Khamis, 24 Disember 2015 | 12:05am

Lubuk ikan Tanjung Tuan

DARI kiri, Imran, Aim dan Shadat bersama tangkapan di perairan Tanjung Tuan. - Foto NSTP
DARI kiri, Imran, Aim dan Shadat bersama tangkapan di perairan Tanjung Tuan. - Foto NSTP

PORT DICKSON: Bulan sabit kelihatan seperti berselindung di celah-celah awan, menandakan air kecil dan sesuai untuk memancing, terutama ebek serta jenahak bantal yang dikatakan banyak mendiami perairan Teluk Kemang.

Malah, beberapa trip sebelum ini dengan keadaan yang sama tidak pernah mengecewakan dan hasilnya juga amat lumayan.

Kunjungan Imran Butet bersama-sama tiga rakannya iaitu Ibrahim Jantan (Aim), Shahadat Kamar Afandi (Shadat) dan Tekong Mokhtar ke rumah api Tanjung Tuan, baru-baru ini, adalah untuk membuktikan perairan berkenaan masih relevan untuk dikunjungi apabila ada di antara rakan pemancing lain mengatakan di situ kurang ikan.

IMRAN dan rakan meneruskan ekspedisi.
IMRAN dan rakan meneruskan ekspedisi.

Bagai misi khas

"Kalau kita menjaring atau memasang pukat, ikan mungkin berkurangan.

Tapi kalau memancing, memang tidak percaya ikan boleh kurang. Tidak pernah dengar orang pancing boleh habis satu lubuk atau mereka tidak mahu orang datang memancing di situ," kata Imran kepada Aim dan Shadat ketika menikmati sarapan pagi, tiga minggu lalu.

"Apa kata kita hubungi tekong Mokhtar untuk tetapkan tarikh. Rasanya, mungkin mereka tamak, tidak mahu kita masuk ke lubuk mereka," cadang Shadat kepada dua sahabatnya.

Selepas memperoleh persetujuan, mereka ke Port Dickson untuk menemui tekong Mokhtar yang sudah dianggap sebagai abang saudara. Dengan kelengkapan kekili Shimano Stella 6000, set jigging Stella SW 4000, multiplier Daiwa Saltist dan joran Ezoga Taka serta Shimano Jogbros, mereka berlepas ke jeti Teluk Kemang untuk menemui tekong tersohor itu.

"Wah! Lain macam kelengkapan kamu semua. Macam ada misi khas," kata tekong Mokhtar kepada Imran ketika menghidupkan enjin sangkut 50 kuasa kuda miliknya.

"Kita hendak jig atau pancing bottom puas-puas dan buktikan kepada pemancing lain, perairan Tanjung Tuan masih banyak ikan. Besar kecil bukan soalnya, yang penting hasil tangkapan yang bakal kita peroleh," kata Imran.

ANTARA hasil tangkapan di Tanjung Tuan
ANTARA hasil tangkapan di Tanjung Tuan

PARI rimau yang mengena umpan.
PARI rimau yang mengena umpan.

Bertukar umpan

Dua jam perjalanan, mereka sampai ke lubuk yang dihajati. Selepas memperoleh kedudukan yang sesuai, tekong Mokhtar terus melepaskan sauh dan memberi isyarat sudah boleh memancing. Masing-masing terus mengeluarkan jigger dan menghulurkannya kepada penghuni perairan berkenaan.

Hampir sejam jigging, tiada ikan yang mahu menyentuh umpan. Tekong Mokhtar pula asyik melayan jenahak dan ebek seberat dua atau tiga kilogram (kg) di belakang bot gentian kacanya.

"Kau tukarlah kepada umpan hidup. Banyak sotong datang bermain, apa lagi tangguklah," katanya kepada Aim yang kebetulan duduk di hadapannya.

Sempat juga Imran memasang seekor sotong torak pada pancingnya. Hendak memancing bottom di sini perlu menggunakan perambut tanduk berkekuatan 60 pauns sepanjang dua depa yang bersambung kabel 80 pauns sejengkal.

Mata kailnya adalah Gamakatsu bersaiz 5/0,6/0 atau 7/0, kalau tidak lupakan kerana ikannya amat ganas.

Tidak sampai lima minit, sotong torak berkenaan diragut ikan, apa lagi melengkung huruf C joran milik Imran. Maka berlakulah adegan tarik-menarik, nyaris terputus tali utama 40 pauns apabila ikan melarikan diri ke bawah bot.

Kata abang Mokhtar, kedalaman air hanya sekadar 30 meter tetapi lubuk di bawahnya berbatu atau terdapat bangkai kapal.

Itu membuatkan saya lebih berhati-hati melayannya dan selepas tujuh minit bertarung seekor jenahak bantal berjaya didaratkan," katanya.

SHADAT menunjukkan ikan jenahak yang ditangkapnya.
SHADAT menunjukkan ikan jenahak yang ditangkapnya.

Agresif nampak cahaya lampu

Shadat juga turut menaikkan seekor jenahak seberat lima kg. Ketika memerhatikan Shadat mengeluarkan mata kail daripada mulut jenahak, joran milik Imran sekali lagi menerima henjutan keras, tetapi kali ini aksinya seperti bermain layang-layang apabila tali seakan naik ke permukaan air.

"Sah pari, jenis apa kita tengok nanti," kata tekong Mokhtar.

Berpeluh-peluh Imran melayannya. Selepas 10 minit beraksi, beliau terpaksa memberi 'baton' kepada Shadat dan silih berganti untuk melemahkan sang pari, namun ia langsung tidak menunjukkan mahu mengalah.

Sebaliknya, lebih agresif terutama apabila ikan sampai ke permukaan air.

"Awas! Selalunya bila ikan nampak cahaya lampu, ia akan memberi satu henjutan kuat dalam usaha melepaskan diri.

Engkau ringankan kekunci kekili, nanti tidak pasal-pasal putus tali," kata tekong Mokhtar memberi tip kepada Imran.

Akhirnya selepas bertarung hampir 25 minit, seekor pari rimau seberat 25kg berjaya didaratkan. Selepas itu, keadaan sunyi sepi dan tiada lagi aksi menarik ikan memakan umpan sehingga jam 6 pagi.

Keesokannya, pada jam 7.30 pagi, sekali lagi mereka diasak ikan ebek. Kelam kabut dibuatnya, tetapi dengan pengalaman yang mereka miliki, hampir 10 ebek berjaya didaratkan. Pada jam 9 pagi kami memunggah segala kelengkapan untuk pulang ke jeti.

Berita Harian X