Rabu, 25 November 2015 | 12:05am
DATUK Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala). - Foto Saifullizan Tamadi
DATUK Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala). - Foto Saifullizan Tamadi
KETUA Jabatan Bahasa Melayu, UPM, Dr Norazlina Mohd Kiram. - Foto Saifullizan Tamadi
KETUA Jabatan Bahasa Melayu, UPM, Dr Norazlina Mohd Kiram. - Foto Saifullizan Tamadi

Jangan mabuk sains


"SAYA tidak antisains tetapi kita mahu sebuah negara yang ilmunya seimbang, manakala rakyatnya memiliki rasa bangga untuk menjaga maruah karya sastera."

Penegasan itu dilontarkan oleh Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Muhammad Haji Salleh yang mengupas penyisihan sastera akibat dihimpit oleh tuntutan sains teknologi yang terlalu dipandang tinggi kerana dianggap penentu kepada pencapaian hebat sesebuah bangsa, masyarakat dan negara.

Berbicara pada Syarahan Perdana bertajuk Dalam Zaman Mabuk Sains dan Teknologi, Mengapa Sastera? di Dewan Za'ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini, Muhammad sekali gus meluahkan kebimbangan terhadap peminggiran sastera pada masa kini sedangkan ia wadah bahasa, yang mengajar kesantunan dan berperanan dalam membina tamadun bangsa.

"Sastera ialah naluri yang hadir dalam diri setiap manusia untuk mendengar cerita, mencari penghujung riwayat dan mengetahui kehidupan manusia lain.

"Sesebuah karya sastera ialah kisah mengenai makna kehidupan yang 'dihablurkan' dan diceritakan kembali dalam bentuk yang indah.

MUHAMMAD menyampaikan syarahan bertajuk Dalam Zaman Mabuk Sains dan Teknologi, Mengapa Sastera? di Dewan Za'ba Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. - Foto Saifullizan Tamadi.
MUHAMMAD menyampaikan syarahan bertajuk Dalam Zaman Mabuk Sains dan Teknologi, Mengapa Sastera? di Dewan Za'ba Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. - Foto Saifullizan Tamadi.

TETAMU yang hadir pada syarahan Baharudin mengenai Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji: Satu Penilaian. - FOTO Saifullizan Tamadi
TETAMU yang hadir pada syarahan Baharudin mengenai Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji: Satu Penilaian. - FOTO Saifullizan Tamadi

"Bayangkan tanpa sastera, bukan saja wadah bahasa akan hilang, bahkan masyarakat akan mula mempersoalkan kenapa perlunya berbudi bahasa hingga tidak melihat kepentingan perbincangan secara madani dan bertamadun, sebaliknya memilih perang umpamanya sebagai penyelesaian masalah," katanya pada acara anjuran Jabatan Bahasa Melayu FBMK UPM dan Persatuan Sasterawan Numera (NUMERA).

Beliau berkata, pengalaman kembaranya ke pelbagai negara dari benua Asia hingga Eropah mencuri perhatiannya apabila menyaksikan masyarakat luar sangat menghargai karya sastera seiring kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

"Saya ditakdirkan menjadi pengembara dan pernah berada di Kyoto, Jepun selama setahun, sekali gus berpeluang menyaksikan masyarakatnya tidak menyisihkan sastera walaupun mengejar kemajuan dalam sains dan teknologi.

"Tidak hairanlah, ia dapat dilihat pada budi bahasa bangsanya yang kekal terjaga, sangat halus dan tiada tolok bandingnya.

"Masalahnya masyarakat kita hanya melihat kejayaan Jepun dalam penciptaan produk baharu dengan keunggulan dalam sains, tetapi gagal menyaksikan sisi budaya dan sastera mereka," katanya pada acara yang dihadiri Dekan FBMK UPM, Dr Abdul Mua'ti @Zamri Ahmad; Ketua Jabatan Bahasa Melayunya, Dr Norazlina Mohd Kiram dan SN, Datuk Dr Ahmad Khamal Abullah atau (Kemala).

PELAJAR dan hadirin yang hadir di syarahan perdana Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh. - Foto Saifullizan Tamadi
PELAJAR dan hadirin yang hadir di syarahan perdana Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh. - Foto Saifullizan Tamadi

Muhammad berkata, sastera kekal menjadi kebanggaan bangsa Jepun, yang dapat dilihat daripada kejayaan mereka memenangi pelbagai hadiah sastera terkemuka.

Antaranya, Kenzaburo Oe, yang juga pengkaji budaya, mengharumkan nama negara itu apabila diangkat sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan tahun 1994.

Katanya, masyarakat negara ini juga perlu mengambil pengajaran dari negara jiran, iaitu Singapura, yang pada dekad 1970 hingga 1980-an terlalu ghairah untuk menjadi negara maju sehingga menghantar ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains ke luar negara, antaranya Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS).

"Malangnya, ia ternyata tidak berhasil kerana apabila mereka pulang, potensi mereka untuk berjaya cukup rendah kerana kekurangan kemahiran manusia atau 'human skill' yang amat penting untuk berdiplomasi dalam pelbagai urusan.

"Akhirnya, Singapura mengambil keputusan menghantar pelajar jurusan seni dan sastera ke universiti terkemuka, termasuk Oxford dan berjaya melahirkan graduan berjaya yang memegang pelbagai jawatan besar dalam pelbagai sektor," katanya.

Muhammad turut menekankan sastera perlu diangkat seimbang dengan perkembangan sains kerana ia 'meriwayatkan' sejarah bangsa dan menjadi lambang kepada puncak kebijaksanaan bangsa Melayu.

SASTERAWAN Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh ketika sesi autograf pada Program Wacana Ilmuan Negara di Dewan Perdana UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto ASWADI ALIAS
SASTERAWAN Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh ketika sesi autograf pada Program Wacana Ilmuan Negara di Dewan Perdana UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto ASWADI ALIAS

"Sastera juga memori bagi sejarah sesebuah bangsa dan cuba bayangkan tanpa sastera, apakah yang mahu kita kenali dalam sejarah bukan saja bangsa Melayu, bahkan keturunan seperti India dan Iban?

"Puncak kejayaan orang Melayu adalah adanya teks klasik terutama Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah yang ditulis khusus untuk tinggalan anak cucu kita sehingga pengkaji Barat, RO Winstedt, menegaskan sekiranya mahu kenali orang Melayu, bacalah pantun serta sasteranya kerana di situ ada roh, jiwa, perasaan, nilai dan sejarah," katanya.

Menyentuh lebih dalam mengenai teks Sulalatus Salatin, Muhammad menyifatkan banyak perkara yang boleh dipelajari daripadanya, antaranya bagaimana empayar Melaka yang gah akhirnya runtuh akibat rasuah.

"Sulalatus Salatin adalah karya yang sangat pintar sehingga tidak ada lagi yang lebih pintar, indah dan tajam daripadanya. Pelbagai peristiwa yang membawa makna dan kesan moral dirakamkan, termasuk bagaimana Tun Seri Lanang menceritakan dengan jelas sebab kejatuhan empayar Melaka.

"Banyak yang kita boleh pelajari daripada teks ini, termasuk mengajar kita menjadi bijaksana dan tidak mengulangi kesilapan sama seperti yang pernah tercatat dalam sejarah," katanya.

Mengakhiri syarahannya, Muhammad sempat berpesan kepada khalayak yang ingin belajar dalam bidang sains untuk turut mengutip ilmu sastera kerana ia pemangkin kepada ia adalah pelengkap kepada kehidupan yang sempurna.

Berita Harian X