan lagi alasan, kerana Fraser Residence Kuala Lumpur sudi berkongsi resipi yang diolah istimewa mengikut sentuhan Cef Demi (chef de partie) Fraser Residence Kuala Lumpur, Cef Mohd Faris Mat Basir.

Rendang daging istimewa itu boleh dinikmati bersama nasi putih, roti sandwic dan apa saja mengikut selera mas-masing dan bahannya daripada yang mudah didapati di dapur.

Bagi cef berusia 33 tahun ini, penyediaan hidangan sangat mudah dan boleh dinikmati tanpa dikhususkan pada musim perayaan saja.

Lokasi masakan kali ini juga dibuat di tempat istimewa iaitu di Cafe on the Fifith, Fraser Residence Kuala Lumpur dekat Jalan Cendana di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Bahan-bahan:

  • 500 gram daging (dipotong sederhana)
  • 5 ulas bawang merah (dikisar)
  • 3 ulas bawang putih (dikisar)
  • 2 inci halia muda (dikisar)
  • 2 inci lengkuas muda (dikisar)
  • 5 batang serai (dikisar)
  • 2 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis
  • 1 sudu besar cili kisar
  • 1.5 kilogram santan
  • 3 helai daun kunyit (dihiris halus)
  • 2 sudu besar kerisik
  • Gula dan garam melaka secukupnya.
  • Minyak untuk menumis

Cara penyediaan:

1. Tumiskan minyak ke dalam kuali.

2. Tumiskan daun kunyit hingga naik bau.

3. Tumiskan bahan yang dikisar sehingga naik bau dan tunggu seketika.

4. Masukkan daun ketumbar dan kacau hingga sebati.

5. Masukkan serbuk kari dan kacau supaya tidak hangus.

6. Tambahkan serbuk kari dan kacau bahan dalam kuali tanpa henti.

7. Selepas semua bahan sebati, tambahkan kerisik.

8 Tambahkan garam dan gula melaka secukup rasa.

9. Tambahkan daging dan tunggu hingga empuk dan masak sepenuhnya.

10. Siap disajikan.

Berita Harian X