Selasa, 27 Oktober 2015 | 12:05am
SATU kajian mendapati bakteria pada ayam dan daging babi sudah kebal dengan antibiotik boleh berpindah ke tubuh manusia menerusi makanan. - Foto ihsan http://www.oregonlive.com/
SATU kajian mendapati bakteria pada ayam dan daging babi sudah kebal dengan antibiotik boleh berpindah ke tubuh manusia menerusi makanan. - Foto ihsan http://www.oregonlive.com/

Ayam kebal makan antibiotik bahaya



BAKTERIA dalam ayam dan babi yang sudah kebal dengan antibiotik boleh berpindah ke tubuh manusia menerusi makanan berasaskan kedua-dua haiwan ternakan itu.

Ini berikutan ada penternak mencampurkan antibiotik dalam makanan haiwan itu untuk meningkatkan selera makan dan tumbesarannya.

Orang ramai yang memakan haiwan itu juga berpotensi meningkatkan tahap kerintangan (kekebalan) bakteria dalam tubuh mereka.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan ada beberapa kes ayam yang mempunyai antibiotik dikesan dieksport ke Singapura oleh pihak berkuasa negara itu.

PROF Dr Zulkifli Idrus.
PROF Dr Zulkifli Idrus.

Pengarah Institut Pertanian Tropika Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zulkifli Idrus, berkata penyalahgunaan antibiotik berlaku secara berleluasa dalam industri penternakan ayam dan babi kerana ubat itu diberikan bukan kerana penyakit.

Katanya, penternak sengaja mencampurkan antibiotik dalam makanan haiwan untuk mempercepatkan tumbesaran ternakan mereka bagi mengaut keuntungan.

"Penggunaan antibiotik untuk haiwan sepatutnya hanya bagi mengubati penyakit, sama kaedahnya dengan antibiotik untuk manusia. Ayam yang sihat diberi makanan bercampur antibiotik untuk tingkatkan prestasinya.

"Akibatnya, bakteria dalam tubuh ayam dan babi menjadi kebal kerana sudah `mengenali' antibiotik yang diberikan. Apabila ia disembelih sebelum antibiotik itu hilang kesannya, ia boleh berpindah kepada manusia jika dimakan dagingnya atau apa saja makanan berasaskan haiwan itu.

BAKTERIA Salmonella Enteritidis.
BAKTERIA Salmonella Enteritidis.

"Ada bakteria seperti Salmonella Enteritidis boleh berpindah ke dalam tubuh manusia dan ia boleh sebabkan kita mudah terkena keracunan makanan. Bakteria ini antara yang sudah kebal dengan antibiotik," katanya.

Malah, beliau berkata, hasil kajian Jabatan Veterinar UPM sebelum ini dengan mengambil sampel dari ayam mendapati hampir semua bakteria yang ada dalam tubuh haiwan ternakan itu sudah kebal dengan semua jenis antibiotik.

Katanya, sukar untuk mengesahkan sama ada ia berlaku secara meluas, namun apa yang diketahuinya, ia sesuatu yang membimbangkan kerana ada penternak hanya memikirkan keuntungan dan mengambil jalan mudah untuk tujuan itu.

"Antibiotik adalah sejenis ubat terkawal, namun mudah mendapatkannya terutama dari pengimport produk China. Penguatkuasaan terhadap penggunaan antibiotik ini masih lemah dan ini merisaukan.

"Banyak bakteria yang ada dalam tubuh manusia sama dengan haiwan dan kebanyakannya boleh menyebabkan penyakit. Pemantauan terhadap penggunaan antibiotik penting untuk mengelakkan lebih banyak bakteria kebal pada masa depan," katanya.

DATUK Dr Kamarudin Md Isa.
DATUK Dr Kamarudin Md Isa.

Mengulas isu sama, Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Kamarudin Md Isa, berkata penggunaan antibiotik memang dikawal secara teliti dan penternak hanya dibenarkan menggunakannya dengan kaedah yang betul.

"Pemantauan bukan saja dibuat oleh badan kawalan dalam negara tetapi juga dari Singapura untuk memastikan ayam yang dieksport dari negara ini bebas daripada kandungan antibiotik. Namun, ada beberapa kes ayam yang mempunyai antibiotik dikesan selepas dieksport ke Singapura.

"Kami ambil tindakan gantung lesen penternakan mereka dan pengeksportan ke Singapura turut dihentikan sehingga badan pemantau dari negara itu berpuas hati dengan kaedah operasi mereka.

"Ini menunjukkan pelaksanaan kaedah penggunaan antibiotik di negara ini amat ketat. Kita belum pasti ada kes bakteria dari haiwan berpindah ke manusia dan menyebabkan penyakit. Namun, siasatan terus dijalankan," katanya.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan 60 peratus daripada bakteria yang menyebabkan penyakit dalam tubuh manusia berpunca daripada haiwan ternakan.

Berita Harian X